Rabu, 23 Mei 2012

Azrinaz Mazhar Hakim peneraju bersama ON AIR


Personaliti Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar,32, membuat kemunculan kepada umum secara eksklusif buat pertama kalinya dalam program On Air selepas berpisah sebagai isteri Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Penerbit rancangan realiti tersebut Muhammad Azlan Zanudin berkata, Azrinaz ditugaskan untuk muncul sebagai peneraju bersama (Co-Anchor) bagi episod dua dan empat (diari) serta lima (penilaian) menerusi program itu.

"Ia merupakan satu penghormatan buat produksi kami apabila dia (Azrinaz) sudi menerima tawaran kami untuk membimbing 20 perantis peserta On Air berkongsi pengalaman sebagai wartawan penyiaran.

"Pada program itu, Azrinaz ditugaskan untuk mengajar beberapa teknik mengenai tugasan ‘stand upper'," katanya.

Tambah Azlan, bekas wartawan penyiaran TV3 itu juga turut tampil pada episod penyingkiran bersama peneraju utama On Air, Aznil Nawawi bersama Datin Seri Normala Samsudin.

"Setakat ini Azrinaz memberi komitmen yang sangat baik dalam On Air dan kami berharap dapat bekerjasama dengannya lagi selepas ini.

"Dia juga amat gembira dengan program berkenaan kerana dapat mengasah bakat golongan muda yang meminati bidang penyiaran. Saya percaya pasti ramai yang tidak sabar untuk melihat kemunculannya setelah sekian lama menyepi," ujarnya.

Pada 20 Ogos 2005, Azrinaz mengejutkan dunia penyiaran apabila beliau mendirikan rumah tangga dengan menjadi isteri kedua Sultan Brunei pada satu majlis tertutup di lokasi yang dirahsiakan. Azrinaz ketika itu berusia 26 tahun.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan diraja berkenaan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Abdul Wakeel,6, dan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah,4.

Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak kekal lama apabila Sultan Hassanal Bolkiah menceraikan Azrinaz dengan talak satu pada 16 Jun 2010 manakala semua gelaran termasuklah 'Yang Teramat Mulia Pengiran' ditarik balik.

Sementara itu On Air, yang diterbitkan bagi mencari pelapis pengacara baru itu akan memulakan siaran pada setiap Rabu (bermula malam ini) hingga Ahad, pukul 10 malam di Astro Ria.

Seramai 20 peserta yang digelar sebagai perantis akan berentap bagi merebut gelaran juara sebelum dipilih bagi mengikat kontrak sebagai Artis Residen Astro.

Pengacara Suhaimi Sulaiman, Aznil Nawawi dan Dang Suria Zainordin akan terlibat dalam program itu manakala Karl Shafik sebagai hos untuk segmen Diari On Air.

- MSTAR

0 komentar:

Posting Komentar


Top