Senin, 18 Juni 2012

Siswazah mampu selesaikan masalah pengangguran

Oleh ROZAINAH ABDUL RAHIM
Pelajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam

Kadar pengangguran di kalangan siswazah di negara ini semakin hari kian bertambah, apa puncanya dan adakah ia relevan berlaku kepada pelajar lepasan universiti? Apakah sebenarnya masalah yang menyebabkan mereka menjadi penganggur?

Kebanyakannya bukan tidak mendapat pekerjaan atau sebarang tawaran tetapi mungkin kerjaya yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan minat mereka. Kebanyakan mereka masih mencari kerjaya yang dirasakan bersesuaian dengan status mereka sebagai lepasan universiti.

Antara faktor yang menyebabkan pengangguran ialah sikap siswazah yang terlalu memilih pekerjaan atau tidak berminat dengan sesuatu pekerjaan yang ditawarkan kerana beranggapan tidak setaraf dengan kelulusan mereka semasa menuntut di universiti malah lebih suka tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan daripada bekerja yang bukan dalam bidang mereka.

Pemikiran minda graduan yang beranggapan lebih baik menganggur selagi belum ada kerja yang sesuai seharusnya dibuang kerana sikap ini merugikan diri sendiri dan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja.

Jika dilihat, banyak sebenarnya peluang pekerjaan ditawarkan tetapi para graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Selain itu, mereka juga boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara selain bergantung pada sektor pekerjaan sedia ada.

Sebagai contoh, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari semasa menuntut di universiti. Ini kerana, pelajar universiti telah sedia dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga sendiri yang ternyata boleh membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana pendapatan adalah atas hasil usaha sendiri.

Sememangnya persaingan antara graduan merupakan salah satu masalah besar yang mendorong kepada pengangguran siswazah terutama faktor kelulusan yang tidak sesuai dengan permintaan dunia kerjaya. Terdapat senarai kriteria yang dispesifikasikan oleh majikan dalam memilih graduan yang diingini.

Graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak memuaskan atau cemerlang akan menghadapi masalah dan terpaksa menganggur dalam masa yang lebih lama.

Pengangguran di kalangan siswazah akan terus terjadi sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif membina kerjaya sendiri atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakkan ekonomi di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan lain.

Peluang bagi golongan siswazah menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan keusahawanan amat luas. Bidang-bidang yang boleh diceburi ini bagaimanapun memerlukan inisiatif dan kegigihan selain pemikiran yang kreatif untuk menuju kejayaan.

Penguasaan penggunaan bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan faktor penting yang memudahkan seseorang graduan itu mendapat peluang pekerjaan yang diinginkan selain kebanjiran para siswazah dari institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta yang terlalu banyak sehinggakan jumlah penganggur dan kerja kosong tidak sama rata.

Kemahiran bahasa ketiga merupakan bonus kepada diri siswazah kerana ia satu kelebihan yang melengkapi pakej seseorang dalam urusan kerja yang memerlukan perhubungan dengan pihak luar seperi bahasa Mandarin, Jepun, Perancis, Jerman, Arab dan Korea. Majikan semestinya akan memilih untuk mengambil pekerja yang mempunyai kelebihan seperti penguasaan bahasa ketiga yang akan menyumbang kemudahan kepada syarikatnya pada masa akan datang.

Para siswazah juga hendaklah membiasakan diri dengan aktiviti luar dan sosial seperti aktiviti kemasyarakatan dan tidak menumpukan pada akademik semata-mata. Mereka juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang akan melatih diri bagaimana menghadapi khalayak ramai, menyelesaikan masalah, berorganisasi, dan melakukan tugas dengan baik.

Aktiviti bersosial boleh memberi banyak kelebihan pada diri seseorang berbanding duduk di rumah sahaja menunggu panggilan kerja yang belum tentu. Pihak majikan biasanya mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik kerana jika mereka mengadakan latihan intensif untuk pekerja baru, ia akan memerlukan perbelanjaan dan mengambil masa.

Pengangguran siswazah tidak memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Masalah ini haruslah dibendung segera oleh siswazah dengan bersikap tidak terlalu memilih pekerjaan dan berfikir secara profesional terhadap sesuatu pekerjaan dan mempunyai sikap bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Selain itu juga, pihak kerajaan dan IPTA turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran dengan melaksanakan program di sekolah atau universiti berkaitan kerjaya. Kursus-kursus dan perancangan mengenai kerjaya perlu diadakan untuk graduan dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan modal insan yang terlatih.

Para pendidik juga memainkan peranan besar dalam membimbing para pelajar yang masih di bangku sekolah atau di IPT supaya bersedia dan merancang lebih awal untuk memilih bidang kerjaya sesuai dengan kemahiran dan kehendak persaingan di pasaran supaya mendapat tempat dalam pekerjaan yang sesuai.

Oleh itu, graduan perlu berfikir secara profesional dan bijak merancang masa hadapan dan tidak salah jika bermula dari bawah untuk memperolehi pengalaman dan bukannya terus berada di atas.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top