Senin, 23 Juli 2012

Didik anak seronok berpuasa

Puasa menjadi kewajipan apabila seorang Islam baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam.

Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang mencecah usia tertentu serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa semata-mata kerana Allah. Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka berusia tujuh tahun. Malah, sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal usia tiga dan empat tahun.
Anjuran laksana ibadah

Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya diperintahkan berpuasa sebelum mencapai umur baligh? Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi melatih kanak-kanak berpuasa.

Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa yang disebut hadis riwayat Imam Bukhari: “Nabi SAW mengirim utusan ke kampung golongan Ansar pada siang hari Asyura (untuk menyampaikan): Bahawa siapa yang tidak berpuasa sejak pagi hari maka dia harus menggantinya pada hari lain, dan siapa yang sudah berpuasa sejak pagi hari maka hendaklah dia melanjutkan puasanya. Dia (Ar-Rubai' binti Mu'awwidz) berkata: Selepas itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat permainan diperbuat daripada bulu serigala, apabila seorang daripada mereka ada yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus kami lakukan hingga tiba waktu berbuka.”

Waktu terbaik berpuasa

Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa walaupun belum mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih memahami tanggungjawab berpuasa apabila mencapai usia akil baligh.

Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan berpuasa jika mereka dapat menanggung kesusahan ibadat itu. Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat kalangan ulama berkenaan waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa.

Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun seperti dalam kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang mencadangkan ia bermula pada usia 10 tahun, manakala ulama lain menyebut titik permulaan latihan adalah pada usia 12 tahun.

Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan kanak-kanak tidak perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun, pandangan itu tidak disokong bukti sahih. Cuma satu alasan diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan penduduk Madinah adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam.

Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan sahabat Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana untuk masa lama, malah hingga sekarang.

Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah juga menggalakkan kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat. Kisahnya, suatu hari Umar al-Khattab dihampiri seorang lelaki yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)

Pujuk anak berpuasa

Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan juga amalan dilakukan penduduk Madinah pada zaman Umar. Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa menjadi pendapat dipegang majoriti ulama.

Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa pada zaman Rasulullah lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun, kerana dalam hadis golongan Ansar dinyatakan wanitanya membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih perhatian anak mereka yang kelaparan.

Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun pada masa itu. Jadi kanak-kanak yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia lebih muda.

Menggalakkan kanak-kanak berpuasa, tidak perlu kita memaksa mereka menghabiskannya sehingga sebulan. Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih santai dan bijak dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam Islam. Cari jalan supaya anak seronok berpuasa.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top