Rabu, 20 Juni 2012

AirAsia Nasihat Orang Ramai Jangan Ambil Bahagian Penipuan Dalam Talian

AirAsia pada Rabu berkata syarikat itu tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran sebarang program loteri atau baucar.

"Kami mendapat tahu bahawa orang ramai dan penumpang telah menerima emel yang menjemput mereka mengambil bahagian dalam program loteri atau program Baucar Membeli-belah 1Malaysia yang didakwa dianjurkan oleh AirAsia," kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam satu kenyataan.

Program loteri itu datang daripada satu entiti yang menggelar dirinya "AirAsia(Ibu pejabat serantau Asia-Pasifik) dengan alamat Tingkat bawah, Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Jalan Lapangan Terbang Lama, Tanjung Aru Sabah, katanya.

Entiti itu membuat dakwaan palsu bahawa ia menganjurkan "Program Bonus Istimewa Eksklusif AirAsia 2012" dengan hadiah tunai US$130,000 bagi pihak AirAsia.

Program Baucar Membeli-belah 1Malaysia itu pula menawarkan baucar AirAsia bernilai RM5,000 dan memujuk penumpang untuk memberikan butiran peribadi mereka.

AirAsia menafikan penganjuran apa-apa program dan ia tidak memberi tanggungjawab kepada mana-mana syarikat, organisasi dan syarikat perjudian untuk menganjurkan apa-apa program loteri atau baucar bagi pihaknya.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata mereka telah membuat laporan polis dan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak lama lagi tentang perkara itu.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top