Kamis, 28 Juni 2012

Teknologi Lumia Nokia


TERUS mempertaruh sistem operasi Windows pada gajet selular Lumia mereka, syarikat teknologi Nokia memperkenalkan dua lagi model terkini untuk platform sama.

Kali ini, Nokia Lumia 610 disasarkan untuk pengguna baru yang mahu berjinak-jinak dengan peranti telefon pintar sementara Nokia Lumia 900 pula bakal menawarkan pengalaman komunikasi sempurna.

Menurut Pengurus Pasaran Produk Nokia Malaysia, Glen Cha, kedua-dua model berkenaan dicipta dengan prestasi terbaik demi melengkapkan aktiviti bekerja dan berhibur.

''Bagi Lumia 610, walaupun direka untuk pengguna amatur, namun ia masih menawarkan fungsi dan spesifikasi sangat kompetitif.

''Manakala Lumia 900 pula yang menggabungkan gaya dan teknologi pasti akan memberi kepuasan operasi kepada pengguna,'' katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lumia 610 dilengkapi paparan skrin 3.7 inci beresolusi tinggi, kamera lima megapiksel serta memori binaan dalam lapan gigabit (GB).

Ia turut disempurnakan bersama kemasan metalik, reka bentuk nipis, capaian Wi-Fi serta fungsi flip untuk senyap.

Melihat pula kecemerlangan Lumia 900, ia terbina bersama rangka poli karbonat unik serta dilengkapi skrin AMOLED bersaiz 4.3 inci sesuai untuk kepuasan tontonan maksimum.

Lebih menarik, menerusi teknologi ClearBlack, peranti itu menawarkan paparan dan warna sangat jelas walaupun berada di bawah terik matahari.

Untuk fungsi pengimejan, Lumia 900 dilengkapi kamera berkuasa lapan megapiksel dengan kelebihan lensa Carl Zeiss, lampu flash LED berkembar, pemfokusan auto dan berskrin luas.

Kamera hadapannya beresolusi satu megapiksel sesuai untuk rakaman foto berkualiti serta menyokong aktiviti panggilan video.

Pengguna Lumia 900 juga tidak perlu risau tentang jangka hayat kuasa telefon mereka kerana ia mempunyai ketahanan bateri maksimum hanya dengan sekali cas.

Kelebihan lain Lumia 900, ia menyokong platform pelayaran Internet HTML 5 dan akses kepada storan awan dikenali sebagai SkyDrive.

Daripada segi fungsi antara muka utama untuk kedua-dua peranti itu, ia tersedia dalam paparan berpetak yang dikemaskini dalam masa nyata dikenali sebagai Live Tiles.

Menerusinya, pengguna boleh mencapai semua aplikasi seperti laman web rangkaian sosial, mesej, temujanji serta akses foto dan muzik secara lebih cepat.

Bagi aplikasi People Hub pula, ia akan mengintegrasi kesemua kontak pengguna bersama akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Linkedln bagi kemudahan paparan hanya pada satu klik.

Pelayaran Internet juga akan menjadi lebih produktif melalui model-model Lumia ini kerana ia disokong platform Internet Explorer 9 dan pelayar Bing selain aplikasi kerja Office serta Outlook Mobile.

Akhir sekali, kedua-duanya turut tersedia bersama aplikasi Nokia Maps dan Nokia Drive untuk kemudahan navigasi perjalanan di 100 buah negara seluruh dunia.

Nokia Lumia 610 dengan pilihan warna hitam, putih, merah jambu dan biru kini ditawarkan pada harga RM699 manakala Lumia 900 berkapasiti storan 16 gigabit (GB) dijual pada harga RM1,799 untuk warna biru, hitam dan putih.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top