Senin, 23 Juli 2012

Banyak kekosongan bidang agama

Isu kekurangan peluang pekerjaan pelajar yang mengikuti pengajian di institusi agama di Indonesia mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Serentak itu, beliau akan menemui pemimpin Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia-Indonesia (PKPMI) kerana menganggap masalah itu tidak sepatutnya berlaku berikutan banyak kekosongan jawatan dalam bidang agama di negara ini seperti guru Kelas Jawi, al-Quran, Bahasa Arab Komunikasi dan Fardu Ain (JQAF) serta perbankan Islam.
“Saya bimbang mereka masuk institusi pengajian tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sehingga sukar cari kerja,” katanya selepas menyampaikan juadah berbuka kepada golongan miskin di Dataran Daruzzakah, Kuala Lumpur

Beliau mengulas laporan BH kelmarin, mengenai graduan agama di Indonesia gagal mendapat kerja seperti didedahkan PKPMI pada sesi dialog bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bali, baru-baru ini.

Jamil Khir berkata, faktor lain menyebabkan masalah itu juga mungkin disebabkan graduan terbabit memohon jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau mahu berkhidmat sebagai pegawai atau kakitangan di ibu pejabat dan pejabat jabatan agama yang mempunyai jawatan terhad.

“Bagi mengelak masalah sukar dapat kerja, pelajar kita di luar negara perlu mendapatkan pengesahan JPA, sama ada pengajian mereka diiktiraf kerajaan atau sebaliknya.

“Ada institusi pengajian tinggi (IPT) di luar negara tidak mengutamakan kualiti akademik, sebaliknya mempermudahkan kemasukan pelajar,” katanya.
Mengenai majlis di Dataran Daruzzakah, beliau berkata, program dikendalikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu berjalan sepanjang Ramadan dan setiap hari 500 bungkusan makanan diagihkan kepada golongan asnaf.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top