Kamis, 19 Juli 2012

SPR Beri Taklimat Kepada Parti-Parti Politik

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memberi taklimat mengenai pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kepada pemimpin parti-parti politik.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pada taklimat itu, SPR memberikan penerangan mengenai perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan pada PRU-13 dan langkah yang telah diambil SPR termasuk dalam aspek pembersihan daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya.

Justeru itu, kata Abdul Aziz, beliau menaruh harapan jika masih ada rasa tidak puas hati atau sebarang keraguan, kemukakan kepada SPR untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil dan bukan melaporkan kepada media sehingga menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat.

"Tidak tahu kenapa benda yang tidak elok sahaja yang sering dikeluarkan dalam media dan enggan bertemu SPR sendiri, sedangkan kita bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima sebarang komen atau maklum balas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat berkenaan yang dihadiri kira-kira 142 wakil parti politik antaranya dari Umno, MCA, MIC, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Cinta Malaysia (PCM), PAS dan DAP.

Abdul Aziz berkata, SPR adalah sebuah badan bebas dan profesional serta bersedia menyediakan ruang secukupnya kepada semua pihak mengemukakan komen bagi membolehkan bersama-sama membantu SPR memastikan PRU-13 nanti adalah yang terbaik dan terbersih.

"Tidak perlulah wujudkan persepsi yang kononnya SPR hanya untuk memenangkan sesuatu parti sahaja sedangkan sebenarnya pilihan raya di negara ini jika calon atau parti itu disukai rakyat, calon dan parti itulah yang akan menang," kata beliau.

Misalnya, dalam isu pembersihan daftar pemilih, beliau berkata SPR sepanjang masa berusaha memastikan daftar pemilih adalah sebersih yang mungkin namun bersih adalah sesuatu yang relatif.

"Mungkin pada pagi tadi daftar itu bersih dan bila petang sudah tidak bersih kerana ada yang meninggal dunia, dilucutkan kewarganegaraan dan sebagainya. Mana-mana negara di dunia termasuk negara maju pun belum tentu boleh memastikan daftar pemilih mereka seratus peratus bersih," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata walaupun PRU-13 nanti dikatakan bakal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara, SPR akan memastikannya berlangsung dengan telus dan bersih.

"Sebab itu SPR sudah bersedia dari setiap sudut untuk memastikan proses perjalanan pilihan raya akan datang berjalan lancar termasuk mengadakan program-program taklimat khas kepada parti-parti politik," katanya.

- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar


Top