Senin, 18 Juni 2012

Syaaban beri peluang manusia berebut buat kebajikan

DARIPADA Aisyah, katanya: “Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda akan berpuasa seterusnya. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira Baginda akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab pada bulan itu akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua dan sebagainya.

Pendapat lain mengatakan, sebab diertikan demikian sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan antara Rejab dan Ramadan.

Daripada keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban ialah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan memasuki Ramadan.

Sebahagian ahli hikmah menyatakan sesungguhnya Rejab adalah kesempatan meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban untuk memperbaiki diri dan Ramadan masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Antara amalan digalakkan pada bulan Syaaban adalah memperbanyakkan puasa sunat. Kitab Durratun Nasihin ada menyebut hadis, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang yang beribadat kepada Allah Taala selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”

Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir serta al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

0 komentar:

Posting Komentar


Top