Kamis, 31 Mei 2012

Bas elektrik beroperasi 2014

RapidKL akan memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik menjelang 2014 bagi menyokong usaha kerajaan mewujudkan persekitaran hijau dan bebas pencemaran.

Pengarah Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bagi Bahagian Bas, Zohari Sulaiman, berkata sebagai permulaan, sebanyak 15 hingga 20 bas elektrik menggunakan kuasa bateri itu dijangka beroperasi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat analisis serta mengadakan lawatan ke China yang turut menggunakan teknologi sama dan mendapati ia jauh lebih baik daripada bas menggunakan diesel.

“Bagaimanapun, kos bas itu adalah 50 peratus lebih tinggi daripada bas menggunakan diesel. Contohnya jika di China, kos bas diesel adalah RM400,000, manakala bas elektrik mencapai R M1 juta kerana harga baterinya yang mahal.

“Pembelian ini juga adalah satu pelaburan kerana kos penyelenggaraan bas terbabit bagi tempoh 10 tahun jauh lebih murah berbanding enjin diesel,” katanya pada sidang media Kempen ‘Ride For Green’ oleh RapidKL, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Prasarana bagi Rel, Khairani Mohamed.

Sementara itu, Khairani berkata, jumlah penumpang perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel meningkat lapan peratus pada suku tahun pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, Khairani berkata, sebanyak 2,000 kemeja-T edisi terhad berharga RM40 setiap satu akan dijual kepada orang ramai di stesen LRT, monorel dan bas terpilih sempena kempen ‘Ride For Green’ Rabu ini, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.

Katanya, 20 penumpang yang dikesan memakainya pada hari berkenaan akan menerima hadiah Kad MyRapid bernilai RM100.

- BERITA HARIAN

0 komentar:

Posting Komentar


Top