Rabu, 23 Mei 2012

Mansuh Caj Satu Peratus: PTPTN Serah Kepada PM Dan Kementerian

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Pengajian Tinggi, untuk membuat keputusan mengenai saranan pemansuhan caj perkhidmatan satu peratus.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata caj tersebut dikenakan ke atas peminjam bagi menampung kos pengurusan dan pentadbiran PTPTN.

"Ia juga untuk menampung pembukaan cawangan PTPTN di negeri, di mana kita sudah buka cawangan di Sabah, Sarawak dan Pahang, manakala di Melaka akan dibuka dalam masa terdekat.

"Kita nak mudahkan ibu bapa dan pelajar hubungi kita, sebab itu kita turun padang dan buka cawangan di setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN di Universiti Teknologi Mara, di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas saranan yang dibuat Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada debat bersama Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Mohd Rafizi Ramli mengenai PTPTN, yang dianjur akhbar Sinar Harian

Mengenai keseluruhan debat bertajuk 'Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi' itu, Ismail berkata segala hujah yang disampaikan Mohd Rafizi adalah tidak benar dan jelas bermotifkan politik.

Katanya Mohd Rafizi menunjukkan pembangkang hanya mahu memberi maklumat yang salah kepada orang ramai, khususnya penuntut universiti, sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini cara pembangkang, mereka hidup atas dua perkara, pertama mainkan isu... di mana apa sahaja kerajaan buat mereka akan 'spin' dan kedua memberi janji manis," katanya.

Ismail juga berkata jika benar pendidikan percuma boleh dilaksana, sudah pasti pembangkang berbuat demikian di negeri yang diteraju mereka seperti Selangor menerusi Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor.

"Kita sebaliknya telah hapuskan yuran sekolah malah beri wang bantuan RM100 kepada pelajar sekolah dan baucar buku RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Kerajaan juga tanggung subsidi yuran pendidikan 80 dan 90 peratus dan cuma 20 peratus sahaja ditanggung oleh pelajar," katanya.

Terdahulu, pada majlis yang dirasmikan Anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed itu, sebanyak RM5.2 juta WPP diagih kepada 3,480 penuntut IPT bagi kawasan Shah Alam, Kapar, Klang, Hulu Selangor, Selayang, Gombak, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Petaling Jaya Utara.

PTPTN memperuntukkan RM8.5 juta WPP untuk diagih kepada 5,660 penuntut IPT di Selangor bagi sesi kemasukan Mei/Jun ini.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top