Rabu, 23 Mei 2012

Debat Sinar "Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi" Khairi dan Rafizi


Debat Sinar "Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi" Khairi dan Rafizi

SHAH ALAM - Debat Sinar Harian bertemakan "Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi" antara Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin malam tadi dilihat satu bentuk serangan peribadi ke atas Umno selain tidak mencapai objektif sebenar.

Kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Md Salleh Ungku Jamal, Rafizi seolah-olah menggunakan medium debat untuk menyerang Khairy dan ini tidak seharusnya berlaku.

“Pihak Pakatan Rakyat (PR) jelas gagal melaksanakan janji mereka terhadap rakyat.

"Buktinya hingga kini mereka gagal melaksanakan pendidikan percuma di peringkat negeri lagi,” ulas beliau selepas debat malam tadi berakhir.

Bagaimanapun tambah beliau, isu pemansuhan PTPTN tidak relevan kerana rakyat dan pelajar khususnya masih memerlukan bantuan kewangan menerusi agensi itu bagi tujuan pembelajaran.

“Namun demikian, usaha Sinar Harian menganjrkan debat ini harus dipuji dan jika boleh, diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya lagi.

Ketua Pemuda Umno Wilayah, Jailani Abdul Aziz pula berpendapat, debat ini dilihat memberi tindak balas yang memberangsangkan dari semua pihak terutama kepada para pelajar.

“Bagi saya, Rafizi menggunakan idea dan hujah yang bagus dalam debat malam ini,” ulas beliau.

Tetapi beliau tidak bersetuju untuk memansuhkan PTPTN kerana bagi beliau terdapat pro and kontra jika pemansuhan ini dibuat.

Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Mohd Izuddin Mohamad Razali berkata, debat malam tadi menjadi salah satu amalan demokrasi yang dapat dilakukan ke arah pembaharuan sistem politik di negara.

“Tindak balas positif dapat dilihat secara jelas dalam debat yang diadakan malam ini,” katanya.

Dalam itu, beberapa pemimpin dari Pakatan Rakyat berkata, medium debat merupakan cara yang paling munasabah sekali gus adil kepada kedua-dua parti antara perikatan itu dan Umno suarakan hujah secara umum kepada rakyat.

Menurut ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, debat yang diadakan merupakan yang terbaik dan boleh dianggap yang bertaraf dunia dapat dianjurkan Sinar Harian.

“Kita diberi peluang secara adil kerana kedua-dua parti politik Umno dan PR sama-sama diberi peluang untuk membentangkan hujah masing-masing,” ulas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Tambah beliau, ini jelas menunjukkan negara melangkah ke satu arah yang lebih baik iaitu membudayakan politik secara adil dan bersih.

“Sebelum ini PR tidak pernah dapat peluang dalam mana-mana media arus perdana atau televisyen bagi memberi hujah atau mengadakan debat secara terbuka seperti malam ini,” tambah beliau.

Katanya lagi, debat malam tadi sekali gus memberi peluang kepada mereka bagi membuktikan dasar yang dipegang selama ini kepada rakyat secara terbuka.

Beliau sempat meluahkan rasa terima kasih kepada pihak Sinar Harian di atas keberanian membudayakan wacana dan diskusi secara adil dan terbuka kepada kedua-dua parti politik.

Pihaknya menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada rakyat bagi menilai sendiri dan membuat sebarang keputusan dalam debat yang diadakan ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika dihubungi Sinar Harian Online menyatakan yang debat malam tadi merupakan satu pencapaian yang bagus dan beliau mengharapkan agar usaha ini dapat dilakukan secara berterusan di masa akan datang.

“Rakyat sendiri dapat menilai secara terbuka dan jelas dasar mana yang mereka patut ikut,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor.

Beliau juga bersetuju yang pendidikan percuma seharusnya direalisasikan dan yakin pihak PR mampu menepati segala janji kepada rakyat.

- SINAR HARIAN


0 komentar:

Posting Komentar


Top