Kamis, 31 Mei 2012

85,435 layak ikuti kursus vokasional & kemahiran

Seramai 85,435 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dipilih mengikuti kursus peringkat sijil dan diploma Institusi Pendidikan Teknikal serta Latihan Vokasional (TEVT) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), tahun ini.

Jumlah ini peningkatan 8.4 peratus berbanding 78,780 pelajar ditawarkan ke TEVT dan ILKA pada sesi 2011/2012.
Pelajar termasuk orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, atlet dan pelajar cemerlang akan mengikuti program berkenaan di 11 TEVT dan ILKA di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata pelajar boleh menyemak status permohonan masing-masing menerusi lawan web TEVT dan ILKA mulai jam 12 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, semakan juga boleh dibuat menerusi laman web http://upu.mohe.gov.my; talian hotline 03-88706767; talian helpline 03-8870677 dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU TEVTILKA (no. MyKad) dan SMS ke 15888.

“Unit Pusat Universiti (UPU) menerima 87,730 permohonan daripada lepasan SPM, SKM dan setaraf untuk mengikuti program sijil serta diploma di TEVT dan ILKA tahun ini.

“Seramai 87,263 atau 99.5 peratus calon mencapai kelayakan minimum serta memenuhi syarat am permohonan ke TEVT dan ILKA yang bermakna hanya 67 pemohon saja tidak layak,” katanya, di sini, semalam.
Tarikh pendaftaran pelajar baru ke TEVT dan ILKA bermula pada 25 Jun hingga 9 Julai bergantung kepada institusi terbabit.

Mereka yang tidak berjaya boleh terus mengemukakan rayuan kepada TEVT dan ILKA dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi diumumkan.

Dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan adalah berasaskan meritokrasi mengguna pakai 75 peratus markah akademik, 10 markah kokurikulum dan 15 peratus markah sosioekonomi (pendapatan keluarga dan lokaliti) untuk menentukan nilai merit seseorang calon.

Rujhan berkata, dari segi jantina, 43,672 atau 51.1 peratus calon lelaki, manakala selebihnya iaitu 48.9 peratus atau 41,763 lagi wanita.

“Daripada aspek pendapatan keluarga, 70,625 atau 83.5 peratus berasal daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan kerana kita memang sentiasa mengutamakan mereka yang berasal dari luar bandar,” katanya.

Selaras dasar kerajaan meningkatkan akses dan ekuiti dalam pengajian tinggi, kementerian juga menawarkan 1,093 tempat kepada OKU, Orang Asli dan atlet untuk mengikuti kursus diploma serta sijil di TEVT dan ILKA di seluruh negara.

Difahamkan, 10 kursus paling popular menjadi pilihan lepasan SPM dan SKM ialah diploma pengurusan perhotelan dan katering; pengurusan pelancongan; kewangan dan perbankan; perakaunan; pengajian perniagaan; kejuruteraan elektrik; automotif, pengurusan sistem maklumat (IT); kejuruteraan awam dan diploma sains kesetiausahaan.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top