Senin, 23 Juli 2012

Cabaran dalam meningkatkan integriti penjawat awam

Oleh DATUK AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM

KESERIUSAN kerajaan dalam meningkatkan integriti dan mengekang jenayah rasuah di kalangan pegawai awam jelas menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan program yang diperkenalkan sejak sedekad lalu.

Antaranya menjadikan rasuah sebagai salah satu daripada bidang penting yang ditekankan dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Untuk itu, sebanyak 27 inisiatif telah dan sedang dilaksanakan dengan giatnya menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA Berkaitan Rasuah.

Apa yang menjadi faktor paling kritikal dalam memastikan usaha meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam, sebenarnya bukanlah terletak pada hanya kesungguhan kerajaan. Kesungguhan itu juga perlu datang dari kepimpinan agensi kerajaan dan menuntut semua lapisan warganya untuk berubah.

Sejak kebelakangan ini, terdapat perubahan yang boleh dibanggakan ditunjukkan oleh kalangan anggota perkhidmatan awam berbanding sedekad lalu. Hakikatnya, tahap kesedaran para pegawai awam terhadap integriti dan semangat anti-rasuah jelas meningkat. Namun demikian, masih banyak ruang boleh diperbaiki untuk menjadikannya unggul di kaca mata masyarakat.

Berdasarkan perangkaan SPRM sepanjang sembilan tahun iaitu 2003 hingga 2011, secara keseluruhannya, purata tangkapan ke atas penjawat awam adalah seramai 260 orang setahun. Berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di Malaysia iaitu 1.4 juta orang, peratusannya adalah terlalu kecil iaitu sekitar 0.018 peratus sahaja.

Walaupun kelihatan kecil namun jika tidak dibendung ia mampu meruntuhkan negara. Pegawai awam dilihat mempunyai kuasa dan kuasa ini jika disalahgunakan boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk.

Trend perubahan ke arah pembudayaan integriti dan anti-rasuah di kalangan pegawai awam jelas ketara bermula 2009. Terdapat pengurangan yang jelas dari segi jumlah tangkapan ke atas penjawat awam berbanding tangkapan ke atas sektor swasta dan orang awam. Kempen Perangi Pemberi Rasuah benar-benar menghasilkan impak yang besar dalam sejarah pencegahan rasuah di negara ini. Sejak pelancarannya pada 2009, jumlah penjawat awam dan swasta yang ditangkap kerana cuba menyogok pegawai awam melonjak begitu tinggi. Dalam 2009 misalnya, jumlah tangkapan keseluruhan SPRM ialah seramai 500 orang kerana ditangkap cuba memberi rasuah seramai 98 orang. Melonjak melebihi empat kali ganda iaitu seramai 424 orang dalam 2010 dan 389 orang dalam 2011. Jumlah wang sogokan bermula dari RM50 ke angka RM1 juta.

Perubahan BPR kepada SPRM dalam 2009 sebenarnya membawa kepada perubahan dari segi pendekatan dan strategi pencegahan rasuah di negara ini. SPRM menetapkan tiga bidang utama iaitu penguatkuasaan, perolehan (sebut harga dan tender awam) dan projek mega kerajaan sebagai fokus utamanya.

Beberapa kelemahan yang selama ini menghalang usaha pencegahan rasuah dikenal pasti, antaranya tanggapan bahawa tanggungjawab memerangi rasuah terletak di tangan SPRM semata-mata, kurangnya inisiatif agensi awam untuk mencegah rasuah; mekanisme kawalan dalaman yang longgar dan tidak sempurna dan kesalahan rasuah tidak dianggap sebagai kesalahan berat bagi kes tatatertib.

Terdapat segelintir ketua yang menganggap tugas mencegah rasuah adalah tanggungjawab SPRM. Justeru, pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah bukan merupakan agenda utama. Yang lebih penting menjaga suasana harmoni dan semangat esprit de corp di kalangan pegawai/staf. Jika tindakan keras diambil dan pembudayaan anti-rasuah menjadi berkesan maka ia kononnya akan mewujudkan suasana kurang selesa dan syak wasangka sesama anggota.

Perkara yang lebih disesalkan ialah sikap kasihan kepada pesalah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Bagi SPRM, siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata. Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Namun, atas dasar simpati, suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja.

Perangkaan SPRM sepanjang 10 tahun lalu berhubung kes tatatertib jelas menunjukkan sebanyak 1,957 laporan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi. Daripada jumlah itu, hanya 60 kes dikenakan hukuman buang kerja. Sebaliknya, 979 atau 50% dikenakan surat amaran yang tidak mendatangkan apa-apa kesan deterrent. Ini jelas menunjukkan tiada istilah serius dalam kes-kes yang melibatkan perbuatan jenayah rasuah.

Cabaran utama yang perlu diperbaiki dalam memastikan kelangsungan program pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah melibatkan dua pendekatan strategik yang dikenal pasti SPRM iaitu memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam dan memperkukuhkan SPRM.

Justeru, dalam konteks memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam, SPRM telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan model pencegahan rasuah yang berbentuk kawalan dalaman menerusi penubuhan Unit Integriti di kementerian, jabatan Persekutuan dan negeri.

Model unit ini sama seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan. Di AS ia lebih dikenali sebagai Inspector General Office (IGO). Unit ini diwujudkan di jabatan-jabatan berisiko tinggi dan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan menjalankan siasatan ke atas kes-kes berkaitan integriti, rasuah dan lain-lain jenayah yang melibatkan warga agensi terbabit.

Mengambil contoh di AS, unit integriti New York Police Department (NYPD) ditubuhkan dengan keanggotaan seramai 700 orang bagi memantau 35,000 pegawai polis di NYPD iaitu nisbah 1:50 manakala Pihak Berkuasa Pelabuhan New York mempunyai keanggotaan 70 orang bagi memantau 7,000 pekerjanya iaitu nisbah 1:100.

Idea berhubung penubuhan Unit Integriti di agensi-agensi kerajaan ini disambut baik. Buat masa ini, empat agensi telah mewujudkan unit ini iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM sendiri. Pegawai-pegawai SPRM akan dilantik dan ditempatkan sebagai Ketua Unit Integriti di agensi-agensi terbabit.

Perubahan status daripada BPR ke SPRM dalam 2009 sebenarnya selari dengan perubahan besar kepada budaya kerja dan sistem operasi SPRM secara keseluruhannya. Bermula dengan Pelan Strategik SPRM 2011-2013, tiga bidang utama diperkukuhkan termasuk memperkenalkan sistem pengurusan siasatan berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan dan pembangunan serta pemantapan modal insan SPRM secara menyeluruh.

Jawatankuasa Eksekutif Transformasi yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Penasihat SPRM dibentuk bagi memacu proses transformasi. Kesan kepada proses transformasi ini jelas memantapkan SPRM dari segi memperbaiki struktur organisasi, memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan kompetensi, memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa masuk tenaga pakar yang berkepakaran tinggi bagi meningkatkan operasi SPRM.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top