Tampilkan postingan dengan label Islam. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Islam. Tampilkan semua postingan

Selasa, 24 Juli 2012

KADAR ZAKAT FITRAH TAHUN 2012

Gambar kredit : www.ajumohit.com

Berikut adalah Kadar Zakat Fitrah bagi Seluruh Malaysia Mengikut Negeri bagi Tahun 1433 Hijrah / 2012

JOHOR : RM5.00 / RM8.00

KEDAH : RM7.00

MELAKA : RM6.50

KELANTAN : RM7.00

NEGERI SEMBILAN : RM6.50

PAHANG : RM7.00

SELANGOR : RM7.00

TERENGGANU : RM4.50 / RM7.00 / RM7.60

SABAH : RM7.00

PERLIS : RM6.00

PULAU PINANG : RM7.00

WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR / PUTRAJAYA / LABUAN : RM7.00

SARAWAK : RM6.50

PERAK : RM7.00


ZAKAT FITRAH

Zakat fitrah dikenali juga sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan, dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal(siang & malam).

Kadar Fitrah

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.3kg beras atau senilai dengannya (ijtihad).

Syarat Zakat Fitrah

1. Islam
2. Mempunyai sesuatu (makanan, harta, atau wang) yang lebih daripada keperluan diri sendiri dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu hari siang dan malam Hari Raya itu.
3. Dapat menemui dua masa – akhir Ramadan dan awal Syawal. Orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari atau anak yang dilahirkan selepas matahari terbenam malam satu Syawal itu tidak wajib fitrah ke atasnya.

Kewajipan zakat fitrah


Ketua keluarga wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya dan juga tanggungannya. Jika salah satu dari tanggungannya meninggal dalam bulan puasa, maka orang itu terlepas daripada membayar zakat fitrah.


Waktu mengeluarkan zakat fitrah

Waktu wajib: Apabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

Waktu yang paling afdhal: Sebelum Solat Sunat Hari Raya.

Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.

Waktu makruh: Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

Waktu haram: Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Niat Zakat Fitrah

“ Wang sebanyak RM _____ ini sebagai menunaikan zakat fitrah, yang wajib ke atas diri/keluarga saya untuk tahun berakhir _____ tunai kerana Allah Ta'ala. ”

Senin, 23 Juli 2012

Gastrik tidak halang puasa

Gastrik tidak halang puasa

Setiap kali tiba Ramadan, setiap kali alasan yang sama diberikan, gastrik dan tidak boleh lapar menyebabkan tidak boleh menjalankan Rukun Islam ke tiga.

Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa?

Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif.

Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.

Secara semulajadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencernakan makanan.

Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi.

Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan jika sakit perut selepas makan mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.

Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat.

Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul.

Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka.

"Semasa berbuka, mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Malangnya apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman.

Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut.

Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Dua kaliSemasa Ramadan, kita hanya makan dua kali sehari dan tidak makan di antara dua masa makan buka dan sahur.

Dr. Malik berkata, semasa berbuka dinasihatkan hanya minum air dan makan makanan yang ringkas seperti kurma atau buah-buahan kering.

Kurma dan makanan kering amat baik kerana dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan.

Kurma juga kaya dengan garam galian seperti potasium selain lambat membebaskan tenaga.

Seelok-eloknya kata Dr. Malik, selepas minum air dan kurma, solat dulu sebelum sambung makan yang lebih berat dan selepas itu jangan ambil makanan berat.

Semasa bersahur pula ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan.

Bagaimanapun sahur amat penting untuk badan kerana ia seperti mengambil sarapan pagi.

Dr. Malik berkata, sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.

Gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang.

Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut.

Gastrik yang disebabkan oleh bakteria boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik.

BerhentiMasalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.

Dr. Malik menambah, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.

"Jadi, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, melainkan jika ia terlalu memudaratkan.

"Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil," katanya.

- UTUSAN
Didik anak seronok berpuasa

Didik anak seronok berpuasa

Puasa menjadi kewajipan apabila seorang Islam baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam.

Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang mencecah usia tertentu serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa semata-mata kerana Allah. Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka berusia tujuh tahun. Malah, sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal usia tiga dan empat tahun.
Anjuran laksana ibadah

Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya diperintahkan berpuasa sebelum mencapai umur baligh? Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi melatih kanak-kanak berpuasa.

Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa yang disebut hadis riwayat Imam Bukhari: “Nabi SAW mengirim utusan ke kampung golongan Ansar pada siang hari Asyura (untuk menyampaikan): Bahawa siapa yang tidak berpuasa sejak pagi hari maka dia harus menggantinya pada hari lain, dan siapa yang sudah berpuasa sejak pagi hari maka hendaklah dia melanjutkan puasanya. Dia (Ar-Rubai' binti Mu'awwidz) berkata: Selepas itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat permainan diperbuat daripada bulu serigala, apabila seorang daripada mereka ada yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus kami lakukan hingga tiba waktu berbuka.”

Waktu terbaik berpuasa

Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa walaupun belum mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih memahami tanggungjawab berpuasa apabila mencapai usia akil baligh.

Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan berpuasa jika mereka dapat menanggung kesusahan ibadat itu. Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat kalangan ulama berkenaan waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa.

Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun seperti dalam kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang mencadangkan ia bermula pada usia 10 tahun, manakala ulama lain menyebut titik permulaan latihan adalah pada usia 12 tahun.

Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan kanak-kanak tidak perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun, pandangan itu tidak disokong bukti sahih. Cuma satu alasan diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan penduduk Madinah adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam.

Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan sahabat Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana untuk masa lama, malah hingga sekarang.

Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah juga menggalakkan kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat. Kisahnya, suatu hari Umar al-Khattab dihampiri seorang lelaki yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)

Pujuk anak berpuasa

Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan juga amalan dilakukan penduduk Madinah pada zaman Umar. Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa menjadi pendapat dipegang majoriti ulama.

Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa pada zaman Rasulullah lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun, kerana dalam hadis golongan Ansar dinyatakan wanitanya membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih perhatian anak mereka yang kelaparan.

Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun pada masa itu. Jadi kanak-kanak yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia lebih muda.

Menggalakkan kanak-kanak berpuasa, tidak perlu kita memaksa mereka menghabiskannya sehingga sebulan. Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih santai dan bijak dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam Islam. Cari jalan supaya anak seronok berpuasa.

- BERITA HARIAN

Jumat, 20 Juli 2012

WAKTU BERBUKA PUASA & IMSAK BAGI SELURUH MALAYSIA - RAMADHAN 1433H / 2012

WAKTU BERBUKA PUASA & IMSAK BAGI SELURUH MALAYSIA - RAMADHAN 1433H / 2012

BIL 
NEGERI 
ZON
1    
MELAKA
MELAKA
2 JOHOR
3 PERAK
4   SARAWAK
5 SABAH
6 TERENGGANU
7 KELANTAN
8 SELANGOR
9 PAHANG
10
WILAYAH PERSEKUTUAN
11
WILAYAH PERSEKUTUAN
LABUAN
12
PERLIS
PERLIS
13 NEGERI SEMBILAN 
14 KEDAH
15
PULAU PINANG
PULAU PINANG
** Sumber: JAKIM

Panduan Sembahyang Sunat Tarawih

Panduan Puasa Ramadhan


Download Panduan Puasa Ramadhan dalam bentuk buku pdf di : http://www.islam.gov.my/sites/default/files/e-penerbitan/ppr.pdf

Kamis, 19 Juli 2012

Umat Islam Di Malaysia Mula Berpuasa Sabtu, 21 Julai 2012


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu ini, 21 Julai 2012, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

- BERNAMA

Rabu, 18 Juli 2012

Rancangan tv menarik sepanjang Ramadan 2012

Rancangan tv menarik sepanjang Ramadan 2012

SAJIAN kerohanian diteruskan dengan beberapa naskhah menarik menerusi pelbagai stesen televisyen swasta mahupun percuma.

Mesej yang disampaikan adalah untuk mendidik masyarakat ke arah perkara yang lebih positif atau menyedarkan penonton demi perubahan yang lebih baik.

Namun, corak paparan setiap stesen televisyen berlainan mengikut sasaran penonton dan konsep sesebuah stesen penyiaran.

Sehubungan itu, berikut dipaparkan siaran terbaik sepanjang bulan Ramadan yang disiarkan melalui RTM1, RTM2, TV3, TV9 dan Astro.

Astro Oasis (Saluran 106)

Judul: Insya-Allah Ada Jalan

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 5.30 petang

Sinopsis: Ikuti kisah penuh kesedaran Maher Zain menerusi pengembaraan mencari temannya Basofi di Indonesia dalam siri televisyen berkonsepkan spiritual ini.

Judul: Indahnya Iman (Azan Global/Tazkirah)

Genre: Tazkirah

Tarikh dan waktu siaran: Setiap hari pada pukul 7 malam

Sinopsis: Insafi diri dengan penyampaian tazkirah, Talaqqi amalan Rasulullah S.A.W dan azan yang menyeru umat Islam mengerjakan solat.

Astro Prima (Saluran 105)

Judul: Masihkah Ada Ramadan

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin pada pukul 10 malam

Sinopsis: Saksikan bagaimana seorang ibu cuba untuk menyelamatkan anak tersayang daripada lembah dosa sempena keberkatan Ramadan penuh keajaiban.

Astro Ceria (Saluran 611)

Judul: Puasa Bersama Ceria

Genre: Realiti

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 21 Julai setiap hari pada pukul 7.30 malam

Sinopsis: Bagaimana agaknya selebriti kita berpuasa semasa kecil? Cungkil kisah-kisah menarik dan lucu mereka serta dapatkan nasihat yang boleh membantu.

Astro Ria (Saluran 104)

Judul: Helo Bro...Tolong Masak!

Genre: Realiti

Tarikh dan waktu siaran: Setiap hari sepanjang Ramadan mulai 21 Julai 2012, 6.00 petang.

Sinopsis: Dengan durasi 30 minit untuk 30 episod, Helo Bro…Tolong Masak! merupakan sebuah program masakan istimewa yang menampilkan selebriti-selebriti undangan bagi setiap episod membuat panggilan kepada Nik Michael (MasterChef Malaysia) untuk memasak buat mereka. Setiap episod memaparkan situasi yang berbeza yang akan menjanjikan kelainan dan hiburan kepada penonton.

TV9

Judul: Umrah Kita

Genre: Travelog

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin pukul 11 malam

Sinopsis: Tiga selebriti muda terkenal, Aizat Amdan, Noh Hujan dan Altimet akan membawa penonton mengembara ke Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk merasai suasana menunaikan ibadah umrah. Bagi peminat-peminat trio ini pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan gelagat mereka sepanjang mengerjakan umrah.

Judul: Al-Quran Menjawab Bersama Dr. Danial Zainal Abidin

Genre: Bual Bicara

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 25 Julai setiap hari Rabu dan Khamis pukul 6.30 petang

Sinopsis: Kelebihan Dr. Danial Zainal Abidin adalah mengaitkan sains dan Al-Quran. Melalui rancangan 8 episod ini, beliau akan menceritakan aspek berkaitan penciptaan alam, kejadian manusia dan matlamat hidup serta diolah dengan menarik supaya dapat difahami oleh penonton.

TV3

Judul: Slot Samarinda (7 Ramadan)

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 19 Julai setiap hari Selasa dan Rabu pukul 10.30 malam

Sinopsis: Sufiah tinggal di kampung seorang diri dengan mengambil upah mengurut dan membuat kuih untuk menyara anak angkatnya, Ramadhani. Namun, Dhani akhirnya berubah setelah bosan hidup dalam kemiskinan walau terpaksa melukai hati ibunya.

Judul: Qari Junior

Genre: Realiti

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 9 pagi

Sinopsis: Program realiti untuk kanak-kanak ini dihoskan oleh Ustaz Zhafran Zainuldin untuk mencungkil dan menggilap bakat kanak-kanak berusia 7-12 tahun dalam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

TV1

Judul: Ramadan Mat Jo

Genre: Animasi

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 21 Julai setiap hari Sabtu pukul 9.30 pagi

Sinopsis: Sebuah siri animasi yang disiarkan khusus untuk bulan Ramadhan. Ia mengisahkan tentang dua orang budak lelaki iaitu Mat dan Jo yang menjalani ibadah puasa dengan pelbagai kisah yang ada kalanya melucukan. Siri animasi ini juga menerapkan kisah tauladan dari zaman Rasulullah sebagai pengajaran yang penuh moral dan mesej tersirat.

TV2

Judul: Akhirat

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 20 Julai setiap hari Jumaat pukul 2.30 petang

Sinopsis: Kehidupan Mira semakin pudar setelah dia disahkan menghidap penyakit yang amat menggerunkan. Dia cuba merahsiakan kesengsaraan ini daripada pengetahuan keluarga namun konflik melanda apabila dia tidak dapat menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dilema ini menyebabkan Mira menyatukan Amran dan Noni.

- KOSMO!

Senin, 16 Juli 2012

Tarikh lihat anak bulan Ramadan pada 19 Julai 2012

Tarikh lihat anak bulan Ramadan pada 19 Julai 2012

Tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Khamis ini, 19 Julai 2012.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebanyak 30 tempat di seluruh negara sudah ditetapkan bagi tujuan itu.

Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh Pulau Pinang.

Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) Setiu, Terengganu.

Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kuala Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak.

Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang akan disiarkan melalui radio dan televisyen.

- BERNAMA
Syarat fidyah jika tinggalkan puasa

Syarat fidyah jika tinggalkan puasa

Fidyah berkait rapat dengan ibadah puasa di mana ada beberapa sebab dalam puasa wajib yang jika ditinggalkan akan dikenakan fidyah iaitu meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh.

Wanita hamil dan yang menyusukan anak terpaksa meninggalkan puasa serta menangguhkan qada puasa sehingga tiba Ramadan berikutnya.

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.

Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya:
Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.

Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.

Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.

Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya.

Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya.

Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah.

Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama.

Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.

Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.

Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama.

Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada’ puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.

Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafii, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja.

Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain.

- BERITA HARIAN

Jumat, 13 Juli 2012

Mata air salsabil di Syurga


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI

SELEPAS Allah SWT menyebut tentang makanan penghuni syurga dan pakaian mereka, maka Allah SWT menambahkan pula gambaran tentang tempat tinggal serta minuman mereka, bekas minuman dan pelayan-pelayannya. Lalu Allah SWT mengulang sekali lagi perbincangan tentang pakaian mahal dan perhiasan yang diberikan kepada mereka.

Kemudian Allah SWT menunjukkan semua ini sebagai balasan terhadap mereka yang melakukan amal kebajikan dan pembersihan yang dilakukan terhadap diri mereka dalam bentuk akhlak yang terpuji dan budi pekerti yang baik.

Firman Allah SWT: Dan Diedarkan kepada mereka bejana-bejana daripada perak dan piala-piala yang bening laksana kaca. (iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang Telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 15-16)

Al-Maraghi berkata: Pelayan-pelayan menyajikan gelas-gelas minuman dan piala-piala daripada perak kepada mereka. Pelayan-pelayan yang menyajikan minuman tersebut kepada mereka, telah menurut kadar keperluan dan kesegaran.

Yang demikian akan lebih terasa nikmat dan ringan buat mereka kerana bekas-bekas itu tidak terlalu penuh hingga melimpah dan tidak pula kurang hingga bergoncang. Bekas-bekas minuman penghuni syurga itu dibuat daripada perak yang putih sejernih kaca sehingga apa yang ada di dalamnya jelas kelihatan dari luar.

Ibnu Kathir berkata: Mereka dikelilingi oleh pembantu-pembantu dengan membawa bejana makanan yang dibuat daripada perak dan juga gelas-gelas minuman.

Sayid Qutub berkata: Mereka diedarkan dengan minuman-minuman di dalam bejana-bejana dan gelas-gelas perak yang nipis seperti kaca yang belum pernah dilihat pada bejana perak di dunia. Gelas-gelas itu dibentuk dengan ukuran-ukuran yang memberi keindahan dan kenikmatan.

Firman Allah SWT: Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah zanjabil. (al-Insaan: 16)

Al-Maraghi berkata: Di dalam syurga orang yang berbakti itu meminum arak yang dicampur dengan zanjabil. Mereka begitu menyukai dan menyenangi minuman itu.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, orang-orang yang melakukan kebaikan juga akan diberi minum dengan gelas-gelas yang mana kadang-kadang mereka diberi minum minuman yang dicampur dengan kapur yang dingin dan pada saat lain diberi minuman yang bercampur dengan zanjabil yang panas supaya ada keseimbangan bagi mereka.

Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu kadang-kadang dicampur dengan zanjabil dan kadang-kadang dicampur dengan haruman kapur.

Firman Allah SWT: (yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil. (al-Insaan: 18)

Ibnu Arabi berkata: Aku belum pernah mendengar Salsabil kecuali di dalam al-Quran. Seolah-olah sumber itu dinamakan Salsabil kerana jernih dan mudahnya mengalir dikerongkong.

Hasan ibnu Sabit berkata: Mereka memberi minum arak yang bercampur arak bersih yang penuh nikmat kepada orang yang pada mereka terdapat kilauan.

Muqatil berkata: Ia adalah sumber yang airnya mengalir kepada mereka di majlis-majlis mereka seperti yang mereka suka.

Ibnu Kathir berkata: Zanjabil ini merupakan sebuah mata air di syurga yang bernama Salsabila.

Ikrimah berkata: Ia merupakan nama sumber air di syurga.

Mujahid mengatakan: Disebut demikian kerana alirannya yang lembut dan tajam.

Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu juga dipenuhkan di dalam gelas-gelas dari sebuah mata air yang sentiasa mengalir bernama Salsabil yang amat cita rasa.

Firman Allah SWT: Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka, mutiara yang bertaburan. (al-Insaan: 19)

Al-Maraghi berkata: Para penghuni syurga itu dikelilingi oleh para pelayan yang cekap. Para pelayan itu terdiri daripada kalangan yang muda, menarik dan menyenangkan. Mereka tidak tua, tidak beruban dan badan mereka tidak penat untuk memberikan layanan. Mereka umpama permata-permata yang bertebaran.

Permata-permata yang bertebaran itu lebih indah daripada permata-permata yang diikat. Apabila para penghuni syurga melihat mereka akan dikhayalkan dengan keindahan warna, kecerahan wajah dan kecekapan mereka ketika melayani setiap keperluan tuan-tuan mereka. Bertebarannya mereka bererti mereka itu segera memberi layanan.

Sayid Qutub berkata: Yang menambahkan kenikmatan ialah pelayan-pelayan yang menghidangkan gelas-gelas minuman itu adalah terdiri daripada pemuda-pemuda remaja yang berwajah tampan, yang kekal muda, tidak dimakan zaman dan dilusuhkan usia. Mereka selama-lamanya muda belia dan berseri-seri serta mereka berada di sana sini di dalam syurga seolah-olah mutiara yang bertaburan.

- UTUSAN

Senin, 09 Juli 2012

Orang bunuh diri kekal di Neraka Jahanam

Orang bunuh diri kekal di Neraka Jahanam

Dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sepotong besi, maka dengan besi yang tergenggam di tangannya itulah dia akan menikam perutnya dalam Neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam neraka itu untuk selama-lamanya.

Sesiapa yang membunuh dirinya dengan meminum racun maka dia akan merasai racun itu dalam Neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam neraka itu selama-lamanya. Begitu juga, sesiapa yang membunuh dirinya dengan terjun dari puncak gunung, dia akan terjun dalam Neraka Jahanam secara berterusan untuk membunuh dirinya dan dia akan dikekalkan dalam neraka itu.

Suatu topik yang hangat diperkatakan dalam masyarakat hari ini ialah kejadian bunuh diri. Dilaporkan bahawa puncanya disebabkan kurang tahap didikan dan beratnya beban yang ditanggung pelaku. Dalam Islam membunuh diri termasuk dosa besar kerana manusia adalah makhluk dimuliakan Allah dan diutamakan melebihi makhluk lain.

Orang membunuh diri adalah orang yang lari daripada tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah, perbuatan itu menunjukkan kurang kepercayaan terhadap takdir Allah SWT sedangkan Islam mengajar umatnya sabar, tawakal dan melarang sifat berputus asa.

Orang beriman tidak boleh membunuh diri dengan sebarang alasan kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” (Surah an-Nisaa, ayat 29)

Daripada Jabir Samurah, katanya: “Dibawa orang kepada Nabi SAW jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah. Tetapi jenazah itu tidak disolatkan oleh Baginda.” (Hadis riwayat Muslim)

Meskipun hidup menanggung beban, jangan melakukan jalan pintas untuk keluar daripadanya iaitu dengan membunuh diri kerana segala sesuatu masalah menimpa adalah ujian dan ketentuan daripada Allah.

- Koleksi hadis JAKIM

Selasa, 03 Juli 2012

Malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban)

Malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban)

SYAABAN datang bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Ata' ibn Yasar berkata: "Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban."

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata: "Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha' hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatul Qadar."

Malam pengampunan

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan)."

Imam al-Auza'i mentafsirkan musyahin dengan makna setiap pelaku bidaah yang memisahkan diri daripada jemaah (Ahli Sunnah wal Jamaah) dan ummah (Muhammad SAW).

Diriwayatkan daripada Umar ibn Hani': Saya bertanya Ibnu Thauban tentang makna musyahin, maka beliau berkata: Iaitu orang yang meninggalkan sunnah Nabi SAW, orang yang menikam umatnya dan menumpahkan darah mereka.

Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya."

Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah RA berkata: "Pada suatu malam, saya kehilangan Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda: "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah RA berkata: "Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain."

Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab."

Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidaklah terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud AS "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud itu kepada-Nya."

Kemudian baginda mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka."

Daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal.

"Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim."

Mustajab doa

Abu Sa'id al Khudri masuk ke dalam rumah Aisyah. Maka Aisyah berkata, "Wahai Abu Sa'id! Ceritakanlah kepada saya suatu hadis yang pernah kamu dengar daripada Rasulullah, maka saya akan menceritakan kepadamu pula apa yang pernah saya lihat dilakukan oleh Baginda SAW."

Berkata Abu Sa'id RA, "Apabila Rasulullah SAW keluar solat Subuh, Baginda SAW akan membaca: "Ya Allah! Penuhilah pendengaranku dengan cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya, belakangku dengan cahaya, kananku dengan cahaya, kiriku dengan cahaya, atasku dengan cahaya, bawahku dengan cahaya dan tambahkanlah cahaya Islam dan hidayah dengan rahmat-Mu terhadapku."

Dalam riwayat lain Rasulullah berkata kepada Aisyah: "Wahai Aisyah! Apakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya akan menzalimimu?" Aisyah berkata, "Saya berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah!" Sabda Baginda: "Telah datang kepada saya Jibril AS dan berkata, "Wahai Muhammad! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak."

Apabila Subuh, saya menyebut kepada Baginda SAW kalimah yang dibacanya, maka Baginda bersabda, "Wahai Aisyah! Adakah kamu telah mengetahuinya?" Saya berkata, "Ya." Baginda bersabda, "Pelajarilah dan ajarilah ia kerana Jibril as. telah mengajarnya kepada saya dan menyuruh saya mengulang-ulangnya di dalam sujud."

- UTUSAN
Menzalimi diri jika liat bayar hutang

Menzalimi diri jika liat bayar hutang

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memburu hampir 100,000 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM1.9 bilion sejak 1997. Biarpun beberapa kali notis amaran dikirim kepada mereka, namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas daripada peminjam liat itu.

Sepatutnya peminjam bersikap lebih positif, berterima kasih kepada PTPTN yang menyediakan dana besar untuk membiayai pengajian masing-masing.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang berlaku seperti kisah Nabi Muhammad SAW berhutang seekor unta, kemudian Baginda membayar hutang untanya tadi dengan unta yang lebih besar dan lebih baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu, ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).”

Kini, berhutang sudah jadi ‘trend’ dalam kehidupan masyarakat. Untuk memiliki apa saja keperluan hidup dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang itu perlu berhutang.

Tetapi malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan hutang mengikut perjanjian dibuat. Adakalanya orang yang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan si penghutang itu.

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik sesuatu hutang yang dibuat.

Rasulullah SAW mengingatkan kita, orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang adalah termasuk dalam perbuatan zalim.

Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah bin Amir yang bermaksud: “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Hutang.”

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai hubungan yang amat rapat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barang siapa memberikan, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan).

Dalam kisah perjalanan Rasulullah SAW. bersama malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu syurga kata-kata bermaksud, ‘Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda’.

Lalu baginda bertanya kepada Jibril, “Mengapa demikian? Jawab Jibril, “sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang kalau tidak kerana sebab-sebab yang mendesak”.

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim)

Pun begitu, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib bila ia bertujuan memenuhi keperluan yang begitu mendesak, seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa jua bencana alam dan golongan manusia yang termasuk dalam golongan kurang upaya.

Ini bersesuaian dengan kehendak Allah seperti yang tercatat di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.

Bagi pihak orang yang berhutang pula Rasulullah SAW mengingatkan bahawa orang yang berhutang akan terus terikat dengan pembayaran balik atas segala hutang dibuat. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa hidup di dunia. Ini kerana apabila seseorang yang berhutang itu meninggal sewaktu masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang tersebut.

- BERITA HARIAN

Senin, 25 Juni 2012

Syak wasangka hapus sifat baik mukmin

Syak wasangka hapus sifat baik mukmin

Oleh Ashraf Muslim

PERNAH atau tidak dalam hati kita menaruh perasaan syak wasangka terhadap orang lain tanpa asas kukuh, tetapi hanya disebabkan prasangka yang menguasai hati serta pemikiran, ini penyakit yang berbahaya.

Sebab itu kita diminta sentiasa bersangka baik bagi mengelak wujud situasi atau perasaan negatif yang akhirnya mendorong melakukan perkara melanggar ajaran agama.

Apabila hati dan pemikiran sudah dikuasai perasaan syak, akan wujud rasa tidak puas hati atau hendak marah dengan pihak lain boleh jadi ahli keluarga, pasangan kita, rakan dan teman sepejabat.

Selalunya apabila fikiran asyik memikirkan perkara negatif, inilah masa sangat disukai syaitan untuk menyucuk dan mengajak kita berfikir lebih jauh atau lebih buruk lagi mengenai orang itu.

Pelbagai skrip dimasukkan dalam pemikiran kita supaya perasaan syak wasangka itu terus menghantui diri dan hati, maka ketika itu timbul pula rasa ingin membalas dendam terhadap perbuatan disangkakan dilakukan orang itu.

Seperti isteri berprasangka buruk terhadap suami, jadi untuk memastikan perkara disyaki itu tidak berlaku, isteri perlu mengambil langkah awal dengan melakukan sesuatu.

Apabila isteri menyangkakan suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, sebagai langkah pencegahan dia mengamalkan ilmu penunduk untuk menghalang suami menaruh hati kepada wanita lain.

Sedangkan, suami tidak pernah memikirkan perkara itu, tetapi disebabkan sifat prasangka isteri, suami menjadi mangsa. Bagi yang menyedarinya, mereka boleh berusaha untuk merawat penyakit didatangkan itu, tetapi jika tidak tahu, suami akan terus dikawal isteri.

Begitu juga dengan ibu bapa yang suka beranggapan negatif terhadap anak mereka. Ada kala ia dilakukan untuk menunjukkan kuasa atau hak ibu bapa terhadap anak. Ada juga disebabkan perasaan curiga terhadap kejujuran anak.

Ada kala puas anak cuba meyakinkan ibu bapa, tetapi tetap dituduh sebaliknya. Alangkah kecewanya anak kerana tidak mendapat kepercayaan ibu bapa. Sebagai jalan akhir, sebab ibu bapa mengatakan dirinya jahat, anak betul-betul menjadi jahat.

Sepatutnya ibu bapa yang menaruh prasangka terhadap anak, jika tidak puas hati, lakukan siasatan. Jangan menuduh membuta tuli. Mana tahu anak yang disangka melepak tidak tentu hala sebenarnya berkumpul dengan rakan untuk mengulang kaji pelajaran.

Ada kala disebabkan hasutan orang yang bercerita negatif mengenai seseorang menyebabkan kita juga mempunyai prasangka sedangkan kita sebenarnya tidak mengenali hati budi orang itu. Hanya berdasarkan cerita disampaikan, kita terus menaruh wasangka.

Alangkah ruginya jika orang yang disangka negatif itu sebenarnya seorang yang baik, tetapi hanya kerana ada yang tidak menyukainya dan melemparkan dakwaan palsu, kita juga terpengaruh.

Justeru, cuba elakkan perasaan syak wasangka atau suka berprasangka sebaliknya sentiasa berpandangan positif dan bersangka baik dengan orang lain.

Lebih-lebih lagi sebagai hamba Allah SWT kita perlu bersangka baik dengan Allah SWT kerana Dia Yang Maha Mengetahui. Jangan kerana kita diuji dengan kesusahan, kita menyangkakan Allah SWT tidak menyayangi kita.

Daripada Anas katanya, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang hamba-Nya, disegerakan bagi hamba itu balasan ketika di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hamba-Nya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya pada hari kiamat.

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Prasangka antara penyakit hati yang bahaya kerana boleh mewujudkan permusuhan, memutuskan silaturahim, menyemarakkan hasad dengki dan memecahbelahkan umat Islam. Oleh itu, hendaklah kita menjauhi penyakit syak wasangka ini.

Tidak rugi jika kita sentiasa bersangka baik kerana sekurang-kurangnya ia dapat mengelak daripada dijangkiti pelbagai penyakit hati. Bagaimanapun, perlu juga berhati-hati kerana takut ada yang mengambil kesempatan terhadap sifat baik kita.

- BERITA HARIAN

Minggu, 24 Juni 2012

Soal Jawab Agama : Bayar fidyah ganti puasa

Soal Jawab Agama : Bayar fidyah ganti puasa

Bersama DR SALAM

SOALAN:

SAYA mengidap gastrik yang serius. Saya tidak dapat menggantikan puasa disebabkan penyakit yang dihidapi itu.

Bolehkah saya ganti dengan membayar fidyah saja? Jika sudah bayar fidyah perlukah untuk saya ganti puasa itu lagi?

JAWAPAN:

BERPUASA Ramadan adalah sebahagian daripada rukun Islam. Ia mempunyai banyak hikmah daripada pelbagai sudut termasuk kesihatan dan sebagainya.

Tujuan utama puasa adalah untuk mencapai ketakwaan kepada Allah. Kita hendaklah sedaya upaya melaksanakan kewajipan berpuasa ini.

Islam mengharuskan berbuka puasa bagi mereka yang sakit dan dalam musafir.
Mereka diwajibkan mengganti puasa yang tertinggal di hari-hari lain (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sekiranya tidak dapat menggantikannya kerana tidak berupaya langsung seperti sakit kuat dan sangat tua, wajib memberi fidyah makanan kepada seorang miskin setiap hari.

Puasa tidak perlu diganti. Sementara bagi penyakit gastrik pula, pesakit masih boleh berpuasa sekiranya penyakit itu tidak menyebabkan perubahan tabiat kepada kerosakan.

Menurut pembacaan umum saya, mereka yang ada penyakit gastrik masih lagi boleh berpuasa tanpa masalah jika mengamal kaedah pemakanan yang betul seperti dianjurkan Islam dan pakar pemakanan.

Antaranya seperti melambatkan bersahur, segera berbuka puasa dan makan secara sederhana, iaitu sedikit demi sedikit (lihat http://annehashim.com/gastrik-boleh-puasa/).

Begitulah dalam kes anda di atas. Bagaimanapun, apabila puasa membawa mudarat kepada diri bolehlah berbuka.

Sekiranya tidak dapat menggantikannya, bolehlah membayar fidyah seperti di atas.

Ada baiknya anda mendapat nasihat yang betul daripada doktor perubatan sebelum mengambil tindakan untuk tidak melaksanakan fardu puasa Ramadan.

Itulah keindahan Islam yang sentiasa meraikan maslahat seseorang Muslim.

- HARIAN METRO

Khasiat kurma Ajwa & madu Sidr



ADAKAH berat badan anda berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Kedua-dua keadaan ini boleh berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Namun lebih ramai yang cenderung menambah berat badan gara-gara membeli makanan tidak menilai keperluan tetapi lebih kepada selera.

Amalan pemakanan Rasulullah SAW iaitu dengan mengambil kurma dan madu sepatutnya menjadi contoh.

Menurut Pengarah Eksekutif pengedar utama kurma Ajwa dan madu Sidr asli, Rasa Resources Sdn. Bhd., Abdullah Abdul Jalil, kurma adalah makanan organik sempurna kerana ia sejenis buah yang mengandungi pelbagai mineral dan vitamin, kaya dengan antioksidan seperti beta-karotena, lutein dan zeaxanthin.

''Antioksidan mempunyai keupayaan untuk membantu melindungi sel dan struktur lain dalam tubuh agar bebas daripada radikal oksigen dan mencegah penyakit seperti kanser kolon, prostat, payu dara, endometrium, paru-paru dan pankreas," ujarnya.

Kurma Ajwa mempunyai fadilat seperti menguatkan urat perut, mengendurkan urat saraf dan melembutkan perangai.

Ajwa sejenis kurma lembut dan kering yang ditanam di kota Madinah. Dalam sejarah ada menyebut, kurma Ajwa yang pertama ditanam oleh Rasulullah SAW di tanah berhampiran Masjid Quba, Madinah.

DisembuhkanMenurut Abdullah, madu Sidr pula paling jarang ditemui dan mempunyai nilai yang tinggi.

"Ia memang sentiasa dicari oleh pencinta madu kerana rasanya yang unik di samping banyak faedah kesihatan," katanya.

Tambah Abdullah, madu ini daripada lebah yang hanya memakan bunga daripada pokok Sidr yang berasal dari Hadramaut, Yemen.

Ia cecair pekat yang telah menjadi sebahagian daripada perubatan tradisional bangsa Arab, Syria, Cina, Greek dan Rom kuno untuk merawat luka dan penyakit usus.

Tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina turut menyenaraikan insomnia sebagai antara penyakit yang boleh disembuhkan melalui pengambilan madu .

Biarpun tidak terbukti secara saintifik bahawa madu dapat menyembuhkan insomnia, terdapat enam jurnal perubatan yang menggambarkan madu sebagai sumber yang mempunyai unsur antibiotik.

Dalam pada itu, Rasa Resources turut menerima tempahan hamper atau cenderahati kurma Ajwa dan madu Sidr sempena Ramadan dan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sham di talian 012-6642393 atau melayari www.rasaquest.com
Interaksi sains dan Islam

Interaksi sains dan Islam

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

MUSTAHIL jika difikirkan, manusia dapat menyeberangi lautan luas dengan menunggang kuda. Agak menghairankan juga, manusia dibakar di dalam unggun api yang marak tetapi tidak memberi sebarang kesan. Begitu juga peristiwa manusia tertidur di dalam gua Kahfi dan dibangunkan semula selepas ribuan tahun.

Semua peristiwa berikut adalah contoh kejadian yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata dan fikiran, sama ada melalui kajian sains dan logik akal.

Atas sebab ini juga menjadi punca berlakunya perdebatan antara ilmu sains dan agama yang tidak pernah selesai dibicarakan oleh pakar ilmuan dan masyarakat di serata dunia sejak dahulu lagi.

Sehingga wujudnya perselisihan fahaman antara kedua ilmu tersebut, sama ada menerima atau menentang hubungan antara ilmu sains dan agama.

Namun begitu, oleh kerana pendapat kedua dilihat lebih berpengaruh, fahaman itu kini berjaya disebarkan kepada masyarakat dunia dan telah diterima oleh orang ramai termasuk di negara Islam.

Melalui penyebaran secara sulit dengan mempertikaikan pertembungan antara sains dan agama melalui logik akal, sedikit sebanyak mempengaruhi mentaliti umat Islam bahawa ia adalah dua entiti yang berbeza dengan tanpa kita sedari.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman bagaimanapun menyangkal hujah berkenaan dan dengan tegas menyatakan sains dan agama adalah saling berinteraksi.

Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Allah adalah tuhan yang bergantung pada-Nya segala sesuatu. (al-Ikhlas: 2)

Menurutnya, firman Allah SWT menerusi ayat ini jelas menerangkan kepada umat Islam bahawa tiada perkara yang terjadi tanpa kehendak dan keizinan daripada Allah SWT, walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang atau melakukannya.

Oleh itu, segala kejadian yang berjaya dirungkai dengan kajian sains, pada asasnya semuanya adalah disebabkan keizinan daripada Allah SWT dan ia perlu diyakini oleh semua umat Islam.

Menyokong hujah itu, Dr. Yusof berkata, terdapat banyak hasil kajian sains yang dilakukan menemui jawapan sama seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran yang merupakan kitab rujukan utama bagi umat Islam sejak ribuan tahun lalu.

Menurutnya lagi, begitu juga proses kejadian manusia dan peredaran bulan dan matahari yang telah jelas diterangkan di dalam al-Quran sebelum teknologi sains mampu mengenalpasti dan menjelaskan kejadian tersebut menggunakan kaedah saintifik.

"Sains tanpa agama, buta, agama tanpa sains, tempang. Walaupun istilah sains dan agama adalah berbeza, tetapi ia tidak boleh dipisahkan antara keduanya.

"Tidak keterlaluan untuk dikatakan, semua firman Allah SWT menerusi kitab al-Quran adalah sains. Sains adalah tuntutan dalam agama, manakala agama memerlukan sains untuk maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Sains dan Agama: Pertembungan, Keserasian dan Kesepaduan di Dewan Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Turut hadir penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Profesor Datuk Dr. Ismail Ibrahim dan Timbalan Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Profesor Dr. Jawiah Dakir.

Dalam pada itu, tambah Dr. Yusof, sebagai umat Islam wajib mempercayai konsep kesepaduan agama dan sains melalui pendekatan sains Tauhidik.

"Berbeza dengan konsep sains konvensional, sains Tauhidik adalah ahli sains Islam yang meyakini bahawa Allah SWT adalah segala-galanya dan hanya Allah sahaja yang mengetahui tabii alam secara fizikal atau spiritual.

"Ini kerana manusia mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat terhad mengenai tabii alam secara saintifik.

"Dalam sains Tauhidik juga terdapat tiga hubungan sepadu iaitu hubungan antara manusia dengan tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Ia berbeza dengan konsep sains konvensional yang hanya menghubungkan perkaitan antara manusia dan hukum alam tanpa mempercayai tuhan," jelasnya.

Tambahnya penemuan teori sains melalui sesuatu kajian saintifik adalah bersifat tidak tetap dan berubah-ubah mengikut peredaran masa dan pengkaji.

Berbeza dengan ayat al-Quran yang tidak berubah-ubah sejak diturunkan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu.

- UTUSAN

Sabtu, 23 Juni 2012

Uniknya penciptaan manusia

Uniknya penciptaan manusia

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SURAH ini diturunkan selepas surah ar-Rahman. Keseluruhan ayatnya berjumlah 31 ayat. Ia termasuk di dalam kategori surah Madaniah. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya ialah terdapat di dalam surah terdahulu disebutkan tentang peristiwa ngeri yang akan dihadapi oleh orang yang mengingkari kedatangan hari kiamat.

Manakala dalam surah ini pula disebutkan nikmat abadi yang diperoleh oleh orang yang berbakti di akhirat kelak. Berkenaan dengan surah ini sama ada Makki atau Madani ada tiga pendapat:

* Ia adalah Madaniyah semuanya, inilah pendapat jumhur termasuk Mujahid dan Qatadah.

* Ia adalah Makkiyah, inilah pendapat Ibn Yasar dan Muqatil.

* Sebahagiannya Makkiyah dan sebahagiannya Madaniyah.

Firman Allah SWT: Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? (al-Insan: 1)

Perkataan insan di sini ada dua pendapat:

* Ia adalah Adam dan satu waktu pula bermaksud selama 40 tahun di mana dibentuk dengan lembaga seperti itu tanpa ditiupkan roh, inilah pendapat jumhur ulama.

* Ia adalah semua manusia seperti riwayat Ibnu Abbas dan Ibnu Juraij.

Al-Maraghi berkata: Telah datang kepada jenis manusia ini satu batas waktu yang dia belum ada, sehingga dapat diketahui dan patut disebutkan.

Al-Farra’ dan Tha’lab berkata: Maksudnya ialah jasad yang dibentuk daripada debu dan tanah, tidak disebutkan, tidak dikenal, tidak diketahui apa namanya dan tidak diketahui pula apa maksudnya. Kemudian ditiupkan kepadanya roh sehingga menjadilah ia sesuatu yang patut disebutkan.

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT berfirman mengkhabarkan tentang manusia bahawa Dia telah menciptakannya setelah sebelumnya tidak pernah menjadi sesuatu yang disebut kerana kerendahan dan kelemahannya.

Sayid Qutub berkata: Pertanyaan di permulaan surah ini merupakan pertanyaan untuk penjelasan. Pertanyaan itu dibuat sedemikian rupa seolah-olah supaya manusia bertanya kepada dirinya sendiri: Tidakkah dia tahu bahawa dia telah dilalui suatu ketika di dalam zaman yang di mana dia belum lagi menjadi sesuatu yang dapat disebut?

Tidakkah dia memikirkan hakikat ini dengan sebaik-baiknya? Kemudian tidakkah pemikirannya itu melahirkan di dalam hatinya kesedaran adanya tangan qudrat Ilahi yang menolaknya ke pentas kehidupan dan menyuluhkan cahaya lampu kepadanya dan menjadikannya satu makhluk yang dapat disebut setelah selama ini tidak pernah disebut-sebut.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat. (al-Insan: 2)

Ibnu Jauzi berkata: Kami ciptakan manusia yakni semua anak Adam dan perkataan setitis mani yang bercampur iaitu mani lelaki dan wanita yang akhirnya terbentuk menjadi manusia.

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada nuftah yang di dalamnya ada air lelaki bercampur dengan air perempuan. Kami hendak menguji dan mencubanya dengan tanggungjawab apabila dia telah besar dan dewasa. Dan Kami menjadikannya pula dapat mendengar ayat-ayat dan menyaksikan dalil-dalil, memahami dan berfikir.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya Kami berikan kepadanya pendengaran dan penglihatan sehingga dengan keduanya dia mampu melakukan ketaatan dan juga kemaksiatan.

Ibnu Abbas berkata: Maksud al-Amsyaj di dalam ayat ini ialah sperma lelaki dan ovum perempuan, sekiranya telah bersatu dan bercampur lalu beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya, dari satu keadaan ke satu keadaan berikutnya dan dari satu warna ke warna berikutnya.

Qatadah berkata: Al-Amsyaj adalah peringkat-peringkat penciptaan, pada satu tahap ia sebagai nuftah, pada tahap yang lain ia sebagai ‘alaqah (seketul darah), pada tahap seterusnya sebagai mudghah (seketul daging) dan pada tahap kemudian ia sebagai ‘izam (tulang-temulang). Kemudian tulang-temulang itu dibungkus daging.

Al-Hasan berkata: Kami hendak menguji kesyukurannya di waktu dia berada dalam kesenangan dan hendak menguji kesabarannya di waktu dia berada dalam kesusahan.

Sayid Qutub antara lainnya berkata: Demikianlah manusia diciptakan oleh tangan qudrat Allah SWT daripada air mani yang bercampur. Manusia bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja, malahan ia diciptakan untuk diuji dan dicuba.

Allah SWT memang mengetahui siapakah dia manusia? Apakah ujian yang akan dilaluinya? Dan apakah akibat ujian itu? Tetapi iradat Allah mahu menzahirkan insan di atas pentas alam al-Wujud dan melahirkan kesan-kesannya dia alam al-Wujud dan memberi balasan kepadanya mengikut natijah ujian yang dilaluinya.

Dan Allah SWT menjadikannya dengan daya kebolehan mendengar dan melihat yakni membekalkannya dengan daya-daya kefahaman supaya dia dapat menerima dan menyambut dakwah dan supaya dia dapat memahami benda-benda dan nilai-nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan, juga dapat melalui ujian itu mengikut pilihannya.

- UTUSAN

Kamis, 21 Juni 2012

Fahami budaya sebelum hukum - Dr Maza

Fahami budaya sebelum hukum - Dr Maza

Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis dan kini Felo di Pusat Pengajian Islam Oxford

KITA walaupun semuanya manusia, tetapi tidak sama di sudut latar budaya dan iklim yang kita hidup ataupun membesar di dalamnya.

Tempat, negeri, budaya, bahasa, taraf hidup, persekitaran dan seumpamanya mempengaruhi pembentukan minda, sikap, kefahaman dan juga penilaian terhadap sesuatu. Setiap kita mempunyai latar budaya dan adat yang berbeza. Islam tidak pernah memprogramkan manusia untuk memiliki hanya satu adat dan budaya sahaja dengan menghapuskan adat dan budaya yang lain.

Islam tidak pernah menyatakan bahawa semua bangsa hendaklah menghapuskan budaya mereka dan bersatu dengan budaya Arab. Sama sekali tidak!

Bahkan ALLAH yang menciptakan manusia Maha Mengetahui hakikat ini dan mengakuinya. Firman Allah: (maksudnya) Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Ayat ini menyeru manusia atas nama manusia, bukan bangsa tertentu. Kemudian mengakui kewujudan pelbagai bangsa dan suku kaum. Tujuannya agar kenal-mengenal dan mempelajari sesuatu yang baik antara satu sama lain.

Kelebihan tidak balik kepada jenis bangsa, tetapi kepada takwa. Inilah Islam.


Budaya Diiktiraf

Islam tidak menghapuskan adat dan budaya kaum yang tidak bercanggah prinsip-prinsip yang ALLAH mahu dalam kehidupan manusia. Adat dan budaya yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruah tidak ditentang oleh Islam. Tidak penting adat itu berasal dari mana kaum sekalipun. Setiap kaum boleh mengekalkan adat dan budaya baik yang ada pada mereka. Bukan perjuangan Islam memaksa adat Arab ke atas bangsa lain. Begitulah juga sebaliknya.

Maka bukanlah perjuangan Islam itu memaksa bangsa lain berjubah dan berserban Arab. Tidak juga memaksa mereka memakan masakan Arab ataupun menggunakan ubatan Arab seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Bahkan Arab itu sendiri mempunyai perbezaan budaya dan adat disebabkan perbezaan kabilah dan tempat.

Mereka yang hidup Syam umpamanya, tidak sama dalam banyak aspek dengan mereka yang hidup di Hijaz. Begitulah seterusnya. Sebab itu Ibn Taimiyyah (w. 728H) apabila menyebut tentang pakaian dan makanan yang mengikut sunnah menyebut: “Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya.

Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan). Nabi s.a.w tidak diutuskan untuk memperkenalkan design atau pun jenis pakaian, kasut, ubat, makanan yang berteras budaya kaum tertentu.

Sebaliknya tugasan baginda menegakkan nilai-nilai yang mulia dan baik yang bersifat sejgata dalam kehidupan manusia. Manusia mungkin mempunyai bahasa yang sama, tetapi maksudnya berbeza.

Tuak di negeri-negeri Utara Malaysia memabukkan dan haram. Namun ‘tuak’ di Kelantan tidak memabukkan kerana ia merujuk kepada air nira. Maka tidak haram. Tentu sekali mengajak orang minum tuak di utara satu kesalahan, tetapi tidak di Kelantan. Memakai kain batik di Terengganu dan Jawa tidak dianggap menyerupai perempuan. Namun dianggap menyerupai perempuan di negeri-negeri Utara Malaysia.

Anda tidak wajar memakainya ke masjid dan majlis orang ramai. Di Scotland, lelakinya memakai skirt (kilt) yang dianggap macam pakaian wanita di tempat lain. Lelaki Melayu memakai sampin dan baju Melayu yang berwarna lembut. Pakaian Melayu itu pada pandangan masyarakat lain bercirikan wanita dan tidak ‘cukup kelakiannya’. Namun tidak pada pandangan orang Melayu. Ia bergaya dan sangat lelaki.

Maka dalam memahami dan berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang melarang lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki itu hendaklah juga difahami budaya dan adat setiap kaum. Tidak boleh dihukum menyerupai wanita atau lelaki melainkan setelah difahami latar budaya sesuatu kaum.

Saya teringat ada ‘ustaz’ Arab dari negara tertentu yang mempertikaikan wanita muslimah Malaysia memakai baju berwarna. Katanya, wanita hendaklah memakai baju berwarna hitam. Dia mungkin melihat Islam itu menerusi jendela budaya Arab di negaranya lalu dia ingin supaya budaya Arab itu dijadikan kewajipan ke atas bangsa lain.

Saya kata kepadanya, itu budaya kamu, bukan penegasan Islam. Kata Aishah bint Sa’d:“Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu’asfar (berwarna merah)” (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah). Ertinya isteri-isteri Nabi s.a.w pun memakai pakaian berwarna. Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463): “Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah” (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah).


Fahami Uruf

Memahami latar kaum sebelum mengeluarkan pandangan hukum amatlah penting. Jangan hanya kerana sesuatu itu disebut dalam sesebuah kitab yang ditulis oleh pengarang yang mempunyai latar adat ataupun budaya tertentu lalu kita hukum perkara yang berkaitan budaya tersebut kepada kaum lain. International Islamic Fiqh Academy dalam Sidang ke-5 pada 10-15 Disember 1988 telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung dengan memahami ‘uruf (latar adat) sesebuah masyarakat dalam sesuatu fatwa. Antaranya disebut: “Tidak boleh bagi seorang faqih (ahli fekah) - sama ada dia mufti ataupun kadi - jumud apabila memetik pandangan dari kitab-kitab fuqaha (sarjana fekah) tanpa meraikan (mengambil kira) perubahan ‘uruf”.

Banyak dalil agama yang pelaksanaannya hendaklah dilihat kepada latar mereka yang terlibat. Umpamanya, Nabi s.a.w mengizinkan isteri mengambil tanpa kebenaran harta suami yang enggan mengeluarkan belanja untuk keluarganya. Ini berdasarkan keizinanan yang baginda sebut kepada Hind isteri Abu Sufyan. Sabda Nabi s.a.w kepadanya: “Ambillah apa yang mencukupi untuk engkau dan anak-anakmu” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini dijadikan asas dalam masalah ini. Ertinya seseorang isteri yang bersuami kedekut boleh mengambil hartanya tanpa izin untuk belanja keluarganya dengan kadar yang memadai.

Namun kadar yang memadai itu berbeza antara sebuah keluarga dan keluarga yang lain. Antara tempat dan tempat yang lain. Waktu dan waktu yang berbeza. Syarak hanya menyebut garis panduan umum, latar keadaan, tempat dan masa menentukan kadar yang mencukupi itu. Di sini datangnya peranan adat dan budaya setempat dalam menentukan perkara yang seumpama itu.

Fatwa atau pandangan hukum yang jumud ialah pandangan yang tidak mengkaji perbezaan latar budaya dan adat. Fatwa-fatwa yang seperti inilah yang mengharamkan sukan, persembahan kebudayaan, seni dan lain-lain. Fatwa yang jumud ini juga yang mengeluarkan hukum dalam buku-buku yang ditulis dalam masyarakat yang monarki untuk dilaksanakan dalam negara demokrasi. Fatwa yang jumud yang menyamakan kerajaan Nabi Sulaiman yang menjadi raja adil pada zaman baginda dengan raja lain yang penuh dengan sikap yang buruk, samseng dan rakus. Kejumudan juga telah menyamakan kerajaan Firaun dengan kerajaan demokrasi yang jauh lebih baik dari Firaun.

Budaya dan adat juga dibentuk oleh teknologi dan perkembangan ketamadunan manusia. Semuanya hendaklah diambil kira. Islam tidak menentang apa yang tidak menyanggahi prinsip-prinsipnya yang luhur. Maka, fahami latar budaya dan adat, baru keluarkan hukum.

- SINAR HARIAN

Top