Minggu, 15 Juli 2012

Sepanjang Karnival Kerjaya di Hari Koperasi Negara 2012


KUALA LUMPUR 15 Julai - Karnival kerjaya yang dianjurkan Jobs Malaysia sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2012 berjaya menarik kira-kira 1,000 pencari kerja untuk mencuba nasib memohon 1,025 jawatan kosong yang ditawarkan.

Ketua Unit Bimbingan Kerjaya, Jobs Malaysia, Md. Hatta Md. Jauhar berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan biarpun karnival berkenaan diadakan dalam skala kecil.

Katanya, sebanyak lapan syarikat seperti Kumpulan CIMB, Prudential Insurans dan 7-Eleven mengambil bahagian dengan menawarkan pekerjaan kepada lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hingga ke peringkat lepasan Ijazah Sarjana Muda.

"Bagi kekosongan untuk jawatan rendah yang ditawarkan, temu duga terus dijalankan di sini tetapi bagi jawatan tinggi pihak syarikat terbabit akan menjalankannya di syarikat masing-masing.

"Setakat ini kita belum mendapat data lengkap mengenai statistik pencari kerja yang berjaya ditawarkan pekerjaan tetapi melalui karnival ini, kita sasarkan 300 pencari kerja akan diterima bekerja oleh syarikat yang mengambil bahagian," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Jalil, di sini hari ini.

Karnival kerjaya berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2012 yang berlangsung sejak Jumaat lalu di pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dalam pada itu Md. Hatta berkata, bagi tempoh Januari hingga 15 Julai tahun ini, seramai 100,000 pencari kerja telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui Jobs Malaysia.

"Bagi tahun ini kita menyasarkan seramai 140,000 pencari kerja akan mendapat pekerjaan dan jumlah itu semakin dihampiri," jelasnya.

Sementara itu, seorang pencari kerja yang ditemui, Nurul Syazwani Mohd. Kassim, 22, berkata, karnival berkenaan sesuatu yang baik bagi individu sepertinya yang sedang mencari pekerjaan.

"Karnival seperti ini sudah tentu membuka ruang kepada saya untuk mencari dan bertanya berhubung kekosongan jawatan di syarikat terlibat," katanya.

- UTUSAN

0 komentar:

Poskan Komentar


Top