Senin, 23 Juli 2012

Tabiat Buruk Pembeli Akibatkan Peruncit Rugi Besar

Tabiat buruk dan sikap tidak jujur ketika membeli-belah mengakibatkan peruncit kerugian jutaan ringgit setiap bulan.

Pembeli membuka paket produk tetapi tidak membelinya, menekan dan menyentuh buah-buahan serta sayur-sayuran sehingga menjejaskan kesegarannya, menambah barangan selepas ditimbang dan menukarkan tanda harga atau kod bar antara tabiat buruk membeli-belah.

Malah segelintir pembeli mencuba seluar dalam walaupun terdapat peringatan melarang mereka untuk berbuat demikian atas sebab kebersihan.

Tetapi sekarang lebih banyak yang terdedah oleh sikap mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, tabiat itu berpunca daripada kurang kepercayaan antara pengguna dan peruncit.

“Kita mempunyai budaya apabila pergi ke pasar dan memeriksa barangan dengan teliti untuk memastikan kesegarannya tetapi pasar raya dan pasar raya besar telah menetapkan standard lebih tinggi untuk setiap barangan.

“Pengguna perlu belajar untuk mempercayai pada label berbanding membuka paket atau mencucuk buah-buahan,” katanya.

Berdasarkan kes yang berlaku dalam rangkaian gedung Mydin, pelupusan produk segar disebabkan tabiat ini adalah antara satu dan dua peratus daripada jualan harian. Kadar bagi barangan tidak mudah rosak adalah kurang satu peratus.

“Jika jualan harian kami adalah RM100,000 sehari, maka nilai buah-buahan dan sayur-sayuran yang dibuang bernilai sehingga RM2,000,” katanya.

Seorang pengarah rangkaian runcit yang tidak mahu dikenali berkata, tabiat buruk pengguna semakin menjadi satu kebiasaan.

“Apabila kami memeriksa di gedung, kami mendapati terdapat barangan yang diletakkan di rak yang salah, bekas ais krim dan paket daging pula terbuka dan terdedah menyebabkan kami terpaksa membuangnya,” katanya.

Beliau berkata, secara purata kerugian yang dialami oleh gedung syarikatnya berjumlah antara 0.3 peratus dan 0.5 peratus daripada jualan harian atau kira-kira RM19 juta setahun.

“Bagaimanapun, kos ini tidak diserapkan kepada pengguna kerana kami akan kehilangan daya saing,” kata beliau.

Presiden Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Nelson Kwok berkata, walaupun kebanyakan pembeli merupakan pengguna yang berhemah tetapi sejumlah kecil ‘kambing hitam’ ini telah menyebabkan peruncit mengalami kerugian.

“Sebelum ini, pengguna lebih bertanggungjawab tetapi mereka fikir mereka mempunyai hak untuk membuka dan memeriksa barangan,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi KK Group, Datuk Dr Chai Kee Kan menjadikan contoh apabila seorang pengguna menukarkan tanda harga RM5 pada satu botol pati ayam dengan RM30 bagi kotak yang mengandungi enam botol.

Beliau berkata, sesetengah pembekal menerima barangan yang rosak dan sanggup untuk menukarkan barangan kepada yang baru tetapi peruncit akan mengalami kerugian sekiranya pembekal enggan.

Bagi mengurangkan kerugian, beliau berkata, syarikatnya yang menjalankan operasi di 104 pasar raya seluruh negara akan menempatkan barangan yang lebih berharga berhampiran dengan juruwang dan telah memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV).

Setiap premis mempunyai antara 10 dan 16 CCTV.

Kwok menasihatkan peruncit supaya memastikan kakitangan barisan hadapan mereka supaya setiap memantau gerak-geri pembeli dan sentiasa berwaspada.

“Kami mempunyai pekerja yang terlatih dan mengambil tahu pergerakan pelanggan. Segelintir pelanggan jika dibiarkan bersendirian, akan cuba untuk membuka paket barangan,” kata beliau.

Jurucakap pasar raya besar Tesco berkata, syarikat tidak akan bertolak ansur langsung terhadap pelanggan yang mempunyai tabiat buruk seperti itu.

“Kami menggunakan banyak inisiatif berlandaskan undang-undang seperti mempunyai pengawal keselamatan yang membuat rondaan, mempertingkatkan pengawasan CCTV, meletakkan tanda amaran dan memberi program kesedaran berhubung kecurian kepada kakitangan barisan hadapan kami.

“Kami juga menambah baik pembungkusan dengan perlindungan produk,” katanya.

- MSTAR

0 komentar:

Posting Komentar


Top