Rabu, 30 Mei 2012

Karikatur individu dilarang dalam PRU13

Parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti diingat agar tidak memasang poster atau sepanduk yang memaparkan karikatur mana-mana individu atau personaliti.

Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata bahan kempen seperti itu tidak sesuai digunakan dan dilihat sebagai tidak serius untuk bertanding pada pilihan raya.

"Pilihan raya ini satu aktiviti yang serius dan kami tidak boleh benarkan parti-parti politik mempamerkan bahan kempen yang memperlekehkan seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat pilihan raya kepada Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) peringkat negeri Johor di Senai hari ini.

SPR akan menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 4(a) Akta Pilihan Raya 1994 untuk menanggal atau menurunkan mana-mana poster atau sepanduk seperti itu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Wan Ahmad berkata keputusan itu adalah untuk menjaga imej pemimpin dan calon yang bertanding di samping mewujudkan disiplin dalam pemasangan poster dalam pilihan raya umum itu nanti.

Sementara itu sebanyak 26 PPPKR diwujudkan di semua kawasan Parlimen di Johor bagi memantau dan menjalankan penguatkuasaan ketika tempoh kempen pilihan raya umum ke-13.

Johor mempunyai 1.5 juta pengundi berdaftar, katanya.

- Bernama

0 komentar:

Posting Komentar


Top