Rabu, 27 Juni 2012

Tentera bersara awal tiada pencen

Seramai 210,675 bekas tentera di seluruh negara tidak mendapat pencen kerana mereka menamatkan perkhidmatan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebajikan golongan terbabit tetap terpelihara melalui usaha Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Katanya, JHEV dan PERHEBAT menyediakan pelbagai bantuan kepada veteran tentera yang bersara kurang daripada 21 tahun perkhidmatan untuk meringankan kos sara hidup mereka seperti skim bantuan kebajikan dan pendidikan serta bantuan sara hidup.

“Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan kupon makanan bulanan kepada mereka berikutan pelbagai program latihan kemahiran disediakan sebelum golongan itu menamatkan perkhidmatan, membolehkan mereka meneruskan kehidupan,” katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Zahid berkata, bantuan diberi kerajaan kepada pesara tentera di negara ini juga jauh lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa negara lain.

“Secara perbandingan Amerika Syarikat dan Australia hanya memberikan bantuan kepada pesara tentera saja dan bukan kepada isteri atau anak-anak mereka,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top