Senin, 23 Juli 2012

Pekerja risau tak cukup simpanan

Lapan puluh peratus pekerja di Malaysia bimbang tidak mempunyai simpanan mencukupi dan menjadi beban kepada waris apabila bersara, demikian mengikut kaji selidik Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).

Pengarah Program dan Felo Kanan Inisiatif Usia Global CSIS, Richard Jackson, berkata empat daripada lima penduduk negara ini bimbang mendapat penyakit serius selepas bersara dan tiada siapa mempedulikan mereka. Katanya, peratusan itu paling tinggi antara enam negara yang dikaji menerusi Kaji Selidik Persaraan Asia Timur yang dikendalikan bersama institut penyelidikan dasar awam berpangkalan di Washington itu dengan firma insurans global, Prudential PLC.
“Kebimbangan itu berpunca antaranya faktor usia persaraan di negara ini yang lebih rendah menyebabkan mereka berdepan risiko kehabisan simpanan dalam tempoh singkat,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Harapkan waris

CSIS menggunakan sampel daripada responden terdiri daripada penduduk bandar dan di luar bandar dengan data dibahagi mengikut usia, jantina dan tahap pendidikan.

Jackson berkata, prospek persaraan di negara ini bagaimanapun lebih baik dalam kalangan generasi muda kerana majoriti menjangkakan mereka kurang bergantung kepada waris selepas bersara, berbanding pesara sedia ada.
“Namun, dengan satu daripada lima pekerja masih menjangkakan tidak menerima manfaat persaraan, tinjauannya adalah masih jauh daripada keadaan selamat,” katanya.

Rakyat Malaysia juga, katanya mempunyai pandangan berbeza terhadap sistem persaraan ideal dengan 39 peratus menyatakan kerajaan bertanggungjawab kepada pendapatan persaraan, manakala 31 peratus lagi berkata ia adalah tugas individu.

Tambah usia pencen

“Walaupun peranan keluarga dilihat semakin mustahak, hanya 14 peratus responden mengatakan anak yang bekerja bertanggungjawab menyediakan pendapatan persaraan kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi kebimbangan itu, sistem persaraan Malaysia perlu meningkatkan usia persaraan, menambah penyertaan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan meletakkan siling perlindungan kemiskinan usia yang kukuh.

“Malaysia bernasib baik kerana memiliki demografi memihak yang memberikan ruang serta masa mencukupi kepada pembuat dasar untuk bertindak,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top