Sabtu, 23 Juni 2012

MyMobile tawar perbankan mudah alih

MALAYSIA bakal menjadi antara negara pertama yang menyediakan khidmat perbankan mudah alih menggunakan semua jenis telefon bimbit, apabila ia mula diperkenalkan kepada umum pada September ini.

Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear), sebuah anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia, akan melancarkan perkhidmatan itu yang akan dikenali dengan nama ringkasnya, MyMobile secara perkongsian dengan pengendali rangkaian mudah alih utama negara, Maxis, Celcom dan DiGi.

Jika urus niaga perbankan sebelum ini hanya boleh dilaksanakan menggunakan telefon pintar dan komputer menerusi khidmat perbankan dalam talian, perkhidmatan baru itu akan membolehkan pelanggan membuat urusan seperti pemindahan wang menggunakan semua jenis telefon bimbit.

Pelanggan hanya perlu memasukkan nombor telefon bimbit pihak penerima berbanding sekarang menggunakan nombor akaun bank.

Setiap transaksi yang hanya membabitkan masa kurang daripada seminit itu, hanya akan dikenakan bayaran caj bersamaan caj khidmat pesanan ringkas (SMS) biasa.

Pengarah Urusan MyClear, Mohd Suhail Amar Suresh, berkata buat permulaan, tiga institusi perbankan terbesar negara, iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd dan Public Bank Bhd, akan menjadi kumpulan pertama yang menawarkan perkhidmatan itu.

“Ujian perintis yang sedang dilaksanakan dengan tiga bank berkenaan berjalan dengan lancar, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kami untuk melancarkan MyMobile September ini.

“Institusi perbankan lain pula dijangka menyertainya pada pertengahan tahun depan,” katanya pada media selepas majlis penyampaian Anugerah Peserta Terbaik Kategori Perkhidmatan Pembayaran Dalam Talian dan Kategori Debit Terus, di Kuala Lumpur semalam.

Ketika ini, ketiga-tiga bank berkenaan sudah membuka pendaftaran kepada pelanggan yang berminat menggunakan perkhidmatan itu menerusi laman web rasmi perbankan Internet masing-masing.

Pelanggan tiga bank itu hanya perlu mendail kod pendek iaitu *500*888# untuk mengakses perkhidmatan MyMobile.

Mengulas lanjut, Mohd Suhail berkata, tujuan utama penyediaan perkhidmatan itu adalah bagi memudahkan pengguna melaksanakan urus niaga perbankan masing-masing, selain mendidik mereka membiasakan diri dengan perkhidmatan dalam talian.

“Ia antara inisiatif Bank Negara untuk mewujudkan ekosistem pembayaran bersepadu yang akan mempercepatkan perpindahan negara kepada sistem pembayaran secara elektronik (e-pembayaran), sekali gus menghasilkan kecekapan ekonomi yang lebih tinggi.

“Perkhidmatan itu juga akan meningkatkan akses serta memudahkan orang ramai termasuk di kawasan terpencil yang mendapat liputan perkhidmatan mudah alih, untuk melaksanakan urusan perbankan tanpa perlu ke bank atau ke mesin ATM,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top