Minggu, 08 Juli 2012

Usia Bukan Halangan Cinta Ella Dan Azhar

KLANG: Penyanyi Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 46 tidak melihat jarak usia antara dirinya dan suami sebagai satu halangan untuk mereka mengecap bahagia sebagai pasangan suami isteri.

Ella, 46, berkata, apa yang lebih penting adalah keserasian di antara mereka dan menyanjungi personaliti suaminya iaitu Azhar Ghazali, 30-an yang cukup matang dan memahami dirinya.

"Ini dikatakan jodoh yang ditentukan Allah. Saya tidak melihat pada faktor usia sebaliknya memandang nilai dirinya yang cukup memahami diri saya dan matang sebagai seorang lelaki. Tambahan pula kami cukup serasi," ujarnya.

Penyanyi lagu Layar Impian itu selamat diijabkabulkan dengan Azhar iaitu seorang juruterbang syarikat Firefly dengan sekali lafaz di kediaman pengantin perempuan di Teluk Gadung di sini kira-kira pukul 10.30 malam Sabtu lalu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Jurunikah Masjid Nurul Iman, Klang, Baharuddin Abu Bakar berwalikan abang sulung pengantin perempuan, Mohd Noor Izam Aminudin.

Ella dan Azhar sebelum itu telah ditunangkan sebelum majlis akad nikah bermula.

Dalam pada itu, Azhar berkata, dia juga tidak melihat soal usia sebagai penghalang dan menjadikan perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W. bersama Siti Khadijah sebagai contoh terbaik dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.

"Rasulullah juga berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia darinya dan baginda dapat hidup dengan bahagia dan penuh berkat.

"Saya mengambil contoh itu dan Insya Allah akan membina rumah tangga ini dengan sempurna," ujarnya.

Ditanya mengenai keistimewaan Ella di matanya, Azhar berkata, sifat isterinya yang seorang penyayang dan cukup bersederhana menjadikan hatinya tertawan dengan ratu rock negara itu.

Ujar Azhar, walaupun sebelum ini ada beberapa rintangan dalam hubungan mereka sepanjang sembilan tahun berkenalan, dia bersyukur akhirnya dapat disatukan dengan isteri tercinta.

"Mungkin dulu kami tidak matang dan tidak bersedia untuk bergelar suami isteri tetapi sikap penyayang dan sederhananya membuatkan hati saya sentiasa terpaut kepadanya.

"Ini dinamakan jodoh dan saya gembira kami akhirnya dapat disatukan," katanya.

Sementara itu, Ella berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan membahagiakan suaminya.

Ella berkata, walaupun sudah terbiasa hidup solo sebelum ini, dia tidak bimbang untuk menyesuaikan diri dengan status barunya itu dan yakin dapat melaksanakan tugas itu dengan baik.

"Bila saya putuskan untuk mendirikan rumah tangga itu bererti saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri kepada seorang suami.

"Insya Allah semuanya akan berjalan dengan lancar. Doakan kebahagiaan kami berdua," katanya.

Dalam perkembangan sama, ibu Ella, Yang Asmah Yong, 85, memanjatkan kesyukuran hasratnya untuk melihat puteri kesayangannya itu berkahwin akhirnya tercapai.

Yang Asmah berkata, dia sudah menantikan saat ini begitu lama dan cukup gembira dengan perkahwinan tersebut.

"Rasanya makciklah orang yang paling gembira sekali apabila Ella akhirnya berkahwin dan doa makcik semoga dia kekal bahagia sehingga ke akhir hayat," katanya.

Pasangan itu akan diraikan dalam majlis menyambut menantu di Muar, Johor pada minggu hadapan dan resepsi seterusnya akan diadakan pada 1 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

- MSTAR

0 komentar:

Posting Komentar


Top