Tampilkan postingan dengan label Berita. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Berita. Tampilkan semua postingan

Senin, 23 Juli 2012

Swasta boleh mula persaraan 60 tahun

Swasta boleh mula persaraan 60 tahun

Majikan yang mahu melaksanakan umur persaraan baru kakitangan swasta daripada 55 kepada 60 tahun, boleh berbuat demikian mulai sekarang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata walaupun kerajaan belum menetapkan tarikh atau tempoh tertentu untuk penguatkuasaan Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012, majikan sememangnya digalak berbuat demikian sekarang. Pada masa sama, beliau berkata, kementerian akan menemui pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membincangkan isu terbabit.
“Majikan yang mahu melaksanakan lebih awal, silakan. Namun, perkara berkaitan undang-undang untuk mewajibkan aspek tertentu seperti isu ini, perlu mengambil kira pandangan majikan dan pekerja. Justeru, bukan mudah untuk dilaksanakan dengan segera.

“Kita perlu ambil masa dan kena bincang dengan semua pihak berkepentingan sebelum keputusan muktamad dicapai,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media berhubung perkembangan Projek Permulaan Kedua (EPP2) di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) Perkhidmatan Perniagaan, semalam.

Di bawah Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini, umur bersara wajib bagi pekerja sektor swasta dinaikkan kepada 60 tahun dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.

Mengulas lanjut, Dr Subramanian berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung had umur bagi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selepas membenarkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun.
Terdahulu beliau berkata, EPP2 di bawah NKEA Perkhidmatan Perniagaan ialah membina pembekal penyumberluaran berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Sektor itu membuka kira-kira 2,210 peluang pekerjaan baru dan menjana eksport perkhidmatan bernilai RM318 juta pada suku pertama 2012 iaitu peningkatan 50.2 peratus dari segi jumlah pekerjaan baru dan sembilan peratus nilai eksport perkhidmatan, berbanding 2010.

- BERITA HARIAN

Minggu, 22 Juli 2012

Tentera Bashar bertempur di Damsyik, Syria


AMMAN - Para pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar) dekat sebuah ibu pejabat agensi perisikan di bandar Aleppo, utara negara itu semalam.

Menurut saksi-saksi, beberapa buah helikopter membedil beberapa daerah di Damsyik dalam usaha untuk mengusir para pemberontak.

Pertempuran berlaku di beberapa bahagian lain di Aleppo yang merupakan hab perdagangan dan industri.

"Bunyi letupan kedengaran dari beberapa tempat yang berbeza sehingga menggegarkan bandar raya itu.

"Satu pertempuran melibatkan insiden berbalas tembakan berlaku dekat Ibu Pejabat Keselamatan Negara di daerah al-Mouhafaza sejak waktu pagi," kata seorang suri rumah kepada agensi berita Reuters menerusi telefon.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menyatakan Washington memberikan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM314.95 juta) kepada Jordan untuk membantu puluhan ribu penduduk Syria yang melarikan diri dari negara mereka.

Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang pemerintahan Bashar bermula pada tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya 19,106 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak Mac tahun lalu," kata seorang kakitangan kumpulan itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.

Jumlah itu melibatkan 13,296 orang awam, 4,861 askar Bashar dan 949 pembelot.

"Jumlah itu tidak termasuk ribuan orang yang hilang di dalam tahanan," katanya.

- Agensi
Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria pulang ke tanah air dengan segera memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Pemindahan ini diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Sehubungan itu, Kementerian Luar memohon kerjasama ibu bapa/penjaga untuk menasihati anak-anak mereka yang masih berada di Syria untuk pulang ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut dipanggil pulang buat sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan, kata Anifah dalam satu kenyataan di Putrajaya.

Sehingga kini, kesemua 138 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu berada dalam keadaan selamat.

Kementerian sekali lagi menggesa kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi keselamatan kembali pulih.

Kementerian telah membuka Bilik Operasi dan orang awam boleh menghubungi talian 03 - 8887 4570 untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini.

- BERNAMA
Setem Kad Ucapan Perayaan Tidak Lebih 50g Hanya 50 Sen - Pos Malaysia

Setem Kad Ucapan Perayaan Tidak Lebih 50g Hanya 50 Sen - Pos Malaysia

Sempena musim perayaan, Pos Malaysia hanya mengenakan kadar 50 sen bagi mengepos semua kad ucapan perayaan yang tidak melebihi 50 gram ke semua destinasi dalam negara.

Tawaran tersebut akan bermula esok sehingga 16 Feb tahun depan yang meliputiperayaan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina, menurut Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata, tawaran istimewa ini akan membolehkan rakyat Malaysia menghantar lebih banyak kad ucapan kepada sahabat handai dan sanak saudara pada kadar lebih rendah berbanding pos biasa.

"Kadar rata pada musim perayaan itu adalah 16 hingga 28 peratus lebih murah berbanding pos biasa yang beratnya tidak melebihi 50 gram," katanya.

Beliau berkata, orang ramai digalakkan mengepos kad-kad ucapan Hari Raya Aidilfitri sebelum 13 Ogos ini bagi memastikan kad ucapan yang dihantar tiba kedestinasi sebelum sambutan Syawal.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi Pos Malaysiadi talian 1-300-300-300 atau di www.pos.com.my atau mendapatkan maklumat lanjut dengan berkunjung ke pejabat pos berdekatan.

- BERNAMA

Kamis, 19 Juli 2012

Umat Islam Di Malaysia Mula Berpuasa Sabtu, 21 Julai 2012


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu ini, 21 Julai 2012, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

- BERNAMA
SPR Beri Taklimat Kepada Parti-Parti Politik

SPR Beri Taklimat Kepada Parti-Parti Politik

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memberi taklimat mengenai pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kepada pemimpin parti-parti politik.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pada taklimat itu, SPR memberikan penerangan mengenai perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan pada PRU-13 dan langkah yang telah diambil SPR termasuk dalam aspek pembersihan daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya.

Justeru itu, kata Abdul Aziz, beliau menaruh harapan jika masih ada rasa tidak puas hati atau sebarang keraguan, kemukakan kepada SPR untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil dan bukan melaporkan kepada media sehingga menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat.

"Tidak tahu kenapa benda yang tidak elok sahaja yang sering dikeluarkan dalam media dan enggan bertemu SPR sendiri, sedangkan kita bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima sebarang komen atau maklum balas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat berkenaan yang dihadiri kira-kira 142 wakil parti politik antaranya dari Umno, MCA, MIC, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Cinta Malaysia (PCM), PAS dan DAP.

Abdul Aziz berkata, SPR adalah sebuah badan bebas dan profesional serta bersedia menyediakan ruang secukupnya kepada semua pihak mengemukakan komen bagi membolehkan bersama-sama membantu SPR memastikan PRU-13 nanti adalah yang terbaik dan terbersih.

"Tidak perlulah wujudkan persepsi yang kononnya SPR hanya untuk memenangkan sesuatu parti sahaja sedangkan sebenarnya pilihan raya di negara ini jika calon atau parti itu disukai rakyat, calon dan parti itulah yang akan menang," kata beliau.

Misalnya, dalam isu pembersihan daftar pemilih, beliau berkata SPR sepanjang masa berusaha memastikan daftar pemilih adalah sebersih yang mungkin namun bersih adalah sesuatu yang relatif.

"Mungkin pada pagi tadi daftar itu bersih dan bila petang sudah tidak bersih kerana ada yang meninggal dunia, dilucutkan kewarganegaraan dan sebagainya. Mana-mana negara di dunia termasuk negara maju pun belum tentu boleh memastikan daftar pemilih mereka seratus peratus bersih," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata walaupun PRU-13 nanti dikatakan bakal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara, SPR akan memastikannya berlangsung dengan telus dan bersih.

"Sebab itu SPR sudah bersedia dari setiap sudut untuk memastikan proses perjalanan pilihan raya akan datang berjalan lancar termasuk mengadakan program-program taklimat khas kepada parti-parti politik," katanya.

- BERNAMA
19 Julai Diisytihar Hari Pesara Awam

19 Julai Diisytihar Hari Pesara Awam

Setiap 19 Julai, Malaysia akan meraikan Hari Pesara Penjawat Awam sebagai menghargai jasa pesara penjawat awam dalam membantu membangunkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah membela kebajikan lebih 400,000 pesara penjawat awam dengan baik dan berharap pihak lain turut menunjukkan keprihatinan terhadap mereka.

Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.

"Sebagai Perdana Menteri dan wakil kerajaan, sokongan tuan-puan semua amat besar ertinya (bagi kami)," katanya kepada kira-kira 3,500 pesara penjawat awam dari seluruh negara yang menghadiri majlis itu.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) yang akan menjadi perantara pesara penjawat awam dengan kerajaan serta membela nasib mereka.

Turut hadir Presiden Kupekmas Datuk Omar Osman yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

- MSTAR

Rabu, 18 Juli 2012

Saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Dilaksanakan Pertengahan Ogos 2012

Saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Dilaksanakan Pertengahan Ogos 2012

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju akan dilaksanakan mulai Ogos 2012.

Kontraktor AES, Ketua Pegawai Eksekutif Beta Tegap Sdn Bhd, Iftikhar Mahmud berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menetapkan tempoh bahawa sistem tersebut perlu dilaksanakan apabila Ops Sikap dilancarkan sempena sambutan Hari Raya yang akan berlangsung pertengahan Ogos.

“Ketua Pengarah JPJ< Datuk Solah Mat Hassan pernah berkata saman pertama akan dikeluarkan pada 9 September, namun kita akan bersiap sedia sebelum tempoh tersebut, “ katanya kepada pemberita dalam pada sesi demonstrasi AES.

Sekurang-kurangnya 800 kamera kekal dan 500 kamera mudah alih akan dipasang bagi memantau keadaan trafik 831 kawasan kemalangan maut di sepanjang lebuh raya, jalan negeri dan jalan persekutuan seluruh negara yang telah disahkan oleh Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

- MSTAR
7,975 guru PPPS naik gred

7,975 guru PPPS naik gred

Seramai 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS) akan menikmati kenaikan Gred DG41 dalam tempoh terdekat selepas tertangguh dua tahun. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya baru menerima waran kenaikan pangkat bagi Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian PPPS, masing-masing, 23 Mei lalu.
Katanya, kementerian sedar penangguhan kenaikan gred di kalangan guru lepasan PPLD yang menyertai PPPS sejak dua tahun lalu, menimbulkan perasaan negatif guru belum siswazah.

“Kementerian akan berusaha mempercepatkan kenaikan Gred DG41 yang membolehkan pelbagai faedah dapat dinikmati.

“Saya akui penangguhan kenaikan gred ini menyebabkan ramai guru PPLD tidak mahu menyertai PPPS,” katanya di Butterworth, semalam.

Mohd Puad berkata, melalui PPPS yang diwujudkan pada 2006, seramai 70,062 guru menyertainya dengan peruntukan RM1.4 bilion disediakan kerajaan bagi tempoh sehingga 2020.
“Bagi pengambilan September ini, kita menjangka 22,102 guru akan menyertainya.

“Bagaimanapun, masih ada 16,574 kekosongan sehingga semalam (kelmarin) kerana hanya 3,528 memohon, puncanya dipercayai berkaitan isu penangguhan kenaikan Gred DG41,” katanya.

- BERITA HARIAN

Top