Jumat, 13 Juli 2012

Waspada guna gajet

Oleh Ahmad Shukran Saharudin

Gajet peribadi yang berteknologi tinggi seperti telefon pintar dan notebook, adalah antara yang menyediakan kemudahan di hujung jari di samping menyenangkan kehidupan harian pengguna.

Semua gajet ini begitu mempengaruhi kehidupan hari ini. Kita berkomunikasi menerusi suara dan mendapatkan maklumat, menyiapkan tugas dan malahan menyimpan maklumat rahsia peribadi menerusi gajet berkenaan.

Namun gajet-gajet itu juga mempunyai kelemahan. Selain mengehadkan interaksi bersemuka, ia juga berkompromi dengan keselamatan data peribadi.

Bayangkan apabila anda kehilangan gajet berkenaan? Sebenarnya anda bukan setakat kehilangan gajet malah maklumat peribadi seperti nombor pin, alamat, gambar dan data peribadi lain yang disimpan dalamnya.

Oleh itu, pemilik gajet berkenaan adalah terdedah kepada unsur-unsur jenayah.

Apabila data peribadi pemilik gajet diperoleh oleh penjenayah, mereka bukan sahaja boleh mengeluarkan wang pemilik dari akaun bank atau untuk tujuan ugutan, malahan mereka boleh terpacul di depan pintu rumah pemilik gajet.

Gajet mudah alih ini juga senang jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini apabila pemiliknya lalai atau ia dicuri.

Tambahan pula, kemudahan Internet Wi-Fi percuma yang disediakan pihak restoran pula, akan menggalakkan orang ramai membawa komputer bimbit masing-masing dan duduk bersembang maya bersama rakan sehingga dinihari.

Rompakan di sebuah restoran mamak 24 jam di Shah Alam pada tahun lepas jelas menunjukkan pemilik gajet yang menggunakannya di tempat awam terdedah kepada penjenayah.

Dalam kejadian itu, bukan sahaja restoran itu yang dirompak, pelanggan juga turut menjadi mangsa dengan habis semua gajet, komputer dan telefon mereka disamun.

Pengurus projek Vitaldelta Sdn. Bhd., Syahrul Izwan Abdul Wahab ketika mengimbas kejadian di Shah Alam, itu berkata, rakannya yang sedang berbual bersama-sama yang lain didatangi oleh seorang pemuda yang tidak dikenali dan memberi salam sebelum melarikan telefon bimbit yang diletakkan di atas meja.

"Tiada unsur pukau berlaku. Tetapi mereka terkejut dengan tindakan pemuda berkenaan dan terpinga-pinga dengan kejadian itu," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

"Tetapi sejak kejadian di Shah Alam, dan kejadian di mana penjenayah merompak telefon bimbit rakan semasa sedang makan dan berbual-bual, saya mengambil langkah berhati-hati tidak membawa peralatan ke restoran. Saya akan buat kerja di rumah atau pejabat sahaja," katanya.

Tempat letak kereta juga antara yang tidak selamat. Namun pemilik kenderaan masih meninggalkan peralatan seperti notebook yang sememangnya menarik perhatian pencuri.

Rakan saya pernah mengalami kerugian beratus ringgit menggantikan cermin belakang keretanya ia dipecahkan semasa diletakkan di sebuah tempat letak kereta.

Ketika kejadian, dia meninggalkan sebuah fail mesyuarat yang hanya berisi beberapa helai kertas kosong, pen dan atur cara majlis - yang dianggap berisi barang berharga oleh penjenayah.

Sikap mengambil mudah juga perlu diubah. Jangan meninggalkan barang-barang berharga ataupun beg dalam kereta. Nanti kereta akan dipecahkan dan kita terpaksa menggantikannya yang tentunya berharga ratusan ringgit.

Paling tidakpun, kalau tidak mahu membawa segala gajet itu, sorokkanlah barang-barang dan alat elektronik itu di tempat yang sesuai. Bukannya diletakkan di tempat muda dilihat oleh orang yang lalu-lalang.

Saya juga ada menerima e-mel daripada seorang rakan yang mengingatkan supaya tidak meninggalkan alat penentu kedudukan global atau (GPS) dan alat kawalan jauh pagar elektrik dalam kereta.

Ini takut berkemungkinan kereta dicuri, penjenayah berpeluang menggunakan kedua-dua alat itu pulang ke rumah pemiliknya.

Jika itu berlaku, jiran-jiran pun tentunya tidak perasan bahawa bukan tuan rumah yang pulang!

Begitu juga dengan memasukkan nama isteri atau suami dengan gelaran manja seperti 'sayang' atau 'ayang' dalam telefon bimbit, yang kemudiannya dicuri yang membolehkan si penjenayah mengirim sistem pesanan ringkas kepada suami atau isteri itu meminta kata laluan dan sebagainya untuk mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM).

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top