Senin, 09 Juli 2012

Mengurus kemahiran hidup elak berhutang

Oleh Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

LAPORAN Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) baru-baru ini menunjukkan tahap kualiti hidup rakyat Malaysia pada 2011 adalah meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Ini memberi gambaran bahawa terdapat peningkatan kemajuan kualiti hidup rakyat Malaysia yang merangkumi aspek fizikal, sosial dan ekonomi terutama dalam kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, akses dalam memperoleh pengetahuan dan menikmati taraf hidup yang berkualiti dan lebih selesa.

Adalah penting menikmati taraf hidup yang berkualiti dan selesa demi mencapai sebuah negara maju menjelang 2020. Walau bagaimanapun, anjakan kepada negara maju dan berpendapatan tinggi ini perlu juga membawa kepada anjakan masyarakatnya yang mempunyai kemahiran hidup yang tinggi. Kemahiran hidup yang dimaksudkan adalah berkaitan soal mengurus kewangan.

Golongan muda ialah individu yang dikatakan kurang mementingkan pengurusan kewangan dan suka terpengaruh dengan gaya hidup di luar kawalan atau kemampuan kewangan mereka. Malah gaya hidup mereka yang tidak dapat membezakan antara kehendak dan keperluan serta keinginan hidup mewah menyebabkan pinjaman yang dibuat ini terus meningkat.Apabila keadaan ini berlaku, mereka akan terjebak dengan masalah hutang yang akhirnya menyebabkan mereka gagal melunaskan pinjaman.

Ada juga golongan muda yang berhutang untuk tujuan peribadi. Sebagai contoh berhutang untuk menyertai skim cepat kaya. Mereka sanggup meminjam wang dari institusi kewangan hanya untuk mencuba mengubah ‘nasib’ melalui skim tersebut. Ada yang sanggup berhutang sehingga mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Mereka tidak sedar bahawa jika jumlah hutang yang dibuat melebihi RM30,000 misalnya, dan mereka tidak dapat melunaskannya mengikut ketetapan bank, kemungkinan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang dan berakhir dengan kebankrapan.

Kesan secara langsung mereka yang dibelenggu pinjaman dan hutang piutang ini boleh menjejaskan produktiviti di tempat kerja dan kadang-kala menyebabkan terjadinya pertengkaran dan mencetuskan pergaduhan dalam keluarga. Begitu juga dengan dengan alam pekerjaan misalnya, rekod peribadi mereka akan terjejas dan peluang untuk kenaikan pangkat, kekal dalam jawatan atau mendapat pekerjaan baru adalah sukar. Apabila keadaan ini berlaku adakah kualiti hidup dapat dicapai?

Memang tidak dinafikan dalam kehidupan hari ini ramai orang yang seronok berhutang terutama orang muda. Sebabnya jika hendak membuat pinjaman kini adalah sangat mudah. Usaha tidak banyak tapi pinjaman yang diperoleh memang banyak. Hanya menunggu beberapa hari sahaja kelulusan pinjaman. Itulah sebabnya ramai masyarakat kita terutama golongan muda ini suka berhutang tetapi tidak pula bijak dalam mengurus atau melunaskan hutang mereka. Malah tidak ramai yang membuat penilaian sama ada hutang yang mereka ambil itu jenis hutang yang perlu atau sebaliknya.

Hutang yang tidak bersandarkan aset ini selalunya dikenakan kadar faedah yang tinggi oleh institusi kewangan kerana dianggap sebagai jenis hutang berisiko tinggi. Manakala tempoh bayarannya pula bergantung kepada jumlah wang yang dibayar.

Jika bayaran yang dibuat adalah jumlah yang minimum, individu itu akan mengambil masa lama untuk menjelaskan hutang kad kreditnya. Oleh itu, amat penting untuk seseorang untuk mengetahui tentang jenis-jenis hutang dan sebab mereka berhutang kerana mereka akan menjadi lebih fokus apabila menangani bebanan hutang kelak.

Berbeza dengan individu yang bijak mengurus kemahiran hidup dalam soal kewangan ini. Mereka hanya berhutang untuk membeli atau membina rumah kediaman, membeli kenderaan sebagai pengangkutan yang menjadi satu tuntutan pada zaman sekarang untuk berulang-alik ke tempat kerja. Hutang ini tergolong dalam jenis hutang yang bersandarkan aset.

Tempoh pembayaran yang panjang dan kadar faedah agak berpatutan bergantung keadaan ekonomi tempatan dan dunia. Hutang untuk membeli aset sebegini adalah satu lumrah kerana harga aset ini juga adalah tinggi dan jarang sekali dapat membeli secara tunai.

Justeru, hutang perlu diuruskan dengan cara yang teratur dan dilakukan dengan perancangan yang betul. Misalnya, apabila tibanya musim gaji, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membayar hutang dan bil-bil bulanan seperti hutang kereta, rumah, bil air, bil api, hutang pinjaman pendidikan dan sebagainya.

Selepas membayar hutang, perbelanjaan barang keperluan perlu dibuat dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran. Berbelanjalah dengan sebaiknya. Membeli sesuatu mengikut kemampuan dan tidak berbelanja melebihi kemampuan diri.

Dalam suasana masyarakat yang suka berhutang ini apa yang boleh difikirkan dan disyorkan dalam menangani isu ini, perlu dimasukkan satu subjek khas berhubung ilmu kemahiran kewangan peribadi kepada pelajar bermula di peringkat sekolah menengah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendedahan subjek pendidikan kewangan peribadi misalnya dapat membentuk individu lebih bertanggungjawab dalam mengurus soal kewangan mereka.

Apabila individu itu bijak dan pandai mengurus kemahiran hidup terutama dalam persoalan kewangan ini maka secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup yang lebih selesa untuk mencapai sebuah negara maju menjelang 2020.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top