Senin, 16 Juli 2012

Beli kurma secara dalam talian


PEPATAH lama Perancis ada menyebut, ‘hidup daripada makanan yang baik’. Ia melambangkan betapa kita seharusnya menikmati makanan yang sihat dan berkualiti untuk memastikan tubuh kita dapat membesar dengan khasiat yang mencukupi.

Salah satu khasiat makanan yang tidak dapat disangkal, malah diangkat tinggi oleh Rasulullah ialah buah kurma atau tamar dalam bahasa Arab.

Buah kurma yang hidup subur dikebanyakan negara beriklim panas seperti Asia Barat sudah biasa menjadi hidangan permulaan semasa berbuka puasa.

Serat dan gula semula jadi di dalamnya menjadikan kurma sebagai pemanis yang menyumbang tenaga serta-merta kepada tubuh setelah hampir 12 jam menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Siapa sangka kurma yang dahulunya dijual secara urus niaga di kedai, kini lebih mudah menerusi sistem pesanan dan transaksi dalam talian (online) sahaja.

Mula diperkenalkan sejak empat tahun lalu, konsep perniagaan secara elektronik itu telah menyumbang kira-kira 15 peratus kepada syarikat pembekal buah kurma terbesar di negara ini iaitu Mohamed Meera Sahib (M) Sdn. Bhd. (Meera).

“Setiap hari saya cuma perlu periksa pesanan menerusi komputer tablet sahaja. Cukup mudah walaupun ketika itu saya tidak berada di kedai,” ujar Mohamed Meera Sahib selaku pengarah syarikat.

Terletak di Lebuh Penang, George Town, perniagaan yang sudah berusia 58 tahun itu dirintis oleh almarhum bapanya, Mohamed Meera Sahib iaitu pedagang India Muslim yang tersohor di Pulau Pinang.

Beliau juga adalah perintis kepada perniagaan import eksport kurma ke negara ini sejak tahun 50-an bermula dengan kurma Babylon dari Iraq yang merupakan antara buah kurma berkualiti tinggi di dunia.

Syarikat itu juga merupakan pengimport utama rempah-ratus dari India dan negara-negara Asia Barat.

Harga kompetitif

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sepanjang Ramadan nanti, Meera menyediakan 49 jenis produk kurma untuk dipasarkan antaranya safawi, khudri, shazwin, alisha dan kurma bertangkai yang diimport dari Arab Saudi.

Turut dipasarkan ialah kurma bertangkai dari Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Jordan dan Pakistan.

Malah, syarikat itu juga merupakan pengimport tunggal kurma berkualiti tinggi, Meera Alwani yang termasyhur di Asia Barat.

Ujar Meera, menerusi laman web di www.kurma.com.my, urus niaga dalam talian itu boleh dibuat pada bila-bila masa dengan cara pembayaran sama ada menggunakan kad kredit, pay pal atau pindahan wang bank.

“Oleh kerana kami mengimport bekalan dalam jumlah yang besar sebab itu harga yang dipasarkan cukup kompetitif dengan buah-buah berkualiti tinggi.

“Bagi jualan pukal, pelanggan ditawarkan harga serendah RM25 sekilogram (kg) bagi kurma safawi, medjool (RM51), ajwa (RM85) di samping buah-buah kering seperti apricot (RM35) dan buah tin (RM30).

“Kita memperkenalkan kemudahan ini bagi memberi kesenangan kepada pelanggan untuk membeli kurma walaupun ketika berada di rumah dengan hanya melayari laman web untuk membuat pilihan,” jelasnya.

Dengan hanya sekali klik (selepas membuat bayaran secara atas talian), pesanan akan dihantar terus ke rumah pelanggan menerusi penghantaran kurier.

Bagi tempahan di Semenanjung Malaysia, pesanan akan diterima sehari selepas pesanan bergantung kepada lokasi.

Di samping laman web, Meera turut mewujudkan blog khas mengenai buah-buah kurma yang dipasarkan menerusi blog.kurma.com.my yang boleh dilayari orang ramai.

- KOSMO!

0 komentar:

Posting Komentar


Top