Rabu, 27 Juni 2012

Aplikasi MyTeksi - Cara Mudah Tempahan Teksi


TEKSI merupakan salah satu pengangkutan pilihan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia untuk menuju ke destinasi yang diingini. Pengguna boleh menunggu di tepi jalan atau menghubungi pihak yang mengendalikan perkhidmatan tersebut.

Meskipun ramai yang memilih pengangkutan awam lain seperti bas, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) atau monorel, namun hakikatnya teksi masih relevan dalam dunia hari ini.

Dalam usaha menawarkan kelainan kepada pengguna, MyTeksi telah melancarkan perkhidmatan tempahan teksi secara mudah alih yang pertama di Malaysia. Ia membolehkan penumpang untuk menempah teksi dengan mudah menggunakan telefon pintar dan tablet (iOS dan Android) selain menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pengurus Besar MyTeksi, Chew Wei Chuan berkata, khidmat tempahan teksi secara mudah alih yang inovatif ini dipacu oleh teknologi mesin ke mesin (M2M) Maxis dan menggunakan keupayaan Maxis sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian 3G serta 2G terbesar di Malaysia.

"Kelainan tempahan teksi secara digital baharu ini terletak kepada keupayaannya untuk membolehkan penumpang menempah teksi dengan sebarang alat mudah alih, memadankan penumpang dengan pemandu teksi terdekat dan memberikan pengesahan segera.

"Penumpang teksi yang menggunakan aplikasi MyTeksi IOS, aplikasi Android atau SMS, boleh mendapat pengesahan dalam tempoh tiga minit. Selain itu, mereka turut diberikan nombor plat teksi, nama pemandu, anggaran masa ketibaan serta tambang," jelas Wei Chuan dalam satu sidang media baru-baru ini.

MyTeksi merupakan perkhidmatan tempahan teksi mudah alih pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar untuk menempah dan menghantar teksi.

Sejak tahun 2011, pemandu teksi telah menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar MyTeksi untuk menerima tempahan melalui SIM M2M Maxis untuk berkomunikasi dengan serta-merta.

Menurut Wei Chuan, pihaknya telah melaburkan RM500,000 bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan aplikasi MyTeksi.

Menyokong inisiatif

Berdasarkan maklum balas yang diterima, pihaknya turut mensasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand menjelang tahun hadapan dengan aplikasi ciptaan mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Teksi Wilayah Persekutuan & Selangor, Datuk Aslah Abdullah memberitahu, pihaknya menyokong penuh inisiatif yang dilakukan MyTeksi dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

"Seramai 120 pemandu teksi telah menggunakan MyTeksi sejak bulan September tahun lalu. Hasilnya memang memberangsangkan kerana pelanggan kami gembira dengan perkhidmatan yang mereka terima.

"Justeru, saya berharap semua pemandu teksi yang ada boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk jaminan pendapatan yang lebih tinggi," ujar Pengerusi Comfort Communication Sdn. Bhd. (Comfort Taxi) itu.

Syarikat, persatuan dan koperasi teksi utama selain Comfort Taxi, sudah pun dalam proses menguji sistem MyTeksi. Buat permulaan, perkhidmatan ini hanya boleh didapati di sekitar Lembah Klang. Namun, ia akan dikembangkan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah melahirkan rasa bangga kerana menjadi rakan teknologi bagi usaha terbaharu membangunkan aplikasi MyTeksi.

"Saya percaya, MyTeksi berpotensi meningkatkan pengalaman pengguna teksi di Malaysia. Kami telah melibatkan diri sejak di peringkat awal dengan menyediakan pelbagai khidmat rundingan teknikal dan teknologi.

"Antaranya seperti konsep perniagaan, pembangunan teknologi, percubaan awal pasaran dan seterusnya penggunaan perkhidmatan MyTeksi.

"Pelancaran ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk bekerjasama dengan pembekal dan pelanggan perniagaan kami bagi membangunkan perniagaan yang inovatif serta relevan dengan pasaran Malaysia," jelasnya.

Majlis pelancaran MyTeksi itu dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

- KOSMO!

0 komentar:

Posting Komentar


Top