Minggu, 24 Juni 2012

Roda Tajwid bantu pelajari al-Quran



PUTRAJAYA: Kesusahan anak muridnya mempelajari hukum tajwid al-Quran mendorong seorang guru, Hashimah Md Yusoff, 40, menghasilkan Roda Tajwid bagi memudahkan proses pembelajaran itu.

Usaha guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Presint 9 (2), di sini itu bukan saja terbukti membantu meningkatkan prestasi muridnya, bahkan diiktiraf pada peringkat kebangsaan selepas menjadi naib johan pertandingan Guru Inovatif Kebangsaan 2011 baru-baru ini.

Hashimah yang berasal dari Melaka, berkata idea menghasilkan Roda Tajwid bermula dua tahun lalu selepas mendapati muridnya keliru dengan pelbagai hukum tajwid diajar, selain terpaksa merujuk pelbagai buku untuk memahaminya.

“Saya kemudian mengumpulkan semua sukatan pelajaran hukum tajwid ini dan menyusunnya dalam bentuk roda interaktif yang memudahkan murid menguasainya.

“Ternyata murid saya berminat mempelajarinya kerana ia bersifat ‘play learning’ dan kini, ada daripada mereka mendapat markah dua kali ganda berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui ketika program Jejak Inovasi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Karnival Perpaduan di sini, semalam.

Roda Tajwid adalah alat bantuan mengajar tajwid pertama di Malaysia yang mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran.

Roda Tajwid memerlukan pelajar memusingkan roda kertas bagi memadankan hukum tajwid dengan huruf yang dicari serta warna sepadan untuk mengenal pasti nama hukum dan cara bacaan.

Hashimah berkata, Roda Tajwid akan dibukukan serta dijangka berada dalam pasaran hujung tahun ini, selain dipasarkan ke Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Alhamdulillah, sambutan awal yang saya terima sangat menggalakkan dan saya juga bercadang untuk menghasilkan Roda Tajwid dalam bentuk e-pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dalam ucapan perasmian program itu, berkata rakyat perlu membudayakan sikap kreativiti dan inovasi khususnya di kalangan kanak-kanak bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan berkualiti ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Pelbagai pengiktirafan disediakan kerajaan untuk memupuk minat golongan muda menghasilkan idea yang menggalakkan inovasi termasuk Anugerah Inovasi Negara dan Perdana Menteri," katanya. Ucapan beliau dibacakan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Mohd Aziph Mustafa.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top