Sabtu, 23 Juni 2012

Google pelihara bahasa terancam

SAN FRANCISCO - Google semalam melancarkan Projek Bahasa Terancam untuk menyelamatkan pelbagai bahasa di dunia ini daripada dilupakan.

Syarikat aplikasi enjin carian terbesar itu melancarkan laman web Projek Bahasa Terancam dengan kerjasama ahli akademik dan pakar bahasa.

Ia membolehkan pengguna mencari, berkongsi dan menyimpan maklumat mengenai dialek yang semakin dilupakan.

"Orang ramai boleh berkongsi pengetahuan dan kajian mereka secara langsung melalui laman web ini dan membantu mengemas kini kandungannya.

"Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah mula menyumbang kandungan daripada bahasa dalam manuskrip kurun ke-18 sehinggalah bahasa moden seperti sampel bahasa video dan audio selain artikel,'' kata pengurus projek itu, Ciara Rivera Rodriguez dan Jason Rissman dalam blog Google.

Laman web endangeredlanguages.com itu direka dengan membenarkan pengguna memuat naik video, audio atau fail teks dan menggalakkan mereka menghafal rakaman dialek yang jarang didengari.

Menurut laman web itu, hanya separuh daripada 7,000 bahasa yang digunakan hari ini dijangka kekal sehingga akhir kurun ini.

"Mendokumenkan bahasa terutama yang hampir pupus merupakan langkah penting dalam memulihara kepelbagaian budaya, menghormati pengetahuan warisan dan memperkasakan golongan muda,'' kata Rissman.

- AFP

0 komentar:

Posting Komentar


Top