Selasa, 12 Juni 2012

Kelebihan Buah Nanas



Nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari bahagian timur Amerika Selatan. Nanas tergolong dalam keluarga Bromeliaceae. Nanas sebenarnya bukan hanya buah yang sedap dimakan serta dijadikan jus minuman. Nanas juga kaya dengan kandungan mineral dan vitamin yang cukup tinggi.

Ramai kalangan kita menggemarinya sebagai makanan pencuci mulut yang menyegarkan atau sayur sampingan (jelatah) selain dimakan dalam bentuk lain seperti jem nanas, halwa, jeruk dan biskut tat nanas. Bukan setakat itu saja, malah nanas juga mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri.

Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengandungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Nanas juga mempunyai nilai khasiat yang penting seperti mineral, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu mengekalkan berat badan ideal dan keseimbangan nutrisi.

Nanas juga merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan. Nanas mengandungi lemak dan garam yang minimum serta tidak mempunyai kolesterol. Selain itu, nanas juga mengandungi sejumlah kecil vitamin B2, B3, B5 dan B6. Ini jelas menunjukkan nanas merupakan buah yang sedap, berkhasiat dan menyihatkan.

Memerangi penyakitNanas juga dipercayai dapat menyihatkan mata. Kajian menunjukkan amalan memakan nanas melindungi mata daripada masalah berkaitan penuaan kerana ia kaya dengan anti-oksida. Ia juga dapat membantu memerangi pelbagai jenis penyakit. Nanas yang kaya dengan vitamin C merupakan sumber sangat baik untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas yang menyerang sel-sel sihat.

Banyak radikal bebas dalam tubuh yang menyebabkan penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes mellitus dan kanser. Amalan memakan nanas juga berkesan untuk menghindari selesema dan meningkatkan sistem imunisasi.

Nanas juga kaya dengan serat dan amat berkesan untuk memulihkan masalah sembelit dan masalah membuang air besar yang tidak teratur. Ia juga mengandungi enzim yang menjadikan kulit anjal, lembap dan menyingkirkan sel-sel mati dan rosak. Enzim di dalam nanas juga membantu memerangi radikal bebas yang boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan dan garis-garis halus.

Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat mengatasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Enzim yang terdapat pada buah nanas boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta menghapuskan fibrin yang boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid dan bukannya pendarahan haid yang banyak.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top