Kamis, 28 Juni 2012

Hantar Borang B, Bayar Cukai Pendapatan Perniagaan Selewatnya 30 Jun 2012 - LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai yang mempunyai punca pendapatan daripada perniagaan agar menghantar Borang B dan menjelaskan bayaran selewat-lewatnya Sabtu ini, 30 Jun 2012.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Masrun Maslim berkata mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan penalti mengikut subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Bagi kegagalan menghantar Borang B, penalti maksimum yang boleh dikenakan sehingga tiga kali ganda daripada amaun cukai yang ditaksir.

"Manakala bagi lewat bayar cukai pula, penalti maksimum yang boleh dikenakan adalah sehingga 15 peratus daripada amaun cukai yang masih tertunggak," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Bagaimanapun, Masrun berkata kelonggaran diberi kepada pembayar cukai yang menggunakan perkhidmatan e-Filing untuk menghantar Borang B mereka sehingga 15 Julai ini.

"Pembayar cukai juga boleh memudahkan urusan bayaran cukai mereka melalui perkhidmatan e-Bayaran yang ditawarkan," katanya.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top