Tampilkan postingan dengan label Politik. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Politik. Tampilkan semua postingan

Selasa, 24 Juli 2012

SPR terbit buku penjelasan isu daftar pemilih

SPR terbit buku penjelasan isu daftar pemilih

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengedarkan buku bertajuk 'Daftar Pemilih: Isu dan Penjelasan' bagi menjawab 10 isu yang sering dibangkit beberapa pihak mengenai Daftar Pemilih.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebanyak 10,000 salinan buku dwibahasa itu diedar kepada beberapa pihak termasuk jabatan kerajaan, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan media di seluruh negara.

"Melalui buku yang kita terbitkan sebelum ini, kita mendapat pujian kerana setidak-tidaknya orang ramai dapat memahami isu ini.

"Tidak ramai yang faham mengenai isu-isu ini kerana ia diputar belit oleh beberapa pihak," katanya kepada pemberita sebelum Majlis Berbuka Puasa SPR, di Putrajaya hari ini.

SPR sebelum ini menerbitkan buku bertajuk 'Fakta Sebenar Di Sebalik Dakwaan dan Fitnah Terhadap SPR' pada April lalu, dengan cetakan sebanyak 5,000 salinan.

Abdul Aziz berkata antara isu yang diberi penerangan kali ini ialah kewujudan lebih tiga juta pemilih bukan pemastautin, 42,000 pemilih awam yang tidak memperbaharui MyKad masih berada dalam Daftar Pemilih serta maklumat yang tidak konsisten antara pemilih dan kad pengenalan.

Selain itu, buku tersebut menjelaskan mengenai alamat pemilih yang tidak lengkap, pemilih mempunyai nama serupa dan kadangkala tarikh lahir yang sama, ramai pemilih yang memegang kad pengenalan angka '71', ramai pemilih berusia 85 tahun ke atas dan terlalu ramai pengundi pos.

Abdul Aziz berkata SPR sentiasa berusaha bagi memberi penerangan mengenai isu-isu berkaitan agensi itu serta menasihati semua pihak agar merujuk kepada SPR terlebih dahulu jika ada isu yang meragukan.

Pada majlis itu Abdul Aziz turut menyerahkan sumbangan kepada 45 anak yatim dari Rumah Penyayang Bistari, Sungai Buaya, Banting dan Rumah Anak Yatim Taman Baiduri, Dengkil.

- BERNAMA
Pakatan Rakyat Janji Turun Harga Kereta

Pakatan Rakyat Janji Turun Harga Kereta

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjanji akan melakukan rombakan terhadap Dasar Automotif Negara dalam usaha untuk menurunkan harga kereta sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata menerusi penstrukturan semula dasar berkenaan ia dapat mengurangkan bebanhutang rakyat sekaligus dapat meningkatkan pendapatan boleh guna pendapatan isi rumah rakyat.

"Pimpinan muda dalam PKR akan memastikan bahawa janji untuk menurunkan harga kereta akan dimasukkan menjadi salah satu janji utama dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU-13," katanya pada sidang media diIbu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Mengulas lanjut Mohd Rafizi berkata pembangkang juga akan menghapuskan duti eksais yang dikenakan kepada pembeli kereta pada ketika ini.

"Kereta yang paling kecil dengan dengan saiz enjin di bawah 1,500 cc akan dikenakan duti eksais 60 peratus dan cukai jualan 10 peratus. Ini meningkat kepada 100 peratus jika kereta itu diimport dengan tambahan cukai import sebanyak 30 peratus.

"Ini bermakna bagi sebuah kereta Perodua yang kecil pada harga RM40,000, pembeli perlu membayar cukai sebanyak RM16,500, kadar cukai ini sudah tentu lebih tinggi bagi kereta yang lebih besar," katanya.

Selain itu katanya berdasarkan Laporan Kaji Selidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang dikeluarkan Jabatan Statistik, 53 peratus dari keseluruhan isi rumah di Malaysia hanya berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan.

Statistik juga menunjukkan sebanyak 71.9 peratus keseluruhan isi rumah di Malaysia mempunyai dan menggunakan kereta sebagai pengangkutan.

"Pembeli terpaksa membelanjakan lebih separuh daripada gaji mereka setiap bulan bagi tujuan penyelenggaraan.

"Pentadbiran kerajaan yang mengabaikan pelaburan dalam pengangkutan awam juga memyebabkan pergantungan rakyat kepada kenderaan persendirian," katanya.

- MSTAR

Kamis, 19 Juli 2012

SPR Beri Taklimat Kepada Parti-Parti Politik

SPR Beri Taklimat Kepada Parti-Parti Politik

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memberi taklimat mengenai pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kepada pemimpin parti-parti politik.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pada taklimat itu, SPR memberikan penerangan mengenai perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan pada PRU-13 dan langkah yang telah diambil SPR termasuk dalam aspek pembersihan daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya.

Justeru itu, kata Abdul Aziz, beliau menaruh harapan jika masih ada rasa tidak puas hati atau sebarang keraguan, kemukakan kepada SPR untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil dan bukan melaporkan kepada media sehingga menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat.

"Tidak tahu kenapa benda yang tidak elok sahaja yang sering dikeluarkan dalam media dan enggan bertemu SPR sendiri, sedangkan kita bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima sebarang komen atau maklum balas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat berkenaan yang dihadiri kira-kira 142 wakil parti politik antaranya dari Umno, MCA, MIC, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Cinta Malaysia (PCM), PAS dan DAP.

Abdul Aziz berkata, SPR adalah sebuah badan bebas dan profesional serta bersedia menyediakan ruang secukupnya kepada semua pihak mengemukakan komen bagi membolehkan bersama-sama membantu SPR memastikan PRU-13 nanti adalah yang terbaik dan terbersih.

"Tidak perlulah wujudkan persepsi yang kononnya SPR hanya untuk memenangkan sesuatu parti sahaja sedangkan sebenarnya pilihan raya di negara ini jika calon atau parti itu disukai rakyat, calon dan parti itulah yang akan menang," kata beliau.

Misalnya, dalam isu pembersihan daftar pemilih, beliau berkata SPR sepanjang masa berusaha memastikan daftar pemilih adalah sebersih yang mungkin namun bersih adalah sesuatu yang relatif.

"Mungkin pada pagi tadi daftar itu bersih dan bila petang sudah tidak bersih kerana ada yang meninggal dunia, dilucutkan kewarganegaraan dan sebagainya. Mana-mana negara di dunia termasuk negara maju pun belum tentu boleh memastikan daftar pemilih mereka seratus peratus bersih," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata walaupun PRU-13 nanti dikatakan bakal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara, SPR akan memastikannya berlangsung dengan telus dan bersih.

"Sebab itu SPR sudah bersedia dari setiap sudut untuk memastikan proses perjalanan pilihan raya akan datang berjalan lancar termasuk mengadakan program-program taklimat khas kepada parti-parti politik," katanya.

- BERNAMA

Selasa, 10 Juli 2012

Hanya 20,000 Rakyat Malaysia Di Luar Negara Daftar Sebagai Pemilih - SPR

Hanya 20,000 Rakyat Malaysia Di Luar Negara Daftar Sebagai Pemilih - SPR

Hanya 20,000 rakyat Malaysia di luar negara telah berdaftar sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan bukan lebih setengah juta seperti didakwa oleh pihak tertentu.

Dakwaan kononnya lebih 500,000 warga Malaysia di luar negara tidak mendapat peluang untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak benar sama sekali, tegas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata dakwaan itu tidak berasas apabila proses pendaftaran pengundi yang dibuka di setiap pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia tidak mendapat sambutan seperti mana didakwa.

"Walaupun kita dengar ada orang cakap lebih setengah juta rakyat Malaysia di luar negara menunggu untuk mengundi tetapi jumlah yang tampil mendaftar adalah jauh lebih rendah," katanya pada rancangan 'Hello Malaysia' bertajuk ' SPR: Cabaran PRU 13' yang disiarkan oleh BernamaTV malam Isnin.

Wan Ahmad berkata rekod di Wisma Putra menunjukkan jumlah keseluruhan rakya Malaysia di luar negara yang mendaftar dengan kedutaan hanyalah sekitar 20,000 orang.

Beliau berkata situasi itu jelas membuktikan mereka yang mendakwa tidak mendapat peluang untuk berdaftar sebenarnya tidak berminat untuk mengundi dan boleh disifatkan sebagai satu andaian pihak tertentu yang berkepentingan.

Beliau juga menegaskan pihak yang meninggalkan negara atas sebab untuk mencari peluang pekerjaan sebenarnya adalah pengundi biasa berbanding diplomat, pegawai kerajaan yang diarahkan bertugas serta pelajar yang menuntut secara sepenuh masa di luar negara.

Katanya, disebabkan Parlimen telah memutuskan supaya mereka turut diberikan hak mengundi, SPR telah berbincang dengan Wisma Putra dan Jabatan Imigresen bagi mengenal pasti hanya mereka yang direkodkan pernah pulang ke tanah air sekurang-kurangnya sekali dalam lima tahun dibenarkan untuk mengundi.

Wan Ahmad berkata apabila telah mendaftar, mereka yang berkenaan perlu memohon untuk mengundi pos bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya.

"Ini satu syarat yang boleh diterima kerana kalau dia hendak menentukan masa depan negara untuk mengundi dalam pilihan raya, kalau dia tidak pernah balik ke negara sendiri selama tempoh itu, bagi saya dia tidak berminat lagi untuk menjadi rakyat Malaysia," katanya.

- BERNAMA

Selasa, 03 Juli 2012

Mandat rakyat 2008 berbaki 10 bulan, menghampiri tempoh lima tahun

Mandat rakyat 2008 berbaki 10 bulan, menghampiri tempoh lima tahun

Oleh Hassan Mohd. Noor

TIGA, empat atau lima. Itulah angka yang turut menjadi bualan ketika ini. Adakah sesuatu pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan setelah genap lima tahun selepas sesebuah kerajaan mendapat mandat rakyat?

Atau perlukah ia kekal seperti sekarang iaitu diadakan pada bila-bila masa menjelang genap lima tahun mandat yang diberikan rakyat kepada sesebuah kerajaan? Mungkin selepas tiga atau empat tahun. Isu ini tiba-tiba muncul selepas banyak ramalan atau telahan pelbagai pihak mengenai tarikh PRU Ke-13 meleset dan ramai yang ‘membuang’ masa mencongak bilakah tarikh keramat itu akan datang.

Dalam keadaan tertentu, PRU perlu diadakan walaupun tempoh pembubaran sebenarnya masih jauh. Mungkin ketika kedudukan sesebuah kerajaan dalam keadaan goyah, tidak cukup stabil untuk memerintah dengan baik.

Bagaimanapun jika diselak sejarah PRU yang lalu, tempoh paling awal pembubaran Dewan Rakyat tidak sampai dua tahun, sekitar 17 bulan sahaja. Maknanya PRU diadakan setelah mandat sesuatu penggal Parlimen melepasi usia tiga tahun. Kini setelah Jun berakhir, tidak ada sebarang petanda PRU. Kini timbul pula ramalan yang dikaitkan dengan pembubaran pada bulan September. Maka tercetuslah isu jika PRU berlangsung pada bulan September atau Oktober, Pas mahu anggota partinya menangguhkan pemergian mereka ke Mekah. Pas mahu kerajaan menangguhkan PRU pada musim haji. Seolah-olah pada musim haji, hanya orang Pas yang ke Mekah, tidak ada orang UMNO atau Barisan Nasional (BN). Timbul juga ura-ura, PRU hanya akan berlangsung ketika ia benar-benar menghampiri berakhirnya ‘idah’ menjelang 28 April 2013. Mungkin jika tidak diadakan tahun ini, ia dijangka berlangsung pada Mac 2013. Kita selak kembali dua kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak sebelum ini mengenai pilihan raya yang ada kaitan dengan ‘angka’ atau tempoh mandat ini.

Pertama, pada 22 Jun selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PRU hendak diadakan selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi. Ketika ini tiada apa-apa yang menyekat kerajaan untuk mengadakan PRU lebih awal kerana Perlembagaan membenarkan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen tetapi tidak lewat dari tempoh lima tahun.

Kedua, pada 29 Jun, selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Beliau berkata, tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi PRU berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh itu. Katanya BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan untuk membela untung nasib rakyat. Kalau PRU terlalu awal, bererti memendekkan tempoh yang rakyat telah berikan.

Maka teka-teki mengenai tarikh PRU ini tentunya bukan disebabkan Najib belum mendapat ilham atau bukan juga BN tidak yakin. Di sebalik faktor yang diberikan oleh Najib, sudah tentu BN mahu memenuhi hasrat pembangkang yang memerintah beberapa negeri yang sebelum ini menegaskan tidak akan mengadakan PRU lebih awal. Ada negeri di bawah pakatan 3P (PKR-Pas-DAP) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan lebih awal. BN juga tentunya mahu mencipta keputusan 14-0 iaitu menang di semua negeri termasuk mendapat mandat rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Sarawak yang sudah mengadakan PRU DUN).

Najib juga tentunya mengambil kira wang rakyat yang akan digunakan setelah ada hasrat pakatan 3P tidak akan membubarkan beberapa negeri yang dimenangi pada PRU lalu.

Jika diselak kembali kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 November tahun lalu, kira-kira RM40 juta akan dibazirkan jika kerajaan PKR Selangor berkeras mahu mengadakan pilihan raya berasingan. Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, walaupun hak kerajaan negeri membubarkan DUN tetapi banyak perkara perlu dilihat termasuk kepentingan rakyat, pembaziran wang dan tenaga kerja yang bertambah apabila PRU berasingan diadakan.

Justeru, Najib turut mengambil kira untuk menyelamatkan wang rakyat daripada mengalir kepada tujuan yang sepatutnya boleh dielakkan.

Dengan melewatkan PRU sehingga menghampiri tempoh akhir, ia juga membantu kerajaan negeri di bawah pakatan 3P berpeluang menunaikan janji yang belum ditepati selepas menabur janji pada kempen atau manifesto PRU lalu. Menjelang pembubaran Dewan Rakyat atau DUN, biar sedikit atau sekadar ada tetapi apa yang penting bagi mereka ialah menunaikan janji. Sama ada ia sesuatu yang menyeluruh atau sekadar memenuhi kehendak kroni/penyokong tegar mereka, eloklah pengundi yang menentukan pada PRU akan datang.

Mungkin jika sebelum ini kata-kata jika hari ini menang pilihan raya, esok juga ‘itu dan ini’ dilakukan akan bertukar kepada jika esok pilihan raya hari ini juga janji 2008 dilaksanakan. Tidak mustahil, semua janji akan ditunaikan pada saat-saat akhir walaupun risikonya amat besar.

Dengan memasuki Julai, bulan yang akan bermulanya puasa Ramadan kemudian Hari Raya Aidilfitri, kita sebenarnya semakin menghampiri usia lima tahun penggal Dewan Rakyat dan DUN selepas PRU lalu. Kebanyakan usia penggal DUN sudah pun genap empat tahun pada bulan April lalu manakala Terengganu, Kedah, Pahang dan Selangor mencapai tempoh itu pada Mei lalu. Maka tidak ada sebab bagi kerajaan negeri di bawah pakatan 3P mahu mengadakan PRU DUN secara berasingan.

Dan menyelak kembali tempoh mandat pentadbiran kerajaan sebelum ini, ternyata tidak ada yang benar-benar mencukupi lima tahun. Paling hampir pun pada 1969 apabila PRU diadakan kira-kira dua bulan sebelum tempohnya berakhir. Pada 1974, 1978 dan 1982, PRU diadakan kira-kira 17 bulan lebih awal daripada tempoh mandat berakhir.

Pada 1999, mandat yang diperoleh pada 1995 sepatutnya berakhir pada 6 Jun 2000 tetapi Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 November 1999, kira-kira enam bulan lebih awal. Begitu juga pada 2004, mandat selepas PRU Ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999 sepatutnya berakhir 20 Disember 2004 tetapi dibubarkan pada 4 Mac 2004 untuk membolehkan PRU Ke-11 diadakan. Manakala mandat yang diperoleh pada PRU Ke-11 sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 tetapi PRU diadakan 8 Mac 2008 selepas dibubarkan pada 13 Februari 2008.

Begitulah bagaimana mandat sesuatu PRU berakhir, tanpa mencapai tempoh lima tahun tetapi melepasi tiga tahun iaitu tempoh yang tidak membenarkan sebarang pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan.

- UTUSAN

Senin, 25 Juni 2012

Morsi Presiden baru Mesir



KAHERAH - Calon pegerakan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi diisytihar Presiden negara demokratik Mesir yang pertama oleh jawatankuasa pilihan raya semalam selepas beliau menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dengan 51.7 peratus undi pada pusingan kedua pilihan raya Presiden yang berlangsung minggu lalu.

"Pemenang pilihan raya Presiden Mesir pada 16 dan 17 Jun ialah Mohamed Morsi Eissa Al-Ayat," kata ketua suruhan jaya pilihan raya, Faruq Sultan.

Menurutnya, Morsi memperoleh 13,230,131 undi berbanding 12,347,380 undi yang diperoleh Shafiq.

Sekitar 51.8 peratus daripada lebih 50 juta pengundi berdaftar keluar membuang undi pada pilihan raya tersebut.

Morsi, 60, bakal menggantikan Hosni Mubarak yang digulingkan semasa kebangkitan rakyat Mesir 16 bulan lalu.

Namun, majlis tentera yang memerintah sejak kejatuhan Mubarak telah bertindak mengekang kuasa Presiden Mesir.

Langkah tersebut dilihat akan memaksa Morsi bekerjasama dengan tentera sebelum boleh merombak perlembagaan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir membanjiri Dataran Tahrir di sini bagi meraikan kemenangan Morsi.

Mereka bersorak "Tuhan Maha Besar!" sambil mengibarkan bendera Mesir.

"Kemenangan ini merupakan hasil keazaman rakyat Mesir yang mahu suara mereka didengari," kata seorang jurucakap Morsi.

Sementara itu, Shafiq belum mempamerkan sebarang reaksi berhubung kemenangan Morsi.

Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya memberitahu, beliau akan menawarkan diri untuk berkhidmat di bawah pentadbiran Morsi.

Morsi sebelum ini memenangi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir.

Beliau turut berjanji akan membentuk pentadbiran inklusif yang dapat memuaskan hati pelbagai lapisan masyarakat Mesir termasuk golongan minoriti Kristian di negara berkenaan.

- Agensi

Selasa, 19 Juni 2012

Debat Besih : PR beri BN ruang demo jika menang PRU13



SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasioanal (BN) untuk mengadakan demonstrasi, dengan menyediakan garis panduan yang tidak menganiaya peserta demonstrasi, jika diberi peluang mentadbir Kerajaan Pusat.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi yang diadakan PR bukan langkah untuk gulingkan kerajaan tapi untuk memberi ruang kepada rakyat serta pembangkang dalam menuntut hak mereka daripada pemerintah.

"Kami akan bagi ruang pada BN nanti sekiranya kami kuasai Putrajaya.

"BN yang ketika itu sebagai parti pembangkang akan dibenarkan berhimpun atau melakukan demonstrasi secara aman tanpa ada sebarang kekecohan atau provokasi yang terjadi kepada perhimpunan yang disertai PR lalu," katanya dalam Debat Sinar malam tadi.

Beliau juga berkata, PR akan menghapuskan doktrin undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara sepenuhnya jika mereka diberi peluang untuk menerajui negara.

"Kalau PR ambil alaih Putrjaya malam ini, kami akan hapuskan terus doktrin undang-undang dan kebebasan suara dapat diberikan kepada rakyat spenuhnya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, demonstrasi yang diadakan PR telah dicemari provokasi oleh pihak tertentu dengan pelbagai insiden yang berlaku terutamanya Bersih 3.0 April lalu.

"Perhimpunan Bersih 3.0 lalu telah dicemari provokasi pihak tertentu yang nyata pesertanya hanya membawa botol dan garam dalam perhimpunan tersebut.

"Penguat kuasa telah melepaskan gas pemedih dan gunakan cota menyebabkan perhimpunan tersebut bertukar buruk," katanya.

Sementara itu, Salahuddin turut menyatakan PR akan memberi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang betul kepada pasukan polis untuk menjaga demonstrasi yang di ketuai BN kelak katanya.

- SINAR HARIAN
Ada simbol calon Bebas perlu digugur dan diganti - SPR

Ada simbol calon Bebas perlu digugur dan diganti - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meneliti simbol bagi calon Bebas dan mendapati mendapati ada yang perlu digugur atu diganti selaras dengan perkembangan semasa.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, misalnya simbol gunting ditukar kepada pen kerana SPR berpendapat ia tidak sesuai kerana boleh menjadi senjata.

Manakala simbol kepala harimau ditukar dengan kucing, kerana harimau binatang yang ganas," tambahnya

"Payung pula ditukar dengan baju hujan kerana payung digunakan orang ramai semasa hujan dan panas, nanti ia boleh menjadi satu taktik untuk berkempen dan akan dibawa ke kawasan larangan semasa pilihan raya," katanya.

Beliau berkata SPR mempunyai hak untuk menentukan simbol bersesuaian dan kini terdapat 30 simbol telah ditetapkan, antaranya kunci, meja, rumah, ikan, perahu, kapal terbang, jam dan arnab.

- BERNAMA
Lajim Ukin lepas jawatan parti, tapi kekal dalam UMNO

Lajim Ukin lepas jawatan parti, tapi kekal dalam UMNO

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin telah meletak jawatan sebagai ketua Umno cawangan Kerambai Kebatu selepas pendedahan sebelum ini yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai ketua Umno bahagian Beaufort.

Ini, menurut Sabah Times, telah diumumkan Lajim pada hari Sabtu ketika satu majlis menyambut harijadinya yang ke-57.

"Surat peletakan jawatan saya sebagai ketua cawangan Umno telah dihantar kepada setiausaha Umno bahagian Beaufort beberapa hari lalu," beliau dipetik sebagai berkata.

Lajim, yang merupakan timbalan menteri perumahan dan
kerajaan tempatan di peringkat persekutuan, adalah antara pemimpin Sabah yang dispekulasi akan melompat parti untuk menyertai PKR semasa lawatan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah Ahad lepas.

Lajim telah menafikan dakwaan tersebut selepas ia tidak menjadi kenyataan apabila penerbangan Anwar ke Kota Kinabalu tertangguh berikutan cuaca buruk, tetapi berkata "apa saja boleh berlaku".

Di majlis sambutan harijadinya itu, Lajim berkata terdapat desakan supaya beliau keluar Umno dan kerajaan, tetapi menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada tekanan itu.

Bagaimanapun, menurut Sabah Times, beliau mencabar BN dan kepimpinan Umno supaya memecatnya dan bahawa "rakyat Klias dan Beaufort telah bersedia" untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Siapakah mereka untuk menuntut saya berbuat demikian (meletak jawatan). Jika saya telah melakukan kesalahan, maka ia terpulang kepada parti dan kerajaan untuk memecat saya, lagi pun bukan mereka yang menentukan masa depan saya, tetapi penduduk kawasan pilihan raya ini," beliau dipetik sebagai berkata di hadapan kira-kira 5,000 penyokong di kediamannya di Kampung Kaundu Kebatu.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Beaufort itu dilihat membayangkan bahawa beliau mungkin tidak lama terus berada dalam parti lama.

"Langkah pertama adalah untuk tidak mempertahankan kedudukan saya sebagai ketua bahagian, langkah kedua ialah untuk meletakkan jawatan sebagai ketua cawangan, apakah langkah ketiga, kita tunggu dan lihat," beliau dipetik sebagai berkata.

Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Sabah.

- MALAYSIAKINI

Top