Rabu, 18 Juli 2012

Naik taraf laman web dengan platform Liferay


DAHULU, setiap kali Hafizah Malik, 28, mahu melayari laman web Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pasti dia mengalami tekanan perasaan bukan kepalang. Selain tidak dikemas kini, Hafizah yang melawat laman web tersebut untuk membuat aduan berkenaan PBT seperti kutipan sampah, longkang tersumbat atau pokok tumbang sering berhadapan dengan laman yang gagal dimuat turun.

“Laman web dahulu tidak mesra pengguna, sukar mencari butang untuk membuat aduan. Tiada butang spesifik untuk tujuan itu,” kata Hafizah ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Tahap kelajuan laman web ketika dilayari juga amat perlahan,” kata jurutera awam itu lagi. Informasi berupa alamat dan nombor telefon pun sukar untuk ditemui pada laman web itu.

Kini, dia mengakui laman web yang kerap dilayarinya itu semakin baik. Setiap isu dikemas kini dan paling penting amat mudah dilayari dan mesra pengguna.

Ketika mula-mula Multimedia Development Corporation (MDeC) memperkenalkan sistem bintang terhadap lebih 150 buah laman web kerajaan, kesemuanya tidak mendapat sebarang bintang bagi mewakili tahap kualiti masing-masing.

Tahap bintang diberikan dengan lima bintang bagi laman web cemerlang manakala kosong paling teruk.

“Malah, ada laman web PBT mendapat tahap kosong kerana tidak dapat dilayari langsung,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Skali Group, Tengku Farith Rithauddeen, 41.

Sejak mengambil alih 152 buah laman web milik PBT pada tahun 2008 oleh Skali Group, semua laman web tersebut sudah mencapai tahap purata antara empat dan lima bintang.

Sebanyak 146 buah laman web daripada jumlah keseluruhan telah mencapai taraf lima bintang.

Laman-laman web tersebut menggunakan platform Liferay dan dibina serta dikendalikan oleh Skali E-Business Solutions Sdn. Bhd.

Liferay merupakan sebuah platform yang secara asas teknikal sama seperti blogspot atau wordpress, tetapi ia lebih maju dari segi pengaturcaraan dan keselamatan.

Platform itu mampu mengendalikan sistem perbankan dalam talian, mesej ringkas bagi pelayar laman web untuk berkomunikasi atau berkongsi idea secara ringkas pada papan mesej yang lebih dikenali sebagai forum internet.

Terdapat dua versi iaitu edisi Liferay Portal Community yang menyokong pengguna aktif komuniti internet, manakala satu lagi ialah edisi Liferay Portal Enterprise yang menyediakan aplikasi lebih menyeluruh dan tahap keselamatan terjamin.

Kini, terdapat lebih kurang 11,000 pengguna internet menggunakan Liferay versi Community bagi membangunkan laman web atau blog mereka.

Kebanyakan laman web kendalian Skali Group termasuk laman web PBT menggunakan edisi Liferay Portal Enterprise.

Virus

Dalam dunia maya, mekanisme cros-site scripting sering berlaku dalam aplikasi yang menyebabkan penyerang atau penggodam dapat melayari laman web dengan menggunakan identiti individu lain.

Perkara tersebut mudah berlaku dalam jaringan laman web dan antara yang dijarah adalah semua maklumat yang terdapat dalam pangkalan data seperti kata kunci, kata laluan dan banyak lagi.

Berbekalkan maklumat yang dicuri, penggodam boleh menyamar sebagai pemilik akaun seterusnya melakukan transaksi berkaitan seperti perbankan elektronik.

Namun, laman-laman web yang menggunakan platform Liferay dibina berdasarkan set pengaturcara yang sudah dipastikan tahap keselamatannya.

“Aturcara Liferay mengikut standard antarabangsa yang dikeluarkan setiap tahun. Jadi individu yang melayari laman web menggunakan Liferay tidak akan terdedah kepada ancaman tersebut,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norazam Zakaria, 45.

Akui Norazam, Liferay memiliki bahasa pengaturcaraan yang mudah dikendalikan oleh para pereka laman web. Sehingga kini, terdapat kira-kira 70 kakitangan Skali Group yang berkemahiran dalam membangunkan Liferay.

Selain itu, seramai 16 kakitangan syarikat yang menggunakan Liferay dalam pembikinan sistem dalaman mereka turut memiliki kemahiran mengendali aturcara tersebut.

Bahasa pengaturcaraan Liferay sangat mudah diikuti kerana ringkas. Biasanya untuk membangunkan salah satu bahagian dalam laman web memerlukan lima langkah tetapi dengan Liferay, ia dipendekkan menjadi dua langkah sahaja.

Justeru, ia menjimatkan masa dan pihak pelanggan boleh menggunakan sistem dalaman dengan lebih cepat. Sebagai contoh, sebelum ini sistem dalaman CIMB Bank perlu dibina dan dihantar sedikit demi sedikit selama dua tahun.

Melalui Liferay, sistem yang sama dapat dibangunkan dalam tempoh empat hingga enam bulan sahaja, sistem yang dihasilkan pula berbentuk integrasi seperti sistem sumber manusia dan perpustakaan.

Salah satu keistimewaan Liferay ialah ia memiliki komponen perisian antaramuka atau dikenali sebagai Portlet yang dipaparkan dalam sesebuah laman web.

Portlet merupakan bahagian kecil kod dalam sebuah aturcara lengkap laman web atau lebih mudah disebut sebagai mini aplikasi. Antara contoh aplikasi ialah e-mel, berita dan forum.

Ia amat berguna jika sesebuah syarikat yang menggunakan lesen Liferay mahukan aplikasi dalam laman web mereka ditambah dengan aplikasi sama yang terdapat pada laman web lain.

Pengaturcara hanya perlu mengambil portlet tersebut dan ditambah pada laman web lain tanpa memerlukan pembinaan semula bahasa aturcara. Namun, kedua-dua laman web tersebut perlu menggunakan lesen Liferay.

Contohnya, ketika sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Johor yang lalu, ruang laman yang memaparkan sambutan tersebut hanya perlu dilakukan sekali sahaja. Bagi laman-laman web PBT Johor lain, hanya perlu ditambah portlet.

“Kebiasaannya, pengaturcara perlu membuat aplikasi bagi setiap laman web yang memerlukan aplikasi itu, ia dimuat naik dan perlu dipublish. Cara lama memakan masa dan kos,” terang Norazam lagi.

Selain itu, Liferay membenarkan fail-fail yang menggunakan versi lama atau aplikasi yang tidak dimiliki oleh pemilik komputer juga boleh dipaparkan. Cuma, fail-fail tersebut tidak boleh disunting sahaja.

Skali Group menggunakan Liferay sejak tahun 2008 dengan menggunakan versi Community sebelum beralih menggunakan versi Enterprise. Platform Liferay terkini ialah Enterprise versi 6.1.

Versi 6.1 memudahkan kandungan disimpan. Ciri-ciri tambahan juga boleh ditambah antaranya dipautkan dengan laman sosial seperti Facebook.

Proses pengaturcaraan juga disingkatkan dengan mengurangkan langkah-langkah yang banyak sehingga menjadi satu langkah mudah.

Bagaimanapun, bagi memastikan sesebuah laman web itu menjadi menarik dan mesra pengguna, ia bergantung kepada kreativiti pereka laman web.

Selain itu, menurut Tengku Farith, perkara yang paling penting ialah perkhidmatan penyelenggaraan dan kemas kini laman web terutama melibatkan PBT.

“PBT merupakan agensi kerajaan yang paling dekat dengan rakyat dan laman web PBT perlu sentiasa terkini dan mudah dihubungi,” katanya.

Tambahnya, orang ramai kini menjadikan internet sebagai gaya hidup terutama mereka yang sibuk. Jadi, laman-laman web mesti boleh dinilai tambah seperti melakukan operasi pembayaran bil selain tahap keselamatan yang boleh dipercayai.

Informasi dan kandungan bahan juga perlu dikemas kini secara berkala supaya ia dapat disampaikan kepada penduduk di kawasan PBT yang terlibat.

Di Skali, pihaknya melakukan kerja-kerja penterjemahan artikel iaitu antara 10,000 hingga 12,000 artikel sebulan bagi tujuan dikemas kini dalam laman-laman web kelolaan mereka.

- KOSMO!

0 komentar:

Posting Komentar


Top