Tampilkan postingan dengan label Jenayah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Jenayah. Tampilkan semua postingan

Rabu, 20 Juni 2012

AirAsia Nasihat Orang Ramai Jangan Ambil Bahagian Penipuan Dalam Talian

AirAsia Nasihat Orang Ramai Jangan Ambil Bahagian Penipuan Dalam Talian

AirAsia pada Rabu berkata syarikat itu tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran sebarang program loteri atau baucar.

"Kami mendapat tahu bahawa orang ramai dan penumpang telah menerima emel yang menjemput mereka mengambil bahagian dalam program loteri atau program Baucar Membeli-belah 1Malaysia yang didakwa dianjurkan oleh AirAsia," kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam satu kenyataan.

Program loteri itu datang daripada satu entiti yang menggelar dirinya "AirAsia(Ibu pejabat serantau Asia-Pasifik) dengan alamat Tingkat bawah, Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Jalan Lapangan Terbang Lama, Tanjung Aru Sabah, katanya.

Entiti itu membuat dakwaan palsu bahawa ia menganjurkan "Program Bonus Istimewa Eksklusif AirAsia 2012" dengan hadiah tunai US$130,000 bagi pihak AirAsia.

Program Baucar Membeli-belah 1Malaysia itu pula menawarkan baucar AirAsia bernilai RM5,000 dan memujuk penumpang untuk memberikan butiran peribadi mereka.

AirAsia menafikan penganjuran apa-apa program dan ia tidak memberi tanggungjawab kepada mana-mana syarikat, organisasi dan syarikat perjudian untuk menganjurkan apa-apa program loteri atau baucar bagi pihaknya.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata mereka telah membuat laporan polis dan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak lama lagi tentang perkara itu.

- BERNAMA

Senin, 11 Juni 2012

Berjudi Di Kalangan Remaja Semakin Popular Dengan Peningkatan Kasino Di Internet

Berjudi Di Kalangan Remaja Semakin Popular Dengan Peningkatan Kasino Di Internet

Golongan yang berjudi kini terdiri daripada golongan yang lebih muda dengan jumlah mereka yang mencuba nasib berjudi di internet semakin meningkat.

Selain perjudian di kasino dalam talian, terdapat juga penjudi muda serendah usia 13 yang bertaruh keputusan perlawanan bola sepak di sekolah.

Presiden Pusat Pemulihan Penjudi Malaysia, David Chiang berkata golongan muda yang berjudi menunjukkan 'trend' membimbangkan, dengan sebahagian daripadanya sudah menjadikannya sebagai tabiat ketika berumur 15.

"Remaja biasanya berjudi melalui internet kerana ia tidak dikawal selia. Mereka jelas akan dihalang berjudi di kasino kerana umur mereka. Jadi mereka berpaling kepada kasino dalam talian," katanya.

Chiang berkata remaja juga boleh menipu ibu bapa mereka yang percaya mereka melayari internet walaupun sebenarnya mereka berjudi dalam talian.

"Ibu bapa akan mudah percaya kepada mereka kerana internet adalah sebahagian besar daripada gaya hidup remaja hari ini," katanya,

Chiang berkata, golongan muda dapat berjudi di kasino dalam talian kerana mereka boleh meminjam kredit daripada broker dalam talian, yang menawarkan perkhidmatan mereka di laman web.

"Jika penjudi remaja kehilangan kredit, broker akan membayar dahulu kepada kasino dalam talian dengan kad kredit. Remaja itu perlu membayar balik kepada broker dalam bentuk wang tunai," katanya, sambil menambah selain pertaruhan permainan seperti 'roulette' dan 'poker', penjudi muda juga gemar dengan pertaruhan sukan, terutama bola sepak.

"Setahu saya penjudi paling muda yang mempunyai tabiat ini berusia 15 tahun. Penjudi ini sebenarnya ketagih berjudi tetapi mereka tidak sedar," katanya.

Chiang berkata ketika masalah perjudian remaja semakin meluas di seluruh negara, satu lagi trend yang membimbangkan ialah kanak-kanak sekolah yang meminjam wang daripada Ah Long untuk membayar hutang perjudian mereka.

"Beberapa Ah Long tahu ibu bapa remaja mampu membayar hutang anak mereka dan tidak teragak-agak menggalakkan remaja membuat pinjaman," kata Chiang.

Beliau berkata golongan muda terjebak dengan perjudian kerana ramai daripada mereka mahukan cara yang pantas untuk mendapatkan wang bagi membeli telefon bimbit, komputer dan barangan berjenama.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata beliau telah menerima enam kes masalah perjudian yang melibatkan mereka yang berusia antara 16 dan 18 tahun, berjumlah RM200, 000 setakat tahun ini.

"Ini dianggap peningkatan kerana tahun lepas saya menerima kurang daripada 10 kes. Saya telah mendapat enam dan jumlah ini hanya pada bulan Jun, "katanya.

Chong berkata beliau percaya hanya sebahagian kecil kes-kes seperti ini yang mendapat perhatian, sambil menambah belia telah bertemu remaja yang berada dalam masalah serius dan perlukan bantuan.

"Terdapat banyak di luar sana yang memilih untuk tidak mendapatkan bantuan," katanya.

Kira-kira 80 peratus kes-kes perjudian melibatkan kaum Cina, dengan baki 20 peratus bagi kaum-kaum lain, tambah beliau.

- MSTAR

Senin, 04 Juni 2012

Kadar Bunuh Diri Semakin Meningkat Di Malaysia

Kadar Bunuh Diri Semakin Meningkat Di Malaysia

Kadar bunuh diri semakin meningkat di Malaysia apabila mencatatkan lebih 1,000 orang membunuh diri dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, nisbah semasa bagi bunuh diri dari tahun 2007 sehingga 2010 adalah 1.3 bagi setiap 100,000 orang, tetapi dipercayai kadar itu boleh menjadi lebih tinggi.

“Ia hanya perangkaan yang dikumpulkan kami daripada bedah siasat. Kami fikir kadar bunuh diri tidak banyak yang dilaporkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Isnin.

- MSTAR

Rabu, 23 Mei 2012

Awasi SMS mengelirukan 'telan' kredit telefon - SKMM

Awasi SMS mengelirukan 'telan' kredit telefon - SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas terhadap syarikat pembekal kandungan yang dikesan aktif menyalahgunakan kod ringkas dengan menghantar iklan mengelirukan kepada orang ramai sehingga menyebabkan kredit telefon bimbit mereka 'menyusut' tanpa disedari.

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri SKMM, Datuk Jailani Johari berkata, iklan mengelirukan untuk memerangkap pengguna itu dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan telefon bimbit pascabayar dan prabayar.

Menurut beliau, mesej mengelirukan itu memperdaya pengguna untuk 'bersetuju' agar kredit telefon mereka dipotong secara beransur-ansur tanpa disedari.

''Kadar potongan kredit dipercayai di antara RM1 dan melebihi RM3 sebanyak beberapa kali dalam sebulan mengikut 'persetujuan' mangsa tanpa disedarinya,'' ujar beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jailani berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu dikesan bergerak aktif sejak dua tahun lalu selepas pihaknya menerima pelbagai aduan berkaitan penyusutan kredit telefon bimbit pascabayar dan prabayar.

Ujar beliau, di antara mesej mengelirukan yang diterima pengguna termasuk: ''RM0.00 SMS/MMS content*Telefon bimbit anda perlu diafktifkan semula skrg! Sila SMS ON DM dan ON DN ke 32655. Hubungi 21643273 untuk optout servis. *3gp".

Beliau menjelaskan, mesej itu memperdaya pengguna dengan menyatakan telefon bimbit tidak aktif dan mereka diminta menghantar kata kunci langganan dan tanpa disedari, pengguna sebenarnya melanggan perkhidmatan tersebut dan dikenakan caj berterusan sehingga ia ditamatkan.

Jailani menegaskan, syarikat- syarikat pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi yang menawarkan khidmat kandungan mudah alih mesti mematuhi piawaian mandatori yang mewajibkan mereka memaparkan maklumat terperinci seperti harga langganan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperangkap dengan iklan-iklan mengelirukan dan sentiasa memastikan kesahihan SMS yang diterima sebelum bertindak balas atau bersetuju dengan promosi yang ditawarkan.

Ujarnya, mereka yang menjadi mangsa kecurian kredit telefon bimbit diminta segera membuat laporan kepada SKMM dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-888-030 atau e-mel kepada aduanskmm@cmc.gov.my.

Aduan turut boleh dikemukakan kepada Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) di talian bebas tol 1-800- 18-2222 atau e-mel kepada enquiries@cfm.my

Minggu, 20 Mei 2012

Gangguan seksual di sekolah

Gangguan seksual di sekolah

GANGGUAN seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti di rumah, kawasan awam atau tempat kerja.

Risiko tersebut juga boleh berlaku di sekolah. Mangsanya boleh jadi dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah atau remaja sekolah menengah.

Mereka ini pastinya belum cukup dewasa untuk membuat pertimbangan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Sekolah perlu menyediakan tempat yang selamat untuk belajar.

Malangnya terdapat segelintir pelajar, guru, kakitangan dan ibubapa yang masih tidak tahu bagaimanakah gangguan seksual ini boleh berlaku di sekolah dan apakah yang perlu dibuat untuk menanganinya.

Contoh jenis-jenis gangguan seksual pelajar di sekolah:

* Menulis, mempamer atau mengedar bahan bukan pengajaran yang berbentuk lucah.

* Bercerita atau membuat lawak jenaka berbau lucah.

* Membuat perlakuan atau isyarat lucah

* Mengejek atau menggelar pelajar dengan panggilan lucah.

* Memaksa atau mempengaruhi pelajar membuat perlakuan seksual.

* Menawar ganjaran tertentu atau upah atas perlakuan seksual.

* Melakukan sentuhan yang berunsur seksual.

* Memegang kemaluan sendiri di hadapan pelajar.

* Menyebar khabar angin berunsur seksual.

PemangsaKajian menunjukkan bahawa majoriti pemangsa sebenarnya rakan-rakan pelajar itu sendiri yang sama-sama belajar di sekolah.

Jenis gangguan yang paling popular adalah 'ejekan seksual' ke atas pelajar perempuan.

Gangguan kepada pelajar lelaki pula berlaku di asrama dan biasanya bercorak perlakuan homoseksual atau onani.

Terdapat segelintir pemangsa (minoriti) yang terdiri daripada kakitangan sekolah atau pekerja khidmat kontrak.

Mereka sanggup mengetepikan nilai moral dan etika profesionalisme dengan meminta imbuhan seks sebagai balasan di atas sesuatu pertolongan yang akan diberi.

Gangguan seksual menyebabkan trauma psikologi kepada pelajar. Perasaan malu dan takut menyebabkan kebanyakan mereka memilih untuk mendiamkan diri.

Bagaimanapun, ibu bapa dan guru boleh melihat beberapa perubahan ke atas tingkah laku pelajar terbabit bagi menyiasat kebarangkalian berlakunya kes gangguan seksual tersebut.

Panduan ibu bapa dan guruPada peringkat awal, tekanan emosi menyebabkan mangsa merasa malu dan rendah diri, ditambah dengan khabar angin cepat tersebar dalam kalangan pelajar lain.

Ini menyebabkan mereka mencari alasan untuk ponteng sekolah atau tidak menghadiri aktiviti kokurikulum.

Mangsa yang tinggal di asrama penuh pula akan meminta untuk ditukarkan ke sekolah harian.

Di rumah mangsa kelihatan murung dan kerap menyendiri. Adakala mangsa cepat melenting dan membuli adik yang lebih kecil.

Mereka juga melawan arahan ibubapa dan bersikap kurang ajar. Malah ada yang lari dari rumah.

Ini disebabkan oleh perasaan marah pelajar terhadap ibubapa yang dituduh sebagai gagal menghalang gangguan seksual tersebut.

Di sekolah pula mangsa kelihatan cemas dan takut. Mereka selalu kelihatan termenung semasa sesi pembelajaran dan akibatnya prestasi akademik menurun secara mendadak.

Kadang-kadang mereka mengadu sakit kepala atau perut. Ada juga yang mengalami histeria. Ini berlaku di bawah sedar apabila mereka tidak mampu meluahkan masalah secara terbuka.

Bagi pelajar remaja pula, mereka cenderung untuk belajar menghisap rokok atau mengambil dadah.

Dalam kes pencabulan seksual atau perkosaan, perubahan tingkah laku yang ditunjukkan berbeza mengikut umur.

Kanak-kanak biasanya tidak membenarkan ibu bapa menyentuh bahagian bawah semasa membersihkan diri.

Mereka mengadu sakit di kawasan kemaluan atau anal. Apabila diperiksa tanda kecederaan seperti kemerahan dan pengeluaran cairan dari kemaluan boleh dilihat.

Pelajar remaja pula biasanya gagal menyembunyikan tanda-tanda kehamilan sekiranya ia berlaku.

Perubahan bentuk badan, penambahan berat dan muntah-muntah pastinya mengundang kecurigaan.

Ibu bapa terutamanya dinasihatkan untuk bertanya tarikh haid terakhir pelajar. Trauma yang dialami oleh remaja yang mengandung luar nikah ini boleh menyebabkan kemurungan teruk dan percubaan membunuh diri.

- UTUSAN
▲
Top