Rabu, 06 Juni 2012

Baharui lesen perniagaan RM50 untuk 5 tahun



KUALA LUMPUR 5 Jun - Jumlah penjaja dan peniaga kecil yang mendaftar kali pertama serta memperbaharui lesen perniagaan meningkat secara mendadak berbanding tahun lalu selepas Perdana Menteri mengumumkan yuran dikenakan kini hanya RM50 bagi tempoh lima tahun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendaftaran kali pertama meningkat sehingga 120 peratus kepada 2,283 peniaga berbanding 1,028 tahun lalu.

Katanya, dari segi pembaharuan lesen perniagaan pula, peningkatan yang dicatatkan mencecah 167 peratus apabila 5,464 peniaga memperbaharui lesen pada 1 Jun lalu berbanding 2,011 peniaga sahaja pada tahun lalu.

"Peningkatan yang ditunjukkan melalui pendaftaran kali pertama serta memperbaharui lesen dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil membuktikan sambutan menggalakkan terhadap pengumuman tersebut.

"Sejak ia berkuatkuasa 1 Jun lalu, pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah diserbu oleh penjaja serta peniaga kecil untuk memperbaharui lesen dan mendaftar perniagaan baru," katanya pada sidang akhbar selepas melawat penjaja serta peniaga kecil di Jalan Petaling, di sini hari ini.

Pada 27 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita gembira untuk golongan peniaga dan penjaja kecil apabila menetapkan yuran pendaftaran kali pertama serta pembaharuan lesen cuma RM50 bagi tempoh lima tahun.

Najib yang mengakui golongan itu memainkan peranan besar dalam ekonomi negara berkata, kadar tersebut adalah istimewa berbanding bayaran sedia ada antara RM150 dan RM300.

Sementara itu, menurut Ismail, kementerian telah mengambil inisiatif untuk meletakkan van bergerak di kawasan tumpuan penjaja serta peniaga kecil bagi memudahkan mereka membuat pendaftaran kali pertama atau memperbaharui lesen perniagaan

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebuah unit khas untuk meneliti serta menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil telah ditubuhkan.

Katanya, unit khas tersebut juga akan sentiasa memantau perkembangan terkini situasi penjaja serta peniaga kecil dan berusaha mencari jalan membangunkan perniagaan golongan tersebut.

- UTUSAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top