Tampilkan postingan dengan label Kewangan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kewangan. Tampilkan semua postingan

Selasa, 24 Juli 2012

Had umur untuk pengeluaran KWSP kekal 55 tahun

Had umur untuk pengeluaran KWSP kekal 55 tahun

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam menolak dakwaan bahawa kerajaan menaikkan had umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun kerana ingin memegang jumlah simpanan pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebih lama.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, beliau mengesahkan bahawa had umur untuk mengeluarkan simpanan KWSP kekal pada umur 55 tahun walau had umur persaraan telah dinaikkan.

Beliau memberi jaminan bahawa had umur untuk mengeluarkan simpanan itu tidak akan dinaikkan kepada 60 tahun bagi membolehkan wang KWSP digunakan untuk menyokong kerajaan.

Katanya lagi, perubahan ke atas had umur untuk mengeluarkan simpanan hanya akan dibuat selepas rundingan secukupnya.

Tambahnya, syarikat yang ingin meningkatkan had umur persaraan sebelum dasar itu dilaksanakan boleh berbuat demikian dengan mengikut budi bicara mereka sendiri.

- BERNAMA

Senin, 23 Juli 2012

Pekerja risau tak cukup simpanan

Pekerja risau tak cukup simpanan

Lapan puluh peratus pekerja di Malaysia bimbang tidak mempunyai simpanan mencukupi dan menjadi beban kepada waris apabila bersara, demikian mengikut kaji selidik Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).

Pengarah Program dan Felo Kanan Inisiatif Usia Global CSIS, Richard Jackson, berkata empat daripada lima penduduk negara ini bimbang mendapat penyakit serius selepas bersara dan tiada siapa mempedulikan mereka. Katanya, peratusan itu paling tinggi antara enam negara yang dikaji menerusi Kaji Selidik Persaraan Asia Timur yang dikendalikan bersama institut penyelidikan dasar awam berpangkalan di Washington itu dengan firma insurans global, Prudential PLC.
“Kebimbangan itu berpunca antaranya faktor usia persaraan di negara ini yang lebih rendah menyebabkan mereka berdepan risiko kehabisan simpanan dalam tempoh singkat,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Harapkan waris

CSIS menggunakan sampel daripada responden terdiri daripada penduduk bandar dan di luar bandar dengan data dibahagi mengikut usia, jantina dan tahap pendidikan.

Jackson berkata, prospek persaraan di negara ini bagaimanapun lebih baik dalam kalangan generasi muda kerana majoriti menjangkakan mereka kurang bergantung kepada waris selepas bersara, berbanding pesara sedia ada.
“Namun, dengan satu daripada lima pekerja masih menjangkakan tidak menerima manfaat persaraan, tinjauannya adalah masih jauh daripada keadaan selamat,” katanya.

Rakyat Malaysia juga, katanya mempunyai pandangan berbeza terhadap sistem persaraan ideal dengan 39 peratus menyatakan kerajaan bertanggungjawab kepada pendapatan persaraan, manakala 31 peratus lagi berkata ia adalah tugas individu.

Tambah usia pencen

“Walaupun peranan keluarga dilihat semakin mustahak, hanya 14 peratus responden mengatakan anak yang bekerja bertanggungjawab menyediakan pendapatan persaraan kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi kebimbangan itu, sistem persaraan Malaysia perlu meningkatkan usia persaraan, menambah penyertaan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan meletakkan siling perlindungan kemiskinan usia yang kukuh.

“Malaysia bernasib baik kerana memiliki demografi memihak yang memberikan ruang serta masa mencukupi kepada pembuat dasar untuk bertindak,” katanya.

- BERITA HARIAN
Perkembangan transaksi wang secara elektronik

Perkembangan transaksi wang secara elektronik

Oleh ADLAN JAAFAR

FATIMAH ATAN masih ingat lagi sekitar tahun 60-an. Wanita berusia 63 tahun itu terpaksa beratur panjang di pejabat pos semata-mata mahu membayar bil elektrik.

Ketika itu, pejabat pos sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal jauh dari bandar kerana ia mudah ditemui dan menawarkan pelbagai perkhidmatan.

Menyimpan duit di pejabat pos pada masa itu sangat popular dan lazimnya ramai yang berbuat demikian.

Namun apabila berlaku kesempitan wang pada hujung minggu, ia menjadi masalah besar pula sehingga kadangkala terpaksa mengikat perut sementara menunggu bank dibuka pada hari bekerja.

"Tidak seperti sekarang, ketika itu tidak ada mesin teler automatik (ATM) yang beroperasi 24 jam," kata wanita yang berasal dari Muar, Johor itu.

Bagaimanapun, nilai sekeping RM50 ketika itu sangat besar sehingga mampu membeli pelbagai barangan rumah berbanding sekarang yang disifatkannya sangat mahal.

Lain pula kaedah transaksi yang digunakan oleh Shaiful Nizam Mukhelas, 28. Dia tidak pernah mengenal kesusahan yang ditempuhi oleh Fatimah atau dua generasi sebelumnya.

Sejak setahun lalu, lelaki yang berumur 28 tahun itu menggunakan perkhidmatan perbankan elektronik atau e-banking terutama untuk membayar bil internet dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menggunakan CIMB-click, dia boleh memindahkan wang daripada akaun simpanan ke kad kredit dan tahap kepercayaannya sangat tinggi. Sistem itu bukan sahaja memerlukan memasukkan nama pengguna dan kata kunci malah memerlukan kod unik berbentuk soalan.

Kod jawapan unik yang perlu diisi itu hanya diketahui oleh pemiliknya.

Proses transaksi mudah

Ketika membeli-belah pula, dia lebih gemar menggunakan kad kredit kerana tidak perlu membawa wang yang banyak dan proses transaksi dengan juruwang sangat mudah.

Dalam seminit, Shaiful Nizam dapat melangsaikan semua bayaran bil setiap bulan tanpa perlu beratur panjang. Dia begitu bersyukur dengan semua perkhidmatan yang ada di depan mata tambahan pula lelaki yang menetap di Kajang, Selangor itu tidak memiliki kenderaan.

"Penyata akaun hanya dicetak apabila diperlukan. Ia sangat mesra alam dan bil-bil tidak lagi menyemakkan peti pos setiap bulan," selorohnya disambut hilai tawa yang panjang.

Pembayaran elektronik amat digalakkan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia sangat efisien, murah, mudah dan selamat.

Walau bagaimanapun, peningkatan penggunaan kaedah pembayaran berasaskan elektronik tidak mungkin dapat menyebabkan penggunaan wang dalam bentuk fizikal pupus sama sekali.

"Cuma, potensi penjimatan kos bagi sesebuah negara kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun apabila berpindah sepenuhnya daripada pembayaran berasaskan kertas ke e-pembayaran.

"Selain itu, peratus peningkatan edaran mata wang dijangka lebih stabil berbanding sekarang," kata Pengarah Jabatan Pengurusan dan Operasi Mata Wang, (BNM), Azman Mat Ali.

Pada peringkat awal, masyarakat menukar barang dalam bentuk pemberian hadiah. Ia berlaku kerana mereka sukar untuk menentukan nilai persamaan barang untuk ditukar.

Kulit siput gerus

Sebagai contoh, ketika masyarakat luar berurus niaga dengan pedagang Arab ketika abad kedua Sebelum Masihi. Mereka menukar hadiah antara ketua masing-masing.

Pemberi hadiah akan menyatakan jenis barangan yang perlu diberi sebagai penukaran. Selain itu, mereka turut menukar perkhidmatan. Bagaimanapun, nilainya masih tidak tetap.

Kulit siput gerus mula dijadikan mata wang pada awal abad ketiga Masihi. Mata wang berasaskan sumber asli emas dan bijih timah mula digunakan sekitar abad ke-15.

Kesultanan Pasai merupakan kerajaan pertama menggunakan wang emas manakala mata wang Kesultanan Melaka pula diperbuat daripada bijih timah.

Kedua-dua bahan tersebut tahan lama, ada nilai dan mempunyai kestabilan. Menurut pensyarah kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Supian Sabtu, pada zaman itu, semua mata wang yang berasaskan emas dan timah diterima pakai dalam transaksi perdagangan tanpa mengira jenis dan tempat asal mata wang.

"Ia bertepatan dengan prinsip Islam seperti pembayaran jizyah yang membenarkan bayaran dibuat dalam apa bentuk mata wang asalkan diperbuat daripada emas," kata Mohd. Supian ketika ditemui.

Menurutnya, penukaran daripada siput gerus kepada bahan logam berasaskan emas dipengaruhi oleh faktor agama. Kulit siput gerus digunakan dalam aktiviti keagamaan apabila ditemui di kawasan perkuburan.

Emas dan bijih timah pula mula digunapakai selepas kedatangan agama Islam ke Kepulauan Melayu. Pengaruh Islam dapat dilihat pada tempaan gelaran sultan yang memerintah pada permukaan syiling seperti al-Sultan al-Adil, al-Malik al-Adil dan al-Adil.

Wang syiling yang diperbuat daripada sumber asli bumi diperkenalkan oleh pedagang dari China.

Mohd. Supian telah melakukan kajian terhadap wang lama selama empat tahun dan laporan mengenainya setebal 552 muka surat bertajuk, Bentuk Mata Wang Kesultanan di Tanah Melayu, Numismatik dan Arkeologi Abad ke-15 hingga 19 Masihi. Kawasan penemuan dan kajian kebanyakan terdapat di kawasan sungai.

"Pusat perdagangan kerajaan Melayu lama banyak berpusat di tebing-tebing sungai. Wang tampang digunakan sebagai cukai dikenakan oleh pedagang yang menggunakan laluan sungai," terang Mohd. Supian.

Pemalsuan wang

Wang tampang dinilai dengan perbandingan berat iaitu sekati bersamaan 10 tahil. Bagi urus niaga mata wang biasa, sekeping wang mas (nama bagi duit diperbuat daripada emas) sama dengan nilai empat keping mata wang kupang. Wang kupang dan mas dibezakan dengan berat yang berbeza.

Pada zaman moden ini, hanya bank pusat atau pihak tertentu diberi mandat mencetak mata wang.

Bagi BNM, pihaknya menggunakan pencetak-pencetak wang kertas antarabangsa yang mempunyai reputasi tinggi dan melalui proses penilaian tender yang teliti dan ketat.

Kata Azman, kuantiti cetakan wang bergantung pada keperluan semasa bagi setiap denominasi.

"Antara faktor yang diambil kira ialah kadar pertumbuhan ekonomi dan jangkaan kadar inflasi negara. Selain itu, kadar gantian mata wang rosak yang dilupuskan dan keperluan stok rizab turut dipertimbangkan," kata Azman.

Keperluan negara pada masa-masa tertentu dinilai sebelum kelulusan untuk mencetak dikemukakan bagi pertimbangan Lembaga Pengarah BNM.

Konsep pengeluaran mata wang siri keempat pula menggunakan substrat polimer bagi denominasi RM1 dan RM5 kerana penggunaannya yang kerap manakala wang kertas lain menggunakan substrat kapas.

Mata wang yang rosak atau lusuh akan dikeluarkan daripada edaran. Semua wang tersebut akan dimusnah dengan kaedah mericih berdasarkan proses dan produser ketat yang diamalkan oleh BNM manakala wang palsu akan dilapor terus kepada pihak polis.

"Biarpun terdapat kes-kes pemalsuan wang, Malaysia merupakan antara negara yang paling rendah memiliki kes tersebut berbanding negara lain," ungkap Azman.

Berbeza pada zaman Kesultanan Melayu dahulukala, duit dihasilkan oleh sultan yang memerintah sahaja. Setiap kali sultan baharu ditabalkan, baginda akan memerintah semua syiling yang dikeluarkan oleh sultan terdahulu dikumpul.

Terang Mohd. Supian lagi, syiling-syiling akan dilebur dan cetakan tertera nama sultan baharu dibuat. Selain sultan, kerabat sultan turut dibenarkan mencetak duit.

Sebagai contoh, di Terengganu, isteri sultan diberi keizinan mencetak sebanyak 1,000 keping wang setahun untuk kegunaan seperti jual beli.

Wang syiling dilebur oleh pandai besi (panggilan bagi orang pandai memproses besi) di tempat terbuka. Kata Mohd. Supian, ia terbukti apabila duit pada zaman Kesultanan Johor memiliki banyak jenis bahan asing selain bahasa asas.

Acuan berbentuk pokok digunakan bagi membuat bentuk bulat untuk syiling sebelum ditempa.

"Ada cerita ketika kerajaan Melaka jatuh ke tangan Portugis. Mereka mengarak mata wang Kesultanan Melayu itu di seluruh bandar bagi mempertonton kepada orang ramai kerana waktu itu menjadi saat terakhir penduduk Melaka melihat duit tersebut," kata Mohd. Supian sambil menambah ia umpama satu penghinaan terhadap Kesultanan Melaka yang tumbang.

- KOSMO!

Sabtu, 14 Juli 2012

Wang kertas baru dikeluarkan mulai 16 Julai 2012


Wang kertas siri baru akan berada dalam edaran mulai Isnin ini, 16 Julai 2012.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, wang kertas baru tersebut adalah sah diperlakukan dan akan diedarkan bersama dengan wang kertas sedia ada.

“Wang kertas sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur dan orang ramai boleh mendapatkan wang kertas baru ini melalui urusniaga biasa mereka," katanya.

Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, ciri-ciri yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara telah menjadi inspirasi dalam reka bentuk wang kertas terbaru itu.

Ia turut menampilkan teknologi wang kertas yang mengandungi ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih termasuklah imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air (watermark) dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna.

Golongan kurang upaya penglihatan boleh menggunakan ciri khusus seperti pengenalpastian secara sentuhan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan.

Wang kertas siri baru ini terdapat dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100.

BNM mengingatkan semua pihak berkaitan untuk mempercepat pengubahsuaian mesin mereka agar dapat menerima wangkertas siri baru itu untuk kemudahan orang ramai.

- UTUSAN

Senin, 09 Juli 2012

Mengurus kemahiran hidup elak berhutang

Mengurus kemahiran hidup elak berhutang

Oleh Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

LAPORAN Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) baru-baru ini menunjukkan tahap kualiti hidup rakyat Malaysia pada 2011 adalah meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Ini memberi gambaran bahawa terdapat peningkatan kemajuan kualiti hidup rakyat Malaysia yang merangkumi aspek fizikal, sosial dan ekonomi terutama dalam kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, akses dalam memperoleh pengetahuan dan menikmati taraf hidup yang berkualiti dan lebih selesa.

Adalah penting menikmati taraf hidup yang berkualiti dan selesa demi mencapai sebuah negara maju menjelang 2020. Walau bagaimanapun, anjakan kepada negara maju dan berpendapatan tinggi ini perlu juga membawa kepada anjakan masyarakatnya yang mempunyai kemahiran hidup yang tinggi. Kemahiran hidup yang dimaksudkan adalah berkaitan soal mengurus kewangan.

Golongan muda ialah individu yang dikatakan kurang mementingkan pengurusan kewangan dan suka terpengaruh dengan gaya hidup di luar kawalan atau kemampuan kewangan mereka. Malah gaya hidup mereka yang tidak dapat membezakan antara kehendak dan keperluan serta keinginan hidup mewah menyebabkan pinjaman yang dibuat ini terus meningkat.Apabila keadaan ini berlaku, mereka akan terjebak dengan masalah hutang yang akhirnya menyebabkan mereka gagal melunaskan pinjaman.

Ada juga golongan muda yang berhutang untuk tujuan peribadi. Sebagai contoh berhutang untuk menyertai skim cepat kaya. Mereka sanggup meminjam wang dari institusi kewangan hanya untuk mencuba mengubah ‘nasib’ melalui skim tersebut. Ada yang sanggup berhutang sehingga mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Mereka tidak sedar bahawa jika jumlah hutang yang dibuat melebihi RM30,000 misalnya, dan mereka tidak dapat melunaskannya mengikut ketetapan bank, kemungkinan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang dan berakhir dengan kebankrapan.

Kesan secara langsung mereka yang dibelenggu pinjaman dan hutang piutang ini boleh menjejaskan produktiviti di tempat kerja dan kadang-kala menyebabkan terjadinya pertengkaran dan mencetuskan pergaduhan dalam keluarga. Begitu juga dengan dengan alam pekerjaan misalnya, rekod peribadi mereka akan terjejas dan peluang untuk kenaikan pangkat, kekal dalam jawatan atau mendapat pekerjaan baru adalah sukar. Apabila keadaan ini berlaku adakah kualiti hidup dapat dicapai?

Memang tidak dinafikan dalam kehidupan hari ini ramai orang yang seronok berhutang terutama orang muda. Sebabnya jika hendak membuat pinjaman kini adalah sangat mudah. Usaha tidak banyak tapi pinjaman yang diperoleh memang banyak. Hanya menunggu beberapa hari sahaja kelulusan pinjaman. Itulah sebabnya ramai masyarakat kita terutama golongan muda ini suka berhutang tetapi tidak pula bijak dalam mengurus atau melunaskan hutang mereka. Malah tidak ramai yang membuat penilaian sama ada hutang yang mereka ambil itu jenis hutang yang perlu atau sebaliknya.

Hutang yang tidak bersandarkan aset ini selalunya dikenakan kadar faedah yang tinggi oleh institusi kewangan kerana dianggap sebagai jenis hutang berisiko tinggi. Manakala tempoh bayarannya pula bergantung kepada jumlah wang yang dibayar.

Jika bayaran yang dibuat adalah jumlah yang minimum, individu itu akan mengambil masa lama untuk menjelaskan hutang kad kreditnya. Oleh itu, amat penting untuk seseorang untuk mengetahui tentang jenis-jenis hutang dan sebab mereka berhutang kerana mereka akan menjadi lebih fokus apabila menangani bebanan hutang kelak.

Berbeza dengan individu yang bijak mengurus kemahiran hidup dalam soal kewangan ini. Mereka hanya berhutang untuk membeli atau membina rumah kediaman, membeli kenderaan sebagai pengangkutan yang menjadi satu tuntutan pada zaman sekarang untuk berulang-alik ke tempat kerja. Hutang ini tergolong dalam jenis hutang yang bersandarkan aset.

Tempoh pembayaran yang panjang dan kadar faedah agak berpatutan bergantung keadaan ekonomi tempatan dan dunia. Hutang untuk membeli aset sebegini adalah satu lumrah kerana harga aset ini juga adalah tinggi dan jarang sekali dapat membeli secara tunai.

Justeru, hutang perlu diuruskan dengan cara yang teratur dan dilakukan dengan perancangan yang betul. Misalnya, apabila tibanya musim gaji, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membayar hutang dan bil-bil bulanan seperti hutang kereta, rumah, bil air, bil api, hutang pinjaman pendidikan dan sebagainya.

Selepas membayar hutang, perbelanjaan barang keperluan perlu dibuat dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran. Berbelanjalah dengan sebaiknya. Membeli sesuatu mengikut kemampuan dan tidak berbelanja melebihi kemampuan diri.

Dalam suasana masyarakat yang suka berhutang ini apa yang boleh difikirkan dan disyorkan dalam menangani isu ini, perlu dimasukkan satu subjek khas berhubung ilmu kemahiran kewangan peribadi kepada pelajar bermula di peringkat sekolah menengah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendedahan subjek pendidikan kewangan peribadi misalnya dapat membentuk individu lebih bertanggungjawab dalam mengurus soal kewangan mereka.

Apabila individu itu bijak dan pandai mengurus kemahiran hidup terutama dalam persoalan kewangan ini maka secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup yang lebih selesa untuk mencapai sebuah negara maju menjelang 2020.

- UTUSAN

Rabu, 04 Juli 2012

Harga Petrol RON97 Turun 20 Sen Mulai 5 Julai 2012

Harga Petrol RON97 Turun 20 Sen Mulai 5 Julai 2012

Harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.60 seliter, berkuat kuasa pada 5 Julai 2012 (Khamis).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata keputusan menurunkan harga tersebut berikutan purata harga minyak di pasaran bagi Jun 2012 telah menurun.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 bagi Julai 2012 bermula Khamis.

Harga jualan runcit petrol RON97 pada dasarnya ditetapkan secara apungan terkawal di mana harga bulanannya akan diubah mengikut harga pasaran, katanya.

Kerajaan sebelum ini menurunkan harga jualan runcit petrol RON97 sebanyak 10 sen seliter kepada RM2.80 pada 6 Jun lepas.

- BERNAMA

Senin, 02 Juli 2012

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) Bantu Kurangkan Kos Sara Hidup Pelajar IPT


Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) yang berobjektif membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini mengurangkan kos sara hidup, dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin.

KDS1M menawarkan diskaun antara 5 hingga 60 peratus bagi pembelian di 31 syarikat dan 14 koperasi yang menyertai program itu setakat ini. Antara sektor perniagaan yang terlibat ialah buku, alat tulis, pakaian, makanan dan minuman, produk IT, penginapan dan kesihatan.

Cadangan KDS1M dikemukakan oleh pelajar pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 21 Nov tahun lalu.

Ketika berucap melancarkan KDS1M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa mendengar dan melaksanakan pandangan dan cadangan bernas dikemukakan pelajar IPT demi menjamin kebaikan serta kesejahteraan mereka.

Beliau berkata pelancaran kad diskaun itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup dan bebanan hampir 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta tempatan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

"Ini membuktikan dengan jelas bahawa pandangan-pandangan pemimpin pelajar di seluruh negara mengenai perkara-perkara yang ada hubung kait dengan kehidupan dan kepentingan sentiasa diberi perhatian," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga mahu lebih banyak syarikat dan koperasi menyertai program tersebut demi kebaikan pelajar IPT di negara ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir pada majlis itu berkata kad diskaun itu akan mula diedarkan pada sesi pengajian bermula September nanti.

"Bila sesi pengajian bermula kita mula edarkan kepada pelajar tahun akhir dahulu, diikuti pelajar-pelajar lain. Kita harap (pelajar) menggunakannya dengan bijak," katanya.

Katanya siswa hanya perlu menunjukkan KDS1M bersama-sama kad pelajar atau kad pengenalan bagi mendapatkan diskaun yang ditawarkan oleh syarikat yang menyertai program itu.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang memperluaskan kad diskaun itu kepada pelajar asing di negara ini.

Maklumat lanjut mengenai KDS1M boleh didapati di www.1pengguna.com.

- BERNAMA

Kamis, 28 Juni 2012

Hantar Borang B, Bayar Cukai Pendapatan Perniagaan Selewatnya 30 Jun 2012 - LHDN

Hantar Borang B, Bayar Cukai Pendapatan Perniagaan Selewatnya 30 Jun 2012 - LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai yang mempunyai punca pendapatan daripada perniagaan agar menghantar Borang B dan menjelaskan bayaran selewat-lewatnya Sabtu ini, 30 Jun 2012.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Masrun Maslim berkata mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan penalti mengikut subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Bagi kegagalan menghantar Borang B, penalti maksimum yang boleh dikenakan sehingga tiga kali ganda daripada amaun cukai yang ditaksir.

"Manakala bagi lewat bayar cukai pula, penalti maksimum yang boleh dikenakan adalah sehingga 15 peratus daripada amaun cukai yang masih tertunggak," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Bagaimanapun, Masrun berkata kelonggaran diberi kepada pembayar cukai yang menggunakan perkhidmatan e-Filing untuk menghantar Borang B mereka sehingga 15 Julai ini.

"Pembayar cukai juga boleh memudahkan urusan bayaran cukai mereka melalui perkhidmatan e-Bayaran yang ditawarkan," katanya.

- BERNAMA

Senin, 25 Juni 2012

Agihan ASD pada 2011 sebanyak 6.60 sen seunit



Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Didik (ASD) sebanyak 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.

Agihan itu lebih tinggi berbanding 6.50 sen seunit pada tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM279.31 juta, peningkatan sebanyak 9.9 peratus berbanding RM254.1 juta yang dibayar tahun lalu.

Sehingga 18 Jun 2012, tabung ASD telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM354.26 juta dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM228.58 juta atau 64.5 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.

Menurutnya, keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM76.03 juta atau 21.5 peratus.

Beliau berkata, sejumlah RM49.65 juta atau 14 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

"Agihan pendapatan ini akan dimanfaatkan oleh seramai 358,222 pemegang unit yang melanggan 4.2 bilion unit ASD," katanya ketika mengumumkan agihan unit amanah itu di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Presiden Unit Amanah, Datuk Idris Kechot.

Tambah beliau, pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASD.

Urus niaga ASD akan ditangguhkan mulai 22 Jun hingga 1 Julai 2012 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Julai 2012.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASD akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 2 Julai 2012.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASD menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing, kata Ahmad Sarji.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Ogos 2012.

- UTUSAN

Top