Senin, 18 Juni 2012

Profesionalisme Perguruan Jadi Fokus Utama Transformasi Pendidikan

Bidang profesionalisme perguruan dan aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan serta kemenjadian murid menjadi fokus utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha mentransformasi pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata ia merupakan dapatan awal daripada lapan siri Dialog Nasional Pendidikan yang melibatkan 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan termasuk wakil daripada bidang keagamaan yang telah dilaksanakan sehingga kini.

Beliau berkata masih terdapat lima siri dialog akan berlangsung sehingga pertengahan bulan ini yang bertujuan mendapatkan maklumat dan pandangan masyarakat bagi menyediakan hala tuju pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar dapat memanfaatkan peluang yang masih ada ini untuk bersama-sama memberi input dan pandangan demi masa depan sistem pendidikan negara," katanya ketika menjawab pertanyaan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Teng meminta Menteri Pelajaran menyatakan hala tuju atau arah baru Kementerian Pelajaran dalam usaha mentransformasi Dasar Pelajaran Negara.

Muhyiddin berkata tujuh sesi perbincangan meja bulat melibatkan kumpulan berfokus dan berkepentingan dalam sistem pendidikan telah dilaksana mulai April lepas dan masih terdapat lapan sesi perbincangan untuk diselesaikan.

Katanya isu yang dibangkitkan semasa sesi perbincangan kebanyakannya menyentuh persoalan hampir sama seperti yang dibincang dalam siri dialog nasional seperti kualiti guru, sistem pendidikan, kurikulum dan pentaksiran, kualiti sekolah, kepimpinan sekolah, penekanan kepada nilai dan disiplin murid, penglibatan ibu bapa serta pendidikan yang bebas daripada campur tangan politik.

Beliau berkata perkara yang menjadi topik popular dalam lapan siri dialog dan tujuh perbincangan meja bulat itu ialah 27 peratus responden menyentuh aspek profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran pengajaran guru.

Aspek lain, kata beliau adalah aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan yang lebih menyeluruh (14 peratus), kualiti sekolah (12 peratus), kepimpinan sekolah (11 peratus), kurikulum dan pentaksiran (10 peratus), peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (sembilan peratus).

"Selain itu, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian (tujuh peratus), kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber (lima peratus), profesiensi pelbagai bahasa (tiga peratus) dan peluang lepasan menengah (satu peratus)," katanya.

Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada pertubuhan, persatuan, kumpulan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan yang menghantar 22 memorandum mengandungi pandangan, resolusi dan cadangan dalam usaha ke arah penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumus, laporan akhir akan disediakan dan menjadi input penting dalam menentukan hala tuju pendidikan yang baru atau rangka tindakan pendidikan, katanya.

Beliau berkata rangka tindakan itu akan dibentang semula kepada rakyat pada tempoh masa yang akan dimaklumkan kelak untuk mendapat maklum balas akhir masyarakat yang kemudiannya akan dibentang kepada Kabinet untuk diluluskan.

Muhyiddin berharap laporan hala tuju pendidikan yang komprehensif dan bersepadu itu akan dapat merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik serta memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top