Selasa, 24 Juli 2012

Simulasi pilihanraya jadi modul baru PLKN

Simulasi proses pilihan raya, di mana proses pemilihan pemimpin kerajaan dibuat secara praktikal bermula daripada pembubaran Dewan Rakyat sehingga pilihan raya selesai, adalah antara penambahbaikan yang dilakukan dalam modul kenegaraan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata simulasi dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) itu akan dimasukkan dalam modul kenegaraan di semua 79 kem PLKN di seluruh negara bermula tahun depan dengan 14 kem dipilih sebagai perintis pada tahun ini.

"Simulasi ini merupakan penambahbaikan dalam modul kenegaraan yang diharap dapat memberi kefahaman kepada pelatih-pelatih PLKN tentang pentingnya penglibatan mereka di dalam proses pilihan raya serta demokrasi yang diamalkan di negara ini," katanya selepas melancarkan pemilihan PLKN siri 10/2013 di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Sementara itu Abdul Hadi berkata kesemua pelatih yang terlibat dalam modul itu akan berlakon sebagai calon dan penyokong untuk membentuk 'kerajaan mini', serta dibenarkan mempamer poster semasa berkempen.

"Kami akan memberikan mereka logo-logo untuk mewakili parti yang dipilih dan ia (proses pilihan raya) itu hanya berjalan selama tiga hari," katanya sambil menambah kesemua pelatih diwajibkan terlibat dalam simulasi berkenaan.

Sementara itu, Zahid berkata aktiviti air dalam modul fizikal PLKN akan diperkenal meliputi latihan keyakinan diri di dalam air, latihan pengapungan dan tatacara keselamatan.

"Oleh yang demikian, semua latihan air dilaksanakan di dalam kolam renang. Keperluan kolam renang ini akan dimasukkan dalam kontrak kerajaan Penguasa Kem mulai tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, Tiki Lafe berkata semua latihan air hanya akan diadakan di kolam renang ekoran isu kematian seorang pelatih yang didakwa terkena jangkitan wabak kencing tikus di kem Sungai Siput, Perak, Mac lepas.

"Kami sudah tetapkan bahawa, kalau kem itu tiada kolam renang, mereka perlulah menggunakan kolam renang yang ada berdekatan kem mereka macam di kem-kem tentera, polis dan sebagainya.

"Kalau tak ada juga, mereka mungkin perlu menyewa kolam renang untuk mengadakan aktiviti air ini," katanya.

Mengenai pemilihan pelatih PLKN pada Januari 2013 nanti, Zahid berkata daripada 513,527 remaja yang lahir pada 1995, seramai 140,000 (26.95 peratus) terpilih untuk menyertai PLKN siri 10/2013.

"Kerajaan masih mengekalkan polisi 55 peratus daripadanya adalah lelaki dan 45 peratus perempuan. Pecahan mengikut kaum pula adalah Melayu (60 peratus), Cina (28), India (10) dan lain-lain sebanyak dua peratus," katanya.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top