Minggu, 20 Mei 2012

‘Bilik Khas’ Untuk Individu Bankrap

Jabatan Insolvensi akan menyediakan sebuah ‘bilik khas’ kepada mereka yang diisytiharkan bankrap untuk memudahkan golongan ini tampil secara sukarela bagi membantu menyelesaikan kes kebankrapan mereka.

Kemudahan yang pertama kalinya diperkenalkan itu juga bertujuan untuk membantu membuang perasaan malu atau takut si bankrap bagi mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan kebankrapan.

Ia akan dilaksanakan menerusi salah satu program outreach jabatan itu di seluruh negara, bermula Jun ini.

Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, masih terdapat stigma di kalangan masyarakat hari ini terhadap kebankrapan sehingga ia dianggap terlalu sensitif dan enggan berhadapan dengan realiti.

“Pemikiran sedemikian menyebabkan si bankrap enggan tampil ke Jabatan Insolvensi untuk memberi kerjasama bagi menyelesaikan kes kebankrapan mereka.

“Seramai 240,978 rakyat Malaysia telah diisytiharkan bankrap setakat Mac lalu tetapi hanya kurang daripada 30 peratus yang memberi kerjasama dengan tampil ke hadapan untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya dalam pertemuan eksklusif dengan mStar Online.

Bagi suku pertama tahun ini sahaja, katanya, sebanyak 4,568 kes kebankrapan baru yang direkodkan manakala 1,863 kes kebankrapan telah dibatalkan atau diselesaikan.

Bagaimanapun, Abdul Karim menambah, sejak program outreach diperkenalkan oleh Jabatan Insolvensi pada Jun 2009, orang ramai mula menyedari fungsi organisasi itu adalah menguruskan kes kebankrapan mengikut Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969 (Bankruptcy Act 1967 and Bankruptcy Rules 1969).

“Berdasarkan pengalaman di salah satu tempat program outreach yang diadakan sebelum ini, lebih 10 peratus daripada pengunjung dengan secara berani membuat pengakuan kepada kami bahawa mereka telah diisytiharkan bankrap.

“Ini termasuk mereka yang baru mengetahui status berkenaan selepas secara sukarela mendapatkan pengesahan daripada pegawai kami,” katanya lagi.

Namun beliau berkata, terdapat juga individu bankrap yang malu bersemuka dengan pegawai dari Jabatan Insolvensi sehingga meminta ahli keluarga dan teman-teman rapat mewakili mereka.

“Oleh itu, inisiatif baru bagi menambahbaik program outreach ini ialah dengan memberi peluang kepada si bankrap secara sukarela tampil memberi kerjasama, sekali gus membantu memudahkan penyelesaian kes mereka,” katanya.

Diminta mengulas mengenai ‘bilik khas’ yang disediakan oleh pihak jabatan untuk melindungi privasi mereka yang bankrap, Abdul Karim berkata, ia merupakan satu ruang yang dikelilingi ‘partition’ di kawasan ‘booth’ program outreach Jabatan Insolvensi.

“Di ruang ini, pengunjung akan diberi peluang untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan kebankrapan daripada pegawai kami.

“Selain menyediakan ruang tertutup, laluan masuk dan keluar juga dibuat secara berasingan sebagai memberi keselesaan dan menghormati privasi mereka,” katanya. Menurut Abdul Karim, komponen penting dalam menyelesaikan kes kebankrapan yang paling berkesan adalah menerusi kerjasama yang baik daripada si bankrap.

“Dengan penambahbaikan program outreach ini, ia dapat membantu mencapai sasaran mulai tahun 2014 untuk menyelesaikan kebanyakan kes kebankrapan, sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Jabatan Insolvensi mensasarkan untuk menyelesaikan 12,000 kes kebankrapan menjelang akhir tahun ini.

- MSTAR

0 komentar:

Posting Komentar


Top