Selasa, 29 Mei 2012

Majlis Pecah Tanah Lebuh raya Rakyat Kota Bharu - Kuala Krai


MACHANG: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Kuala Krai ke Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion akan dapat disiapkan mengikut jadual.

Mursyidul Am PAS itu berkata pembiayaan kos projek itu akan turut melibatkan sumbangan wang daripada rakyat, lapor Malaysiakini.

"Kita yakin dapat melaksanakan projek bernilai RM1.8 bilion ini walaupun tidak sepenuhnya melalui sumbangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan projek lebuh raya itu di Kampung Berangan Mek Nab di Machang, hari ini.

Nik Aziz mengulas kenyataan sesetengah pemimpin politik, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang sangsi dengan kemampuan kerajaan PAS Kelantan membina lebuh raya melibatkan kos besar dan menyifatkannya sebagai gimik politik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Katanya lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).

"Pembinaannya berkonsepkan wakaf di mana kos pembinaan serta penyelenggaraannya dibiayai sebahagian daripada dana hasil sumbangan derma dan wakaf oleh rakyat dan syarikat swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Tok Guru Nik Aziz sendiri menyumbangkan RM5,000 wang peribadinya semalam untuk menjayakan projek ini.

Anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Sungai Terah menyumbang RM1 juta manakala syarika Ufuk Budiman menyumbang RM100,000 kepada projek ini.

Di majlis itu, Tok Guru Nik Aziz menyeru semua lapisan masyarakat turut derma atas rasa tanggungjawab dan rasa hak bersama.

"Iapun bertepatan dengan Islam derma yang menggalakkan kita buat jalan selain masjid dan kita akan dapat pahala berpanjangan," katanya.

- HARAKAH

0 komentar:

Posting Komentar


Top