Tampilkan postingan dengan label Pendidikan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Pendidikan. Tampilkan semua postingan

Selasa, 24 Juli 2012

Rencana Banyak keburukan bawa telefon bimbit ke sekolah

Rencana Banyak keburukan bawa telefon bimbit ke sekolah

Oleh Anwar patho Rohman

Tahun depan, tidak mustahil poster bertulis, “Sila matikan telefon bimbit atau gajet anda ketika guru sedang mengajar” akan ditampal di bilik darjah.

Di kawasan sekolah pula, poster bertulis “Penggunaan telefon bimbit atau gajet dibenarkan sebelum dan selepas waktu sekolah atau pada masa rehat saja,” mungkin akan ditampal di papan kenyataan dan setiap koridor.
Poster berkenaan ditampal bertujuan mendisiplin murid sekolah, selain memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelajaran susulan murid dibenarkan membawa telefon bimbit atau gajet komunikasi ke sekolah pada 2013.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya akan menjadi kenyataan selepas undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pindaan itu perlu bagi menggalakkan pendidik dan pelajar menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada abad ke-21 dan selaras langkah untuk melaksanakan pengajaran maya dan program ‘1Bestari’ di seluruh negara.

Bagaimanapun, keputusan Kementerian Pelajaran itu nampaknya mengundang kontroversi dan polemik kerana banyak pihak, khasnya ibu bapa termasuk guru menentangnya.
Tiada alasan kukuh dikemukakan, namun secara umumnya, ibu bapa dan pihak sekolah menganggap kebebasan itu hanya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan sama ada kepada murid, guru dan ibu bapa.

Pada masa sama, guru, masyarakat dan ibu bapa berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah seperti kemungkinan berlaku kes kecurian telefon bimbit atau gajet dibawa anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa dan guru bimbang jika murid dibenarkan membawa serta menggunakan telefon bimbit, mereka akan menjadi leka untuk belajar kerana asyik ‘mengulit’ tanpa henti telefon bimbit dan gajet masing-masing.

Walaupun kebenaran membawa telefon bimbit dan gajet seperti tablet itu bersyarat, namun ibu bapa menganggap keputusan itu masih kurang relevan dan membebankan.

Umum mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon bimbit ke sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997.

Walaupun Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah secara bersyarat menerusi satu pekeliling bertarikh 23 Disember 2005, namun ia ditarik balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 19 Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu dikeluarkan.

Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

Tambahan pula, jika diteliti, telefon bimbit yang dijual di pasaran kini ialah jenis telefon pintar iaitu mempunyai ciri-ciri dan aplikasi canggih yang memudahkan sesiapa saja melayari internet, bersembang dalam laman sosial, mengambil gambar, merakam video dan suara tanpa had batasan.

Dari sudut positif, penggunaannya dapat membantu mengembangkan minda dan kreativiti murid di sekolah khasnya untuk mencari maklumat, namun ia juga mampu mencetuskan lebih banyak isu disiplin kerana besar kemungkinan murid menyalahgunakannya untuk tujuan tidak bermoral.

Memang diakui, telefon bimbit dan gajet seperti tablet sudah menjadi fenomena serta keperluan dalam kehidupan kita sehari-hari, namun adakah ia berupaya mendorong murid di sekolah menggunakannya secara bijak dan terkawal apabila dibawa ke sekolah.

- BERITA HARIAN
IPT Perlu Pertingkat Ciri Keselamatan Dalam Pengeluaran Ijazah

IPT Perlu Pertingkat Ciri Keselamatan Dalam Pengeluaran Ijazah

Ciri keselamatan sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah minimum dan mudah dipalsukan sehingga mewujudkan sindiket pemalsuan ijazah baru-baru ini.

Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB) Izham Yusoff berkata orang ramai seharusnya tidak mudah terpedaya dengan tawaran 'ijazah segera' menerusi laman web dan ia juga tidak logik kerana tidak memerlukan seseorang menghadiri kuliah di IPT untuk tempoh tertentu.

"Kes pemalsuan ijazah dengan menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik IPTA, IPTS dan nama Malaysia secara keseluruhan, maka itu, semua pihak harus memberi perhatian serius mengenai kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada 1 Julai lepas bahawa wujudnya kegiatan sindiket yang menawarkan ijazah palsu menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi laman web pada harga mencecah RM5,000.

Izham berkata PNMB setakat ini tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan pemalsuan sijil dan diploma kerana setiap produk PNMB mempunyai ciri-ciri keselamatan tambahan, antaranya, penggunaan kertas sekuriti dan teknologi moden.

"Lain-lain aspek keselamatan yang diguna pakai ialah reka bentuk keselamatan, kod rahsia, dakwat, nombor siri, tera air tersembunyi dan pelbagai lagi boleh menambah tahap sekuriti dokumen (sijil dan diploma) tersebut," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap ciri keselamatan untuk pembuatan sijil dan diploma tidak sama dengan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam wang kertas yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ditanya adakah setiap sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan PNMB mempunyai nombor siri atau nombor keselamatan sama seperti yang diguna pakai BNM, Izham berkata setiap IPTA, IPTS mempunyai nombor siri dan keselamatan sendiri tetapi itu hanya untuk kawalan dokumen dan pemantauan semata-mata dan bukan merupakan ciri keselamatan.

Setiap sijil dan diploma yang dihasilkan PNMB akan disimpan di dalam salinan digital berciri sekuriti untuk rekod simpanan dan semakan oleh pihak IPTA dan IPTS, katanya.

"Digital berciri sekuriti ini membolehkan pihak yang berkenaan seperti majikan, institusi kewangan dan badan kerajaan membuat semakan kesahihan dokumen itu dengan IPTA dan IPTS berkenaan kelak," katanya.

PNMB sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, memang bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak-pihak lain yang berkaitan dalam memerangi pemalsuan dokumen ini, kata Izham.

"PNMB mempunyai tenaga kerja pakar dan juga alatan khas untuk mengesan dokumen palsu," katanya.

Izham menegaskan bahawa sehingga kini tidak wujud sindiket yang melibatkan 'orang dalam' PNMB kerana ia mempunyai sistem sekuriti dan pemantauan yang terkini untuk memastikan kegiatan itu tidak berlaku.

PNMB adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan DiPerbadankan yang memberi perkhidmatan dan penyelesaian percetakan untuk pelanggan dari sektor kerajaan dan swasta dan merupakan syarikat cetak terbesar di Malaysia dengan rangkaian 12 cawangan di seluruh negara.

- BERNAMA

Senin, 23 Juli 2012

Banyak kekosongan bidang agama

Banyak kekosongan bidang agama

Isu kekurangan peluang pekerjaan pelajar yang mengikuti pengajian di institusi agama di Indonesia mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Serentak itu, beliau akan menemui pemimpin Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia-Indonesia (PKPMI) kerana menganggap masalah itu tidak sepatutnya berlaku berikutan banyak kekosongan jawatan dalam bidang agama di negara ini seperti guru Kelas Jawi, al-Quran, Bahasa Arab Komunikasi dan Fardu Ain (JQAF) serta perbankan Islam.
“Saya bimbang mereka masuk institusi pengajian tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sehingga sukar cari kerja,” katanya selepas menyampaikan juadah berbuka kepada golongan miskin di Dataran Daruzzakah, Kuala Lumpur

Beliau mengulas laporan BH kelmarin, mengenai graduan agama di Indonesia gagal mendapat kerja seperti didedahkan PKPMI pada sesi dialog bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bali, baru-baru ini.

Jamil Khir berkata, faktor lain menyebabkan masalah itu juga mungkin disebabkan graduan terbabit memohon jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau mahu berkhidmat sebagai pegawai atau kakitangan di ibu pejabat dan pejabat jabatan agama yang mempunyai jawatan terhad.

“Bagi mengelak masalah sukar dapat kerja, pelajar kita di luar negara perlu mendapatkan pengesahan JPA, sama ada pengajian mereka diiktiraf kerajaan atau sebaliknya.

“Ada institusi pengajian tinggi (IPT) di luar negara tidak mengutamakan kualiti akademik, sebaliknya mempermudahkan kemasukan pelajar,” katanya.
Mengenai majlis di Dataran Daruzzakah, beliau berkata, program dikendalikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu berjalan sepanjang Ramadan dan setiap hari 500 bungkusan makanan diagihkan kepada golongan asnaf.

- BERITA HARIAN

Kamis, 19 Juli 2012

Pelajar Dengan CGPA 2.8 Ke Atas Ada Tempat Di IPTA Dengan Syarat Tak Memilih Kursus

Pelajar Dengan CGPA 2.8 Ke Atas Ada Tempat Di IPTA Dengan Syarat Tak Memilih Kursus

Semua pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 2.8 ke atas, kini mempunyai tempat untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi akademik 2012/2013, dengan syarat tidak menolak bidang pengajian yang ditawarkan kepada mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan pertama kali yang dibuat kementeriannya itu, akan membolehkan 1,894 pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi yang memperoleh CGPA 2.8 ke atas yang sebelum ini tidak mendapat tempat, kini dijanjikan tempat untuk mereka.

"Kita sedia memberi mereka tempat dalam IPTA dengan syarat mereka terima apa sahaja tawaran bidang pengajian yang kita beri, jangan memilih," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan majlis bersama rakyat menyambut bulan Ramadan Parlimen Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, Khamis.

Mohamed Khaled berkata, bagi pelajar yang mendapat CGPA bawah daripada 2.8, mereka perlu menunggu proses rayuan selesai, di mana rayuan melalui e-Rayuan akan ditutup Ahad ini.

"Kita dapati pada tahun ini pencapaian pelajar lebih baik daripada tahun-tahun dahulu. Jumlah pelajar yang mendapat CGPA 4.0 meningkat daripada tahun-tahun lalu kepada 3,800 pelajar. Oleh itu persaingan menjadi semakin sengit, walaupun syarat minimum masuk ke universiti ialah memperoleh CGPA 2.0 tetapi belum tentu ada tempat," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan pelajar yang layak memasuki IPTA tahun ini ialah 38,549 orang di mana 13,500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan menyediakan program transformasi ekonomi bagi memastikan lepasan universiti tersebut mempunyai peluang pekerjaan dan bagi kerajaan negeri yang sealiran dengan kerajaan pusat adalah lebih mudah pembangunan dilaksanakan.

Beliau berkata pelajar lepasan universiti dari Kelantan terpaksa bekerja di tempat lain kerana peluang pekerjaan tidak mencukupi di negeri ini walaupun mereka berkeinginan untuk kembali bekerja di tempat sendiri.

Pada majlis tersebut, 513 pelajar masing-masing menerima RM1,500 wang pendahuluan pembiayaan PTPTN bagi membolehkan mereka membuat persiapan memasuki IPTA.

- MSTAR

Rabu, 18 Juli 2012

7,975 guru PPPS naik gred

7,975 guru PPPS naik gred

Seramai 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS) akan menikmati kenaikan Gred DG41 dalam tempoh terdekat selepas tertangguh dua tahun. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya baru menerima waran kenaikan pangkat bagi Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian PPPS, masing-masing, 23 Mei lalu.
Katanya, kementerian sedar penangguhan kenaikan gred di kalangan guru lepasan PPLD yang menyertai PPPS sejak dua tahun lalu, menimbulkan perasaan negatif guru belum siswazah.

“Kementerian akan berusaha mempercepatkan kenaikan Gred DG41 yang membolehkan pelbagai faedah dapat dinikmati.

“Saya akui penangguhan kenaikan gred ini menyebabkan ramai guru PPLD tidak mahu menyertai PPPS,” katanya di Butterworth, semalam.

Mohd Puad berkata, melalui PPPS yang diwujudkan pada 2006, seramai 70,062 guru menyertainya dengan peruntukan RM1.4 bilion disediakan kerajaan bagi tempoh sehingga 2020.
“Bagi pengambilan September ini, kita menjangka 22,102 guru akan menyertainya.

“Bagaimanapun, masih ada 16,574 kekosongan sehingga semalam (kelmarin) kerana hanya 3,528 memohon, puncanya dipercayai berkaitan isu penangguhan kenaikan Gred DG41,” katanya.

- BERITA HARIAN
Majoriti guru tak setuju pelajar bawa telefon ke sekolah

Majoriti guru tak setuju pelajar bawa telefon ke sekolah

Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil kepada BH, semalam.

Muhamad Khailani adalah Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan.

Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

“Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan.

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, pelajar membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.

- BERITA HARIAN
KPT Akan Terus Usaha Tingkat Jumlah Pelajar Lelaki Di IPT

KPT Akan Terus Usaha Tingkat Jumlah Pelajar Lelaki Di IPT

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meneruskan usaha bagi menggalakkan dan memupuk minat pelajar-pelajar lelaki menyambung pengajian di peringkat universiti.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana, seperti tahun-tahun terdahulu, calon perempuan tetap mendominasi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuklah pengambilan sesi baru ini.

"Tahun ini bilangan calon perempuan yang ditawarkan tempat melebihi calon lelaki dengan jumlah seramai 25,372 orang berbanding calon lelaki hanya 13,177 orang.

"Ini bermakna usaha berterusan untuk menimbulkan minat dan menggalakkan pelajar lelaki menyambung pengajian ke universiti khususnya perlu dilakukan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada bakal mahasiswa di Majlis Impianku Ke Menara Gading, dekat sini, Selasa.

Mohamed Khaled berkata kerajaan perlu meneruskan usaha ini agar proses pembangunan modal insan dalam negara dapat dilaksanakan secara seimbang.

"Usaha kita bukan dengan cara kurangkan kemasukan pelajar perempuan dan bawa masuk pelajar lelaki.

"Kita kekalkan kemasukan calon perempuan tetapi teruskan usaha untuk menjadikan jumlah pelajar lelaki seimbang dengan wanita," jelasnya.

Menurut Mohamed Khaled, kaedah terbaik mengatasi situasi ini ialah dengan mengkaji sistem pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Kaedah itu katanya mampu menangani masalah keciciran sekali gus dapat membuka ruang dan peluang kepada pelajar lelaki.

"Kita kena faham bagaimana lelaki (pelajar) berfikir...mungkin mereka tak sesuai dengan pendidikan berorientasikan peperiksaan.

"Mungkin mereka lebih cenderung kepada bidang penerokaan dan bidang kreatif," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata usaha-usaha yang dilakukan kerajaan ini menunjukan kerajaan amat serius dalam soal akses pendidikan tinggi kepada rakyat.

Beliau menjelaskan semua pihak tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, negeri mempunyai akses untuk pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengakui penawaran tempat di universiti pada tahun ini sedikit berkurang berbanding tahun lalu.

"Tempat terhad dan persaingan sengit...itu kita tak nafikan," tegasnya.

Perkara ini berlaku atas beberapa faktor termasuklah autonomi yang diberikan kepada Universiti Penyelidikan (RU) mengenai pengurusan kemasukan pelajar secara independen dan penambahan jumlah pelajar peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Pada majlis itu, seramai 48 bakal mahasiswa daripada pelbagai latar belakang diraikan oleh KPT.

Mereka termasuklah pelajar cemerlang daripada golongan orang kelainan upaya (OKU), anak peneroka Felda, Orang Asli, atlet, bumiputera Sabah dan Sarawak serta pelajar kembar.

- MSTAR

Senin, 16 Juli 2012

Cadangan Membenarkan Pelajar Membawa Telefon dan Gajet ke Sekolah

Cadangan Membenarkan Pelajar Membawa Telefon dan Gajet ke Sekolah

PUTRAJAYA 16 Julai - Kementerian Pelajaran sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.

''Sebelum ini, para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, ini bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gelaja Displin Murid di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kebenaran penggunaan iPad adalah selari dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian yang semakin popular di negara ini.

''Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan cara pembelajaran dalam talian iaitu 1BestariNet mulai tahun depan, kaedah pembelajaran ini akan semakin berleluasa di negara ini.

''iPad juga mempunyai fungsi perbualan, alat komunikasi seperti Samsung Galaxy Note adalah sukar dikategorikan sebagai telefon bimbit atau komputer riba," katanya.

Ka Siong bagaimanapun menegaskan keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah tidak bermaksud Kementerian Pelajaran menggalakkan pembelian produk berteknologi tinggi dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, Draf Peraturan Pendidikan (Displin Murid) 2012 kini berada di peringkat akhir penyediaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diluluskan.

''Dalam tempoh ini, Kementerian Pelajaran mengalu-alukan pendangan daripada semua pihak," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, Draf Peraturan Pendidikan (Displin Murid) 2012 juga akan menetapkan peraturan untuk menangani perihal jenayah siber.

''Ini antaranya bertujuan mengelakkan pelajar menyalahgunakan alat komunikasi untuk tujuan yang tidak baik termasuk memfitnah guru di Internet," katanya.

- UTUSAN

Minggu, 15 Juli 2012

Wajah Baru Tingkatan Enam

Wajah Baru Tingkatan Enam

SEJAK dulu, tingkatan enam sering diklasifikasikan sebagai pendidikan sukar dan menjadi pilihan terakhir pelajar yang tidak berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau matrikulasi.

Begitu banyak definisi diberikan hingga menimbulkan justifikasi berbeza masyarakat menyebabkan tingkatan enam malap dan terpinggir.
sebelum

Bagaimanapun, ada cadangan untuk memberi wajah baru kepada tingkatan enam baru - baru ini membabitkan dimensi dan nafas baru terhadap pendidikan berkenaan.

Menerusi imej baru cadangan penstrukturan semula, ia juga dianggap sebagai tanda terima kasih kepada tingkatan enam yang selama ini menjadi penyelamat khususnya pelajar yang ingin menjejakkan kaki ke menara gading.


Persoalannya, adakah dengan pembaharuan bakal dilaksanakan itu, tingkatan enam mampu menarik kembali ramai pelajar untuk meneruskan pengajian atau sebaliknya?


Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, penjenamaan semula berkenaan tepat masanya bagi memberi ‘cahaya’ baru kepada tingkatan enam dan perlu segera dilaksanakan.

Menurutnya, sumbangan tingkatan enam kepada sistem pendidikan negara cukup besar dan wajah baru itu boleh ‘mengingatkan’ kembali masyarakat, jasa-jasa yang sudah dicurahkan selama ini.

“Dulu tingkatan enam dianggap sebagai pendidikan berprestij dan hanya untuk pelajar yang terpilih saja. Fungsinya cukup besar terutama membantu pelajar melangkah alam pendidikan tinggi.

“Malangnya, kini tingkatan enam hanya dianggap sebagai pilihan terakhir dan gagal menarik minat pelajar. Ditambah pula dengan pelbagai tanggapan negatif.

“Justeru penjenamaan semula ini langkah tepat untuk ‘menghidupkan’ kembali tingkatan enam sekali gus menjadikannya sebagai salah satu proses kesinambungan pendidikan ke menara gading,” katanya.

Beliau menegaskan sama ada ke tingkatan enam atau tidak, setiap peranan yang dimodulkan melalui sistem pendidikan negara mempunyai kepentingan masing-masing.

Pandangan skeptikal masyarakatlah katanya, menyebabkan ia dikelaskan sebagai pembaziran dan kelas kedua sekali gus bertentangan dengan kehendak pendidikan berterusan.

“Secara amnya, setiap pendidikan sama ada bertaraf tinggi atau rendah tidak wajar dinilai mengikut spesifikasi tertentu kerana fungsi setiap daripadanya tetap sama iaitu memberi pendidikan.

“Namun ramai seperti menganaktirikan tingkatan enam menyebabkan ia sering kali diberi penilaian negatif.

“Justeru penstrukturan serta pemberian imej baru ini diharap mampu menghapuskan pandangan skeptikal itu dan menjadikan tingkatan enam sebagai salah satu wadah pendidikan terbaik negara,” katanya.

Penstrukturan imej baru tingkatan enam seperti dilaporkan akhbar baru - baru ini dianggap sebagai landasan awal untuk meninggikan lagi penerimaan masyarakat sejajar sistem pendidikan pra universiti

Antara cadangannya ialah menyatukan tingkatan enam, jadual waktu, guru dan pakaian berbeza serta dipisahkan dari sekolah biasa.

Menurutnya, penstrukturan baru itu boleh menarik dan meningkatkan imej tingkatan enam biarpun selama ini pendidikan berkenaan kurang popular.

“Ini kerana pelajar kebanyakannya berminat memohon untuk memasuki kolej atau menara gading bagi melanjutkan pengajian kerana dianggap lebih menjamin peluang kemasukan ke universiti.

“Pada masa sama tanggapan ia susah dan membazir sentiasa membelenggu minda masyarakat menyebabkan kurang sambutan.

“Padahal fungsi pembelajaran dan tujuan asasnya tetap sama. Hanya disebabkan ia di sekolah bukan di kolej menjadikan tingkatan enam masih disamakan seperti pendidikan di sekolah,” katanya menambah cabaran belajar di mana - mana pun tetap serupa.

“Sama ada di sekolah atau menara gading, pembelajaran adalah proses berterusan yang memerlukan seseorang fokus.

“Jangan berikan alasan belajar di menara gading atau matrikulasi boleh menjamin masa depan. Semuanya bergantung pada sikap dan di mana - mana saja seseorang boleh mencipta kejayaan,” katanya.

Ditanya antara faktor tingkatan enam kurang mendapat sambutan, beliau berkata subjek dikatakan sukar, peluang sukar memasuki institusi pengajian tinggi dan hanya membuang masa berbanding diploma adalah puncanya.

“Apabila ramai berkata demikian, secara tidak langsung mematikan minat pelajar untuk meneruskan pengajian.

“Mungkin pengisiannya lebih meluas namun bersesuaian dengan fungsinya sebagai pendidikan pra universiti.

“Dengan kata lain, di sinilah ilmu berdikari dipelajari sama seperti di menara gading. Jadi tidak adil kalau pelajar tidak didedahkan dengan proses pembelajaran seperti itu,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Dr Othman Lebar pula beranggapan sistem pendidikan tingkatan enam yang dilaksanakan di sekolah adalah antara punca utama ia disalah anggap.

Menurutnya, ramai menyangka tingkatan enam adalah kesinambungan proses pembelajaran di tingkatan lima apatah lagi dilakukan di sekolah.

“Ini menyebabkan mereka ‘bosan’ dan tidak tertarik sekali gus mencari alternatif lain bagi melanjutkan pengajian.

“Sepatutnya tingkatan enam perlu diasingkan dengan ciri berbeza supaya pelajar dapat merasai keistimewaannya selain disuntik dengan elemen tertentu.

“Apabila ada kelainan, tentu ada tarikan. Perlu ada penegasan dan pemberitahuan bahawa tingkatan enam adalah pendidikan berkonsepkan pra universiti bukan sekolah,” katanya.

Setiap pendekatan yang digunakan perlu lebih menjurus kepada cara pendidikan peringkat tinggi supaya pada masa sama pelajar boleh berfikir dan bertindak bukan seperti pelajar sekolah.

“Sejak dulu, tingkatan enam diiktiraf setara dengan pendidikan tinggi, malangnya kerana ia banyak dilaksanakan di sekolah, ‘perasaan’ seperti pelajar sekolah masih wujud.

“Padahal pendidikan itu adalah peringkat tinggi. Saya percaya memang sudah tiba masanya tingkatan enam diberi penjenamaan semula.

“Sekali gus mengembalikan semula kegemilangannya yang sudah banyak berjasa melahirkan golongan berpendidikan tinggi sebelum ini,” katanya.

- HARIAN METRO

Top