Senin, 18 Juni 2012

Perkuburan angkasa lepas



Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

KATA-KATA daripada tanah manusia datang dan kepada tanah mereka kembali mungkin tidak lagi sesuai untuk segelintir individu yang inginkan cebisan jasad mereka yang berupa abu mayat, disemadikan di angkasa lepas.

Pada 22 Mei lalu, roket Falcon 9 milik syarikat swasta SpaceX menerbangkan abu mayat 300 individu untuk dibawa ke angkasa lepas. Abu itu disimpan dalam sebuah tabung penyimpanan khusus di seksyen kedua Falcon 9.

Menurut presiden syarikat itu, Gwynne Shotwell, seksyen tersebut dibuang sekitar 10 minit selepas kapal angkasa Dragon yang berisi muatan makanan seberat 454 kilogram (kg) dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Abu itu akan kekal di orbit selama kira-kira setahun sebelum jatuh semula ke Bumi.

Apa yang menarik, sebahagian abu tersebut merupakan milik ikon terkenal seperti bekas angkasawan AS, Gordon Cooper, jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Bob Shrake dan pelakon filem Star Trek, James Doohan.

Bisnes angkasa

Cooper merupakan salah seorang daripada tujuh angkasawan AS yang terlibat dalam misi meneroka planet Utarid tetapi projek yang dilancarkan pada 15 Mei 1963 itu gagal mencapai matlamatnya.

Shrake pula ialah seorang lelaki yang suka merendah diri dan sering menghabiskan waktu dengan mencipta roket pelancar untuk NASA.

Menurut anak perempuan Shrake, Robin Smith, ayahnya telah mati sejak tahun 2007 lalu tetapi dia dan keluarganya mengambil keputusan untuk mengikut program itu memandangkan ayahnya terlalu obses dengan dunia astronomi.

Doohan pula tidak perlu diperkenalkan lagi. Wataknya sebagai Scotty dalam Star Trek sangat berpengaruh di seluruh dunia. Dia meninggal dunia pada 20 Julai 2005.

Kos penghantaran abu mayat itu dianggarkan RM12,000 setiap satu.

Pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad, berpendapat kegilaan manusia untuk meneroka bidang angkasa lepas menyebabkan banyak firma swasta memperkenalkan pelbagai pakej menarik.

"Selain perkhidmatan menghantar abu mayat, terdapat syarikat yang menawarkan pakej melancong dan bermalam di angkasa lepas.

"Lagipun NASA kekurangan dana untuk melaksanakan semua misi angkasa berikutan kegawatan ekonomi yang melanda AS," katanya.

Shahrin berkata, perkhidmatan abu mayat itu tidak sesuai bagi mereka yang beragama Islam.

Tutur Shahrin lagi, kesedaran masyarakat negara ini terhadap bidang astronomi juga semakin berkembang. Ini dibuktikan dengan kewujudan hotel yang menawarkan perkhidmatan mencerap bintang seperti Klana Beach Resort di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Agensi Angkasa Negara juga aktif mengadakan program dan seminar berkaitan astronomi yang menarik perhatian orang ramai khususnya kanak-kanak," jelasnya.

Beliau berharap Malaysia akan mengikut jejak langkah China yang secara senyap-senyap melancarkan roket pelancar angkasa serta stesen satelitnya sendiri.

"Daripada angan-angan, impian kita boleh tercapai. Hasrat kita menghantar angkasawan sudah terlaksana, kini kita perlu melangkah lebih jauh lagi," kata Shahrin.

Mikraj

Sebenarnya, umat Islam telah mula berbicara mengenai ilmu astronomi sejak lebih 1,400 tahun dahulu.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut hari ini berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Tahun itu disebut sebagai tahun dukacita kerana pada tahun itu Rasulullah kehilangan bapa saudara, Abu Talib dan isteri, Khadijah.

Peristiwa Mikraj pula menyaksikan Rasulullah diangkat ke langit dari Baitulmuqaddis.

"Peristiwa itu boleh dikatakan sebagai permulaan manusia cuba meneroka angkasa lepas.

"Jika tidak manusia mungkin hanya akan mengkaji tentang Bumi," ujar Shahrin.

- KOSMO!

0 komentar:

Posting Komentar


Top