Senin, 18 Juni 2012

Kanser boleh diubati

SEBUT saja kanser semua pasti gerun dan terbayang rawatan kemoterapi dan radioterapi. Apa menyebabkan kanser dan bagaimana kita mendefinisi penyakit kanser. Pakar Runding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar berkata, kanser adalah penyakit ketumbuhan yang bermula dengan sel normal.

"Tetapi disebabkan bahan karsinogen, sel normal mengalami mutasi atau perubahan genetik.

"Sel normal yang membiak tanpa kawalan atau benign tidak membiak dengan laju dan tidak merosakkan tisu keliling," katanya.

Bagaimanapun ketumbuhan boleh menjadi malignant yang membentuk kanser dan boleh merosakkan tisu dan merebak ke tulang, darah, paru-paru, hati dan otak.

Sel 'superman' ini, kata Dr. Azrif mulanya normal kemudian bermutasi menjadi sel kanser yang mempunyai kuasa untuk merebak ke bahagian lain.

"Misalnya kanser paru-paru bermula daripada lapisan paru-paru yang penuh dengan bebola kecil di mana udara masuk ke permukaan.

"Asap rokok yang masuk ke paru-paru membawa lebih 200 bahan karsinogen yang menyebabkan sel normal cedera dan rosak," katanya.

Biasanya badan dapat membunuh sel rosak tetapi ada kalanya sel yang rosak tidak dapat diperbaiki. Sel badan yang didedahkan dengan bahan karsinogen secara berterusan akan bermutasi, masuk ke dalam saluran darah dan merebak ke bahagian lain.

Dr. Azrif berkata, kanser merupakan penyakit biasa di negara ini. Biasanya wanita lebih cenderung mendapat kanser payudara, kolorektor dan serviks manakala lelaki pula dengan kolorektor, paru-paru dan prostat.

Kenapa kanser payudara terletak nombor satu? Apabila wanita didiagnosa pada usia 40 atau 50 tahun risiko kanser payudara lebih tinggi pada kaum Cina berbanding Melayu dan India.

Risiko kanser payudara juga rendah jika perempuan bersalin banyak kali pada usia muda dan menyusukan anak.

Interaksi dengan alam sekitar, gaya hidup, pencemaran dan bahan makanan boleh menyebabkan kanser. Setiap manusia mempunyai metabolisme yang berlainan menyebabkan cara memecahkan penyakit juga berbeza.

Terdapat lebih 200 jenis kanser manakala kanser yang jarang ditemui di negara ini adalah kanser kulit melanoma dan kanser pankreas.

Kanser pankreas sukar dikesan kerana terletak di belakang perut. Kedudukannya yang terlindung, tidak mempunyai saraf menyebabkannya sukar dikesan dan hanya dikesan selepas merebak ke tempat lain seperti hati dan paru-paru.

Kanser pankreas peringkat 1 biasanya boleh dibedah dan dibuang tetapi selepas lima tahun biasanya hanya 20 peratus saja masih hidup. Pengesanan awal memberikan peluang pesakit kanser hidup lebih lama.

"Punca kanser pankreas masih belum diketahui dan paling sukar dikesan kerana tiada ujian pengesanan awal," katanya.

Kanser pankreas tidak seperti kanser payudara yang boleh dikesan melalui mamogram, serviks dengan pap smear.

Risko kanser boleh dikurangkan dengan pengesanan awal, gaya hidup sihat, berat badan ideal, diet sihat dan senaman.

Rawatan kanser terbahagi kepada dua iaitu radioterapi hanya kawasan sasaran dan kemoterapi seluruh badan.

Bagaimanapun disebabkan kesedaran kanser, angka kematian akibat kanser pada akhir 1990an rendah berbanding 10 hingga 15 tahun lalu.

"Kini dua pertiga pesakit kanser dapat disembuhkan dengan pengesanan awal dan rawatan," katanya. Bagaimanapun golongan warga emas dan pesakit kencing manis dan darah tinggi berisiko mendapat kanser.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top