Senin, 09 Juli 2012

Borang penamaan waris KWSP melalui pos ditamatkan

Mulai 1 Ogos, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menamatkan penerimaan borang penamaan waris melalui pos, antaranya bagi mengelak penipuan.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya Nik Affendi Jaafar berkata keputusan itu antara lain bertujuan untuk mengesahkan kesahihan penamaan yang dibuat.

Ini memandangkan maklumat sulit di dalam borang itu akan menentukan penerima simpanan ahli sekiranya berlaku kematian.

KWSP kini mempunyai sejumlah 13 juta ahli.

"Ahli juga tidak boleh mewakilkan sesiapa menghantar borang penamaan waris itu dan jika ada yang berbuat demikian borang mereka akan ditolak," katanya dalam satu kenyatan.

Nik Affendi berkata ahli KWSP juga tidak perlu membawa saksi semasa menghantar borang itu jika ianya lengkap diisi dengan maklumat tepat sekiranya terdapat lebih daripada seorang penama.

“Ahli KWSP boleh mendapatkan borang KWSP 4 (borang penamaan waris) dari cawangan berhampiran atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi 03-89226000 untuk maklumat lanjut," katanya.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top