Selasa, 24 Juli 2012

Pakatan Rakyat Janji Turun Harga Kereta

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjanji akan melakukan rombakan terhadap Dasar Automotif Negara dalam usaha untuk menurunkan harga kereta sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata menerusi penstrukturan semula dasar berkenaan ia dapat mengurangkan bebanhutang rakyat sekaligus dapat meningkatkan pendapatan boleh guna pendapatan isi rumah rakyat.

"Pimpinan muda dalam PKR akan memastikan bahawa janji untuk menurunkan harga kereta akan dimasukkan menjadi salah satu janji utama dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU-13," katanya pada sidang media diIbu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Mengulas lanjut Mohd Rafizi berkata pembangkang juga akan menghapuskan duti eksais yang dikenakan kepada pembeli kereta pada ketika ini.

"Kereta yang paling kecil dengan dengan saiz enjin di bawah 1,500 cc akan dikenakan duti eksais 60 peratus dan cukai jualan 10 peratus. Ini meningkat kepada 100 peratus jika kereta itu diimport dengan tambahan cukai import sebanyak 30 peratus.

"Ini bermakna bagi sebuah kereta Perodua yang kecil pada harga RM40,000, pembeli perlu membayar cukai sebanyak RM16,500, kadar cukai ini sudah tentu lebih tinggi bagi kereta yang lebih besar," katanya.

Selain itu katanya berdasarkan Laporan Kaji Selidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang dikeluarkan Jabatan Statistik, 53 peratus dari keseluruhan isi rumah di Malaysia hanya berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan.

Statistik juga menunjukkan sebanyak 71.9 peratus keseluruhan isi rumah di Malaysia mempunyai dan menggunakan kereta sebagai pengangkutan.

"Pembeli terpaksa membelanjakan lebih separuh daripada gaji mereka setiap bulan bagi tujuan penyelenggaraan.

"Pentadbiran kerajaan yang mengabaikan pelaburan dalam pengangkutan awam juga memyebabkan pergantungan rakyat kepada kenderaan persendirian," katanya.

- MSTAR

0 komentar:

Posting Komentar


Top