Senin, 04 Juni 2012

Astro On-The-Go Percuma sehingga 31 Ogos 2012



ASTRO Malaysia Holdings Sdn Bhd (Astro) terus kreatif membangunkan stesen TV satelit pertama negara ini dengan pelbagai inovasi canggih. Ini sejajar dengan misi Astro yang menyasarkan peningkatan pelanggannya dalam beberapa tahun akan datang selepas menunjukkan peningkatan drastik melangkaui 50 peratus daripada keseluruhan penggunaan TV bagi isi rumah di Malaysia.

Selepas dilancarkan pada 1996, rangkaian stesen TV satelit berbayar itu dilihat terus mencapai graf peningkatan yang tinggi dengan pelbagai khidmat menarik untuk penonton.

Antara kejayaan yang dicapai Astro sebelum ini adalah memperkenalkan sistem rakaman sendiri ulang tayang program di rumah, Astro B.yond IPTV, saluran definisi tinggi (HD) serta tayangan filem terbaru melalui pakej Astro First.

Terbaru, Astro memperkenalkan pula satu lagi perkhidmatan canggih, Astro On The Go iaitu pelanggan boleh mengakses saluran TV Astro pada bila-bila masa saja menerusi alat peranti mudah alih, aplikasi komputer riba serta iPad.


Bayangkan, kalau sedang khusyuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak di ruang tamu di rumah anda dan tiba-tiba menerima panggilan untuk pergi segera ke pejabat, perlawanan itu masih mampu ditonton sepanjang perjalanan ke pejabat ketika dalam kenderaan dengan menggunakan peranti mudah alih anda.


Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan ketika ditemui pada majlis pelancaran Astro-On-The Go pada petang Rabu lalu di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur berkata, pengenalan kepada perkhidmatan ini akan memberikan mereka satu lagi langkah ke depan buat semua pelanggan Astro.

“Sehingga sekarang, kami sudah memperoleh 50 peratus penembusan bagi rangkaian kami di seluruh negara dan Astro On-The-Go mampu memberikan kami satu langkah ke depan bagi mencatatkan peratusan lebih tinggi pada masa akan datang.

“Astro On-The-Go boleh diakses menerusi komputer riba atau iPad dengan 11 saluran ditawarkan secara percuma dari sekarang sehingga 31 Ogos ini sebagai permulaan.

“Antara saluran yang kami tawarkan secara percuma ini termasuk Ria Plus, Astro Warna, One HD dan beberapa yang lain bagi pelanggan kami melihat sendiri pembaharuan yang mahu kami tampilkan.

“Perkhidmatan sama turut menawarkan video atas permintaan (VOD) serta TV Ulangan (Catch Up TV),” katanya.

Katanya, perkhidmatan itu diperkenalkan secara berperingkat dengan fasa pertamanya yang sudah bermula dengan menawarkan perkhidmatan percuma hingga 31 Ogos ini.

“Fasa keduanya pula akan bermula 1 September nanti membabitkan pelanggan B.yond IPTV serta pengenalan kepada platform Android iaitu telefon bimbit manakala fasa ketiga dijangka pada akhir tahun ini serta awal 2013,” katanya.

Tambah Rohana lagi, pihaknya berbangga kerana mampu menjadi peneraju inovasi terkini dalam sistem penyiaran di rantau ini yang terus berkembang maju selain memberikan lebih pilihan, keseronokan dan hiburan kepada pelanggan setia mereka.

“Sebagai peneraju inovasi terkini, Astro mencatatkan beberapa kejayaan yang boleh melonjakkan kami dalam industri hiburan termasuk saluran definisi tinggi (HD), 3D, PVR dan Astro First. Kini kami memperkenalkan pula Astro On-The-Go yang mengukuhkan lagi perkhidmatan kami,” katanya.

Majlis pelancaran Astro On-The-Go itu turut dimeriahkan dengan persembahan selingan oleh juara program realiti TV, Mania iaitu Hafiz dengan lagu I Believe I Can Fly.

Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan; Ketua Pegawai Inovasi, Brian Lenz serta Ketua Pegawai Perdagangan, Liew Swee Lin.

- HARIAN METRO

0 komentar:

Posting Komentar


Top