Senin, 25 Juni 2012

Agihan ASD pada 2011 sebanyak 6.60 sen seunit



Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Didik (ASD) sebanyak 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.

Agihan itu lebih tinggi berbanding 6.50 sen seunit pada tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM279.31 juta, peningkatan sebanyak 9.9 peratus berbanding RM254.1 juta yang dibayar tahun lalu.

Sehingga 18 Jun 2012, tabung ASD telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM354.26 juta dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM228.58 juta atau 64.5 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.

Menurutnya, keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM76.03 juta atau 21.5 peratus.

Beliau berkata, sejumlah RM49.65 juta atau 14 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

"Agihan pendapatan ini akan dimanfaatkan oleh seramai 358,222 pemegang unit yang melanggan 4.2 bilion unit ASD," katanya ketika mengumumkan agihan unit amanah itu di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Presiden Unit Amanah, Datuk Idris Kechot.

Tambah beliau, pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASD.

Urus niaga ASD akan ditangguhkan mulai 22 Jun hingga 1 Julai 2012 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Julai 2012.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASD akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 2 Julai 2012.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASD menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing, kata Ahmad Sarji.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Ogos 2012.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top