Rabu, 06 Juni 2012

SPA Bakal Laksana Temu Duga Kerja Pada Hujung Minggu Atau Malam

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengkaji beberapa pendekatan baharu untuk diguna pakai dalam masa terdekat ke arah mendahulukan rakyat, termasuk mengadakan sesi temu duga pada waktu malam atau hujung minggu.

Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam berkata temu duga di luar waktu kerja itu dijangka bermula minggu ini untuk memudahkan pemohon menghadiri sesi berkenaan mengikut waktu yang sesuai.

"Temu duga di luar waktu kerja ini hanya akan dibuat mengikut permintaan calon. Cara ini menyenangkan mereka kerana tidak mengganggu waktu kerja yang sedang mereka jalankan, dan tidak perlu memohon cuti untuk hadiri temu duga," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Pengerusi SPA bersama media, Rabu.

Selain itu, Mahmood berkata SPA akan mengkaji punca kaum bukan Melayu kurang berminat bekerja dalam sektor awam kerana pada tahun lepas, hanya dua peratus memohon kerja melalui SPA berbanding 1.167 juta permohonan.

"Apakah silapnya? Adakah gaji tidak menarik? Atau adakah peperiksaan yang dijalankan begitu sukar menyebabkan ramai yang tidak layak. Jadi, yang ini kita akan kaji supaya dapat menemui jalan penyelesaian," katanya.

Mahmood berkata beliau tidak mahu ada pihak mendakwa hanya kaum Melayu mendominasi sektor awam, sedangkan penyertaan kaum bukan Melayu sangat dialu-alukan untuk mengisi pelbagai jawatan.

Mengikut statistik, beliau berkata pada tahun lepas, SPA menerima 893,292 permohonan daripada kaum Melayu dan 28,367 daripadanya dilantik berkhidmat dalam sektor awam.

Bagi kaum Cina pula, sebanyak 23,547 permohonan diterima dan hanya 3,686 dilantik sebagai penjawat awam, katanya.

"Sebanyak 36,729 permohonan lagi diterima daripada kaum India dan 2,316 daripadanya dilantik.

"Manakala, daripada kaum-kaum lain pula, SPA menerima sebanyak 170,124 permohonan dan 2,441 dilantik," katanya.

- BERNAMA


PANDUAN PEPERIKSAAN BERTULIS PENOLONG AKAUNTAN W27
http://www.penolongakauntan.com/hop.php?ref=my

0 komentar:

Posting Komentar


Top