Jumat, 13 Juli 2012

Majoriti pekerja lulusan SPM

KUALA LUMPUR 12 Julai - Ekonomi negara terlalu bergantung kepada tenaga buruh yang hanya mempunyai tahap pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Beliau berkata, laporan Model Baru Ekonomi (MBE) bagi tahun 2008 menunjukkan 80 peratus ekonomi bergantung kepada pekerja yang hanya memiliki tahap pendidikan SPM.

"Gambaran ini membimbangkan kerana dengan kelayakan itu, sukar bagi mereka menyumbang di tahap yang lebih tinggi kepada ekonomi negara.

"Dalam dunia semasa jika keadaan ini berlaku ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada negara pada masa hadapan disebabkan negara kini bergantung kepada sektor eksport untuk maju dan bersaing di peringkat sejagat," katanya ketika membentang kertas kerja Pendekatan Tamadun Kepada Model Baru Ekonomi Negara pada forum 'Memahami Islam Membina Peradaban' di Ikim, hari ini.

Beliau juga menyebut laporan MBE yang menyatakan sebanyak 40 peratus isi rumah terbawah dalam hierarki pendapatan negara yang hanya mampu menjana pendapatan RM1,500 sebulan.

Beliau berkata, pada tahun 2008 kira-kira 350,000 rakyat di negara ini bekerja di luar negara dan 50 peratus daripadanya adalah lulusan universiti tempatan.

"Kajian terperinci perlu dilakukan mengapa jumlah produk universiti tempatan bekerja di luar negara? Adakah disebabkan mutu atau keadaan ekonomi yang tidak mampu mewujudkan jenis pekerjaan sesuai dengan lulusan universiti," katanya.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top