Tampilkan postingan dengan label Info. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Info. Tampilkan semua postingan

Selasa, 24 Juli 2012

KADAR ZAKAT FITRAH TAHUN 2012

Gambar kredit : www.ajumohit.com

Berikut adalah Kadar Zakat Fitrah bagi Seluruh Malaysia Mengikut Negeri bagi Tahun 1433 Hijrah / 2012

JOHOR : RM5.00 / RM8.00

KEDAH : RM7.00

MELAKA : RM6.50

KELANTAN : RM7.00

NEGERI SEMBILAN : RM6.50

PAHANG : RM7.00

SELANGOR : RM7.00

TERENGGANU : RM4.50 / RM7.00 / RM7.60

SABAH : RM7.00

PERLIS : RM6.00

PULAU PINANG : RM7.00

WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR / PUTRAJAYA / LABUAN : RM7.00

SARAWAK : RM6.50

PERAK : RM7.00


ZAKAT FITRAH

Zakat fitrah dikenali juga sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan, dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal(siang & malam).

Kadar Fitrah

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.3kg beras atau senilai dengannya (ijtihad).

Syarat Zakat Fitrah

1. Islam
2. Mempunyai sesuatu (makanan, harta, atau wang) yang lebih daripada keperluan diri sendiri dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu hari siang dan malam Hari Raya itu.
3. Dapat menemui dua masa – akhir Ramadan dan awal Syawal. Orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari atau anak yang dilahirkan selepas matahari terbenam malam satu Syawal itu tidak wajib fitrah ke atasnya.

Kewajipan zakat fitrah


Ketua keluarga wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya dan juga tanggungannya. Jika salah satu dari tanggungannya meninggal dalam bulan puasa, maka orang itu terlepas daripada membayar zakat fitrah.


Waktu mengeluarkan zakat fitrah

Waktu wajib: Apabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

Waktu yang paling afdhal: Sebelum Solat Sunat Hari Raya.

Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.

Waktu makruh: Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

Waktu haram: Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Niat Zakat Fitrah

“ Wang sebanyak RM _____ ini sebagai menunaikan zakat fitrah, yang wajib ke atas diri/keluarga saya untuk tahun berakhir _____ tunai kerana Allah Ta'ala. ”

Minggu, 22 Juli 2012

Setem Kad Ucapan Perayaan Tidak Lebih 50g Hanya 50 Sen - Pos Malaysia

Setem Kad Ucapan Perayaan Tidak Lebih 50g Hanya 50 Sen - Pos Malaysia

Sempena musim perayaan, Pos Malaysia hanya mengenakan kadar 50 sen bagi mengepos semua kad ucapan perayaan yang tidak melebihi 50 gram ke semua destinasi dalam negara.

Tawaran tersebut akan bermula esok sehingga 16 Feb tahun depan yang meliputiperayaan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina, menurut Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata, tawaran istimewa ini akan membolehkan rakyat Malaysia menghantar lebih banyak kad ucapan kepada sahabat handai dan sanak saudara pada kadar lebih rendah berbanding pos biasa.

"Kadar rata pada musim perayaan itu adalah 16 hingga 28 peratus lebih murah berbanding pos biasa yang beratnya tidak melebihi 50 gram," katanya.

Beliau berkata, orang ramai digalakkan mengepos kad-kad ucapan Hari Raya Aidilfitri sebelum 13 Ogos ini bagi memastikan kad ucapan yang dihantar tiba kedestinasi sebelum sambutan Syawal.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi Pos Malaysiadi talian 1-300-300-300 atau di www.pos.com.my atau mendapatkan maklumat lanjut dengan berkunjung ke pejabat pos berdekatan.

- BERNAMA

Jumat, 20 Juli 2012

WAKTU BERBUKA PUASA & IMSAK BAGI SELURUH MALAYSIA - RAMADHAN 1433H / 2012

WAKTU BERBUKA PUASA & IMSAK BAGI SELURUH MALAYSIA - RAMADHAN 1433H / 2012

BIL 
NEGERI 
ZON
1    
MELAKA
MELAKA
2 JOHOR
3 PERAK
4   SARAWAK
5 SABAH
6 TERENGGANU
7 KELANTAN
8 SELANGOR
9 PAHANG
10
WILAYAH PERSEKUTUAN
11
WILAYAH PERSEKUTUAN
LABUAN
12
PERLIS
PERLIS
13 NEGERI SEMBILAN 
14 KEDAH
15
PULAU PINANG
PULAU PINANG
** Sumber: JAKIM

Kamis, 19 Juli 2012

19 Julai Diisytihar Hari Pesara Awam

19 Julai Diisytihar Hari Pesara Awam

Setiap 19 Julai, Malaysia akan meraikan Hari Pesara Penjawat Awam sebagai menghargai jasa pesara penjawat awam dalam membantu membangunkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah membela kebajikan lebih 400,000 pesara penjawat awam dengan baik dan berharap pihak lain turut menunjukkan keprihatinan terhadap mereka.

Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.

"Sebagai Perdana Menteri dan wakil kerajaan, sokongan tuan-puan semua amat besar ertinya (bagi kami)," katanya kepada kira-kira 3,500 pesara penjawat awam dari seluruh negara yang menghadiri majlis itu.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) yang akan menjadi perantara pesara penjawat awam dengan kerajaan serta membela nasib mereka.

Turut hadir Presiden Kupekmas Datuk Omar Osman yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

- MSTAR

Rabu, 18 Juli 2012

Kempen kitar semula di sekolah


JEMIMA LAURENCE baru mencecah umur 12 tahun. Masih di bangku sekolah rendah, tetapi Jemima sudah memahami kepentingan mengitar semula sampah dalam kehidupan harian.

Bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akhir tahun ini di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, kanak-kanak itu akan membawa semua sampah berupa kotak minuman ke kantin sekolah.

Terdapat sebuah mesin kitar semula kotak minuman berwarna biru di kantin sekolahnya dan setiap kotak yang dimasukkan dikira. Jemima merupakan pelajar paling banyak mengitar semula iaitu sebanyak 48 keping sejak awal tahun ini.

Seorang rakan Jemima, Fatin Najihah Zulkifli, 12, pula menyifatkan mesin tersebut sangat mudah digunakan kerana hanya perlu menekan butang.

Seterusnya, dia hanya perlu mengikuti langkah yang dipaparkan pada skrin, imbas kod bar dan masukkan ke dalam laluan yang disediakan.

Sepanjang tiga bulan lalu, Fatin sudah mengumpul 43 buah kotak minuman yang dikitar semula dan menjadi antara pesaing kepada Jemima.

“Paling banyak dalam sehari, saya akan membawa tiga kotak minuman kadang-kadang tiada,” kata Jemima ketika ditemui di sekolahnya baru-baru ini.

Ibu Jemima, Monica Liwan, 41, menyifatkan sikap berlumba-lumba untuk mengitar semula kotak minuman sangat baik.

Dia yang bekerja sebagai guru di sekolah tersebut berkata, kini murid-murid di situ sudah ada inisiatif sendiri apabila ternampak sampah bersepah-sepah terutama kotak minuman hasil daripada kempen yang dijalankan.

“Malah ada yang membawa bekas kotak minuman dari rumah dan berebut-rebut mahu mengitarnya,” kata wanita itu.

Mesin kitar semula yang disediakan merupakan hasil kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad dan Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd.. Kerjasama itu dimulakan sejak tahun lalu.

Mesin-mesin itu ditempatkan di lima buah sekolah selain 14 buah cawangan pasar raya Tesco. Hasilnya, 324,000 kotak telah dikumpul sepanjang dua bulan kempen dijalankan.

Rentetan daripada sambutan itu, pihak Nestle dan Tetra Pak mengadakan sekali lagi kempen tersebut tetapi melibatkan jumlah sekolah yang lebih banyak.

Dijangka seramai 43,000 pelajar terlibat dalam program kitar semula itu apabila 20 buah mesin diletakkan di sekolah-sekolah berbeza.

Merangsang semangat

“Pihak kami percaya pembelajaran alam sekitar yang mapan harus bermula sejak muda dan lebih baik mendidik kesedaran tersebut dalam suasana sekolah,” kata Pengurus Perniagaan Nestle, Teo Heng Keat.

Bagi merangsang semangat murid-murid untuk mengitar semula kotak minuman, setiap pelajar diberi sekeping kad yang mencatatkan bilangan poin pada setiap kotak kitar semula.

Rekod disimpan pada kad tersebut apabila mereka menggunakannya ketika mengitar semula pada mesin itu.

Setiap 40 kotak yang dikitar semula, mereka akan mendapat sekotak minuman Milo yang mempunyai isipadu 200 mililiter.

Pada kemuncak kempen, tiga buah sekolah dan 10 orang murid yang mencatatkan kutipan tertinggi akan diberi hadiah.

Kotak minuman terutama keluaran Tetra Pak merupakan objek yang sangat rumit kerana mempunyai tujuh lapisan yang diperbuat daripada bahan fiber, polietilena dan kepingan aluminium.

Ia direka mengekalkan keaslian dan mutu minuman yang terkandung di dalamnya selain memastikan tiada pencemaran.

Namun, apabila ia dikitar semula, pelbagai barang yang dapat dibuat seperti produk berasas kertas dan plastik serta papan klip. Kotak Tetra Pak juga 100 peratus boleh dikitar semula.

- KOSMO!
Rancangan tv menarik sepanjang Ramadan 2012

Rancangan tv menarik sepanjang Ramadan 2012

SAJIAN kerohanian diteruskan dengan beberapa naskhah menarik menerusi pelbagai stesen televisyen swasta mahupun percuma.

Mesej yang disampaikan adalah untuk mendidik masyarakat ke arah perkara yang lebih positif atau menyedarkan penonton demi perubahan yang lebih baik.

Namun, corak paparan setiap stesen televisyen berlainan mengikut sasaran penonton dan konsep sesebuah stesen penyiaran.

Sehubungan itu, berikut dipaparkan siaran terbaik sepanjang bulan Ramadan yang disiarkan melalui RTM1, RTM2, TV3, TV9 dan Astro.

Astro Oasis (Saluran 106)

Judul: Insya-Allah Ada Jalan

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 5.30 petang

Sinopsis: Ikuti kisah penuh kesedaran Maher Zain menerusi pengembaraan mencari temannya Basofi di Indonesia dalam siri televisyen berkonsepkan spiritual ini.

Judul: Indahnya Iman (Azan Global/Tazkirah)

Genre: Tazkirah

Tarikh dan waktu siaran: Setiap hari pada pukul 7 malam

Sinopsis: Insafi diri dengan penyampaian tazkirah, Talaqqi amalan Rasulullah S.A.W dan azan yang menyeru umat Islam mengerjakan solat.

Astro Prima (Saluran 105)

Judul: Masihkah Ada Ramadan

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin pada pukul 10 malam

Sinopsis: Saksikan bagaimana seorang ibu cuba untuk menyelamatkan anak tersayang daripada lembah dosa sempena keberkatan Ramadan penuh keajaiban.

Astro Ceria (Saluran 611)

Judul: Puasa Bersama Ceria

Genre: Realiti

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 21 Julai setiap hari pada pukul 7.30 malam

Sinopsis: Bagaimana agaknya selebriti kita berpuasa semasa kecil? Cungkil kisah-kisah menarik dan lucu mereka serta dapatkan nasihat yang boleh membantu.

Astro Ria (Saluran 104)

Judul: Helo Bro...Tolong Masak!

Genre: Realiti

Tarikh dan waktu siaran: Setiap hari sepanjang Ramadan mulai 21 Julai 2012, 6.00 petang.

Sinopsis: Dengan durasi 30 minit untuk 30 episod, Helo Bro…Tolong Masak! merupakan sebuah program masakan istimewa yang menampilkan selebriti-selebriti undangan bagi setiap episod membuat panggilan kepada Nik Michael (MasterChef Malaysia) untuk memasak buat mereka. Setiap episod memaparkan situasi yang berbeza yang akan menjanjikan kelainan dan hiburan kepada penonton.

TV9

Judul: Umrah Kita

Genre: Travelog

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin pukul 11 malam

Sinopsis: Tiga selebriti muda terkenal, Aizat Amdan, Noh Hujan dan Altimet akan membawa penonton mengembara ke Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk merasai suasana menunaikan ibadah umrah. Bagi peminat-peminat trio ini pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan gelagat mereka sepanjang mengerjakan umrah.

Judul: Al-Quran Menjawab Bersama Dr. Danial Zainal Abidin

Genre: Bual Bicara

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 25 Julai setiap hari Rabu dan Khamis pukul 6.30 petang

Sinopsis: Kelebihan Dr. Danial Zainal Abidin adalah mengaitkan sains dan Al-Quran. Melalui rancangan 8 episod ini, beliau akan menceritakan aspek berkaitan penciptaan alam, kejadian manusia dan matlamat hidup serta diolah dengan menarik supaya dapat difahami oleh penonton.

TV3

Judul: Slot Samarinda (7 Ramadan)

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 19 Julai setiap hari Selasa dan Rabu pukul 10.30 malam

Sinopsis: Sufiah tinggal di kampung seorang diri dengan mengambil upah mengurut dan membuat kuih untuk menyara anak angkatnya, Ramadhani. Namun, Dhani akhirnya berubah setelah bosan hidup dalam kemiskinan walau terpaksa melukai hati ibunya.

Judul: Qari Junior

Genre: Realiti

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 23 Julai setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 9 pagi

Sinopsis: Program realiti untuk kanak-kanak ini dihoskan oleh Ustaz Zhafran Zainuldin untuk mencungkil dan menggilap bakat kanak-kanak berusia 7-12 tahun dalam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

TV1

Judul: Ramadan Mat Jo

Genre: Animasi

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 21 Julai setiap hari Sabtu pukul 9.30 pagi

Sinopsis: Sebuah siri animasi yang disiarkan khusus untuk bulan Ramadhan. Ia mengisahkan tentang dua orang budak lelaki iaitu Mat dan Jo yang menjalani ibadah puasa dengan pelbagai kisah yang ada kalanya melucukan. Siri animasi ini juga menerapkan kisah tauladan dari zaman Rasulullah sebagai pengajaran yang penuh moral dan mesej tersirat.

TV2

Judul: Akhirat

Genre: Drama

Tarikh dan waktu siaran: Bermula 20 Julai setiap hari Jumaat pukul 2.30 petang

Sinopsis: Kehidupan Mira semakin pudar setelah dia disahkan menghidap penyakit yang amat menggerunkan. Dia cuba merahsiakan kesengsaraan ini daripada pengetahuan keluarga namun konflik melanda apabila dia tidak dapat menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dilema ini menyebabkan Mira menyatukan Amran dan Noni.

- KOSMO!

Senin, 16 Juli 2012

2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara

2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara

Seramai 2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara atas pelbagai kesalahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah menyeludup dadah, membunuh, memalsukan kad kredit, kesalahan komersial, mencuri, kesalahan imigresen, menipu serta memalsukan dokumen, dan penyeludupan manusia.

"Antara negara yang mempunyai tahanan rakyat Malaysia ialah Singapura 1,096 orang, Thailand (444), China (231), Indonesia (148), Taiwan (137), Australia (77), Sepanyol (47), Kuwait (33), Vietnam (29), dan Perancis seramai 25 orang," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin.

Kohilan berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara, namun tidak akan mencampuri urusan dalaman negara terbabit.

"Kementerian akan berusaha melindungi hak rakyat kita sepertimana termaktub di bawah undang-undang negara tersebut dan juga undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963," katanya.

Menjawab soalan tambahan anggota yang sama mengenai sama ada terdapat undang-undang yang membenarkan banduan rakyat Malaysia untuk dibawa pulang, Kohilan berkata, kementerian sedang merangka mekanisme terbabit.

Beliau berkata, belum ada undang-undang yang membenarkan banduan rakyat Malaysia dibawa pulang, namun kementerian sedang mengkaji dan menyediakan protokol-protokol serta mekanisme pelaksanaan bagi membawa pulang banduan menjalani hukuman di negara ini mengikut Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000.

"Satu jawatankuasa ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Penjara untuk menyediakan undang-undang Akta Pemindahan Antarabangsa bagi membawa pulang rakyat yang ditahan di luar negara," katanya.

- BERNAMA

Senin, 09 Juli 2012

Borang penamaan waris KWSP melalui pos ditamatkan

Borang penamaan waris KWSP melalui pos ditamatkan

Mulai 1 Ogos, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menamatkan penerimaan borang penamaan waris melalui pos, antaranya bagi mengelak penipuan.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya Nik Affendi Jaafar berkata keputusan itu antara lain bertujuan untuk mengesahkan kesahihan penamaan yang dibuat.

Ini memandangkan maklumat sulit di dalam borang itu akan menentukan penerima simpanan ahli sekiranya berlaku kematian.

KWSP kini mempunyai sejumlah 13 juta ahli.

"Ahli juga tidak boleh mewakilkan sesiapa menghantar borang penamaan waris itu dan jika ada yang berbuat demikian borang mereka akan ditolak," katanya dalam satu kenyatan.

Nik Affendi berkata ahli KWSP juga tidak perlu membawa saksi semasa menghantar borang itu jika ianya lengkap diisi dengan maklumat tepat sekiranya terdapat lebih daripada seorang penama.

“Ahli KWSP boleh mendapatkan borang KWSP 4 (borang penamaan waris) dari cawangan berhampiran atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi 03-89226000 untuk maklumat lanjut," katanya.

- BERNAMA

Kamis, 28 Juni 2012

Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2012


Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2012

Tarikh : 29 Jun hingga 1 Julai 2012

Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Lebih 350 agensi/syarikat seperti Al-Rajhi Bank, Media Prima Bhd., Celcom, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan menawarkan pelbagai jawatan kosong serta peluang keusahawanan sepanjang karnival ini.

Cabutan Bertuah dengan hadiah iPAD, iPHONE, iPOD TOUCH.

http://www.k3g.com.my

Minggu, 24 Juni 2012

Pengambilan Polis PDRM - Tidak Mudah Mengambil & Melahirkan Anggota Polis



Pengambilan Polis PDRM - Tidak Mudah Mengambil & Melahirkan Anggota Polis

SEKILAS pandang, terdetik dalam hati bergayanya penampilan anggota polis yang lengkap berpakaian seragam.

Namun pernahkah terlintas dalam pemikiran kita akan dugaan yang harus ditempuhi sebelum diisytiharkan layak mengenakan pakaian seragam biru tua itu?

Sebelum seseorang itu berhasrat menjadi anggota polis, mereka seharusnya memenuhi kelayakan akademik - sekurang-kurangnya SPM bagi konstabel, STPM/Diploma bagi inspektor dan ijazah pertama bagi penolong penguasa polis (ASP) Kemudian mereka perlu memenuhi syarat-syarat fizikal yang ditetapkan iaitu ketinggian sekurang-kurangnya 165 cm dan berat badan minimum 47.6 kg bagi calon lelaki dan 160 cm dan 46.2 bagi wanita.

Berat badan perlu sesuai dengan ketinggian supaya mereka barulah tampak lebih segak dan tegap.

Selain itu calon lelaki mestilah mempunyai ukuran dada sekurang-kurangnya 81 cm dan 86 cm apabila semasa menarik nafas selain mempunyai penglihatan jelas tanpa cermin mata, tidak rabun warna serta tiada kecacatan pendengaran selain diperakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan dalam pelbagai aspek.

FASA LATIHAN

Setelah kesemua syarat fizikal serta akademik dipenuhi, calon-calon akan menempuhi satu lagi cabaran dan rintangan selama enam bulan bagi jawatan konstabel dan sembilan bulan untuk jawatan inspektor di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) bagi melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran kepolisan.

Komandan Pulapol Kuala Lumpur SAC Zulkifli Mohamad berkata tempoh latihan di Pulapol akan membolehkan mereka menjalani transformasi fizikal dan mental untuk menjadi anggota polis.

“Dua atau tiga bulan pertama mereka akan didedahkan dengan bentuk-bentuk latihan polis yang mencabar termasuk senaman.

“Tujuan latihan sebegitu adalah untuk mendisiplinkan serta mendidik sebagai persiapan bagi memikul tugas polis,” katanya.

Beliau berkata fasa kedua adalah proses memberi pendedahan ilmu dan pengetahuan dalam semua bidang kepolisan.

“Kita akan memberikan latihan yang menumpukan pada konsep ‘Security and Safety’,” katanya dan menambahkata mereka juga dilatih untuk memberikan bantuan perubatan sementara menanti kedatangan ambulans.

Tambahnya bagi fasa ketiga pula calon-calon sekadar dipantau akan penguasaan mereka terhadap segala latihan yang mereka telah lalui pada fasa pertama dan kedua. Zulkifli berkata latihan fasa pertama adalah peringkat yang paling sukar kerana ia menguji kekuatan mental dan kesediaan mereka menurut perintah kepimpinan

“Contohnya mereka akan dikejutkan semasa tidur untuk melakukan apa-apa tugasan tanpa sebarang bantahan dan ia dilakukan mengikut keperluan,” katanya.

Pada masa depan, katanya, sebuah pusat latihan simulasi yang baru siap akan membantu meningkatkan latihan mereka bagi melaksanakan dengan berkesan segala tugasan kepolisan.

MENDEDAHKAN KEPADA KERJA SEBENAR POLIS

Dalam fasa terakhir latihan, mereka akan didedahkan kepada tugasan sebenar anggota polis.

“Mereka akan dihantar ke luar daerah... sebagai contoh konstabel akan ditugaskan mengawal sekatan jalan raya. Mungkin semasa sekatan itu mereka akan menahan anggota polis yang menyamar sebagai penjenayah, atau mereka yang berkelakuan biadap atau menghulurkan rasuah.

“Dari situ kita dapat menilai kejujuran pelatih itu serta kemampuan mereka dalam menangani kerenah orang awam dengan sabar.

Beliau berkata bagi pelatih inspektor, mereka akan terbabit dalam latihan ‘Investigating game’, dengan pelatih sebagai contoh diarahkan membuka kertas siasatan berhubung jenayah seperti pelacuran dengan adaindidvidu tertentu yang cuba memberi rasuah.

“Selepas ini kita akan cuba mencari kaedah lain untuk menilai integriti pelatih polis dan bagaimana ciri mulia ini diterapkan dari peringkat akar umbi,” katanya. POLIS

BERINTEGRITI

Zulkifli yang memegang tampuk Komandan sejak dua tahun yang lepas menyimpan hasrat untuk melihat anak didiknya di Pulapol menjadi anggota polis yang berintegriti.

“Berintegriti maksudnya bakal polis ini harus pandai menyesuaikan diri dengan keadaan contohnya bila berhadapan dengan penjenayah dan orang awam selain mereka harus nampak segak di luaran dan mulia daripada segi dalaman,” katanya.

“Mereka harus dilihat sebagai anggota yang berintegriti apabila mula bertugas kerana mereka adalah barisan hadapan penjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Bagaimanapun, untuk melahirkan seseorang yang berintegriti pelbagai cabaran yang harus ditempuhi oleh jurulatih polis.

Para jurulatih ini perlu mengubah pelatih-pelatih daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa dan pendidikan kepada anggota polis yang bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

“Dalam tempoh latihan mungkin akan berjaya mengubah sikap mereka kerana adanya pantauan namun apabila sudah tamat latihan mereka akan balik ke sikap asal kerana tiada pantauan lanjut,” katanya. Seterusnya beliau berkata apabila tamat latihan, anggota polis yang berpengalaman harus memainkan peranan memantau sikap anggota baru ini.

“Selepas tamat berkursus mereka telah memasuki alam pekerjaan, kelakuan harus dijaga supaya masyarakat tidak hilang hormat kepada mereka,” katanya.

PENGALAMAN BEKAS PELATIH

Seorang konstabel polis yang kini berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Muhd Azuan Azzeham, berkata latihan di Pulapol cukup mencabar namun diharungi untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang anggota polis.

“Dalam lima bulan pertama kami menjalani latihan jasmani, kawad dan menembak... bagi latihan jasmani sebagai contoh kami kena menepati had masa yang telah ditetapkan,” ujar anak sulong dari dua beradik itu.

Azuan, yang bapanya seorang sarjan polis yang telah bersara, berkata sebagai latihan intensif perlu untuk melahirkan anggota polis yang berdisiplin.

- BERNAMA

Pengambilan Polis Di Raja Malaysia - PDRM Tahun 2012
http://myadha.blogspot.com/2012/03/pengambilan-polis-diraja-malaysia-pdrm.html

Jumat, 15 Juni 2012

Puasa dijangka 21 Julai 2012, Hari Raya Aidilfitri 19 Ogos 2012

Puasa dijangka 21 Julai 2012, Hari Raya Aidilfitri 19 Ogos 2012

Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa Ramadan pada 21 Julai 2012 (Sabtu) manakala Hari Raya Aidilfitri disambut pada 19 Ogos 2012 (Ahad).

Jika tarikhnya begitu, umat Islam akan berpuasa selama 29 hari.

Bagaimanapun, seorang penyelidik di sebuah pusat Ilmu Falak di sebuah universiti di utara tanah air menegaskan, tarikh sebenar puasa dan Hari Raya Aidilfitri masih tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak.

Menurutnya, pada 29 Syaaban 1433H bersamaan 19 Julai, kedudukan bulan tidak memenuhi kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakkan) iaitu umur bulan tidak lebih lapan jam sebelum ijtimak.

"Dengan kedudukan bulan tidak memenuhi kriteria Imkanur-rukyah, maka 1 Ramadan 1433 Hijrah jatuh pada 21 Julai 2012," kata beliau.

- UTUSAN

Sejuta Impian Musim Kedua Tawar Insentif RM1 Juta



Program hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Sejuta Impian bakal kembali dengan musim kedua dengan insentif lumayan berjumlah RM1 juta.

Stesen TV3 dalam satu kenyataan berkata, program tersebut bakal mendapat dana daripada Dana 1Malaysia bagi merialisasikan impian rakyat Malaysia.

"Idea untuk membangunkan masyarakat sekeliling, memberi manfaat kepada komuniti anda, melindungi alam sekitar mahupun impian untuk mengubah kehidupan anda, semuanya mungkin bakal tercapai menerusi program realiti Sejuta Impian musim terbaru," menurut kenyataan itu di sini.

Mereka yang mempunyai hasrat dan impian yang terpendam, boleh mendaftar penyertaan secara online dengan melayari www.tv3.com.my/sejutaimpian dari 18 Mei hingga 24 Jun atau hadir ke sesi ujibakat yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Jun di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Bagi penyertaan secara online, mereka yang berjaya sahaja akan dihubungi oleh pihak produksi pada 25 Jun.

Untuk mengetahui secara lanjut mengenai Sejuta Impian, anda boleh menghantarkan emel anda ke sejutaimpian@tv3.com.my

Ujibakat adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berminat dan mestilah berumur tidak melebihi 40 tahun.

Bagi mereka yang masih di bawah umur 18 tahun harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga ketika menghadiri sesi ujibakat.

3 beradik perlukan bantuan



SHAH ALAM - Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi melihat anak-anaknya dapat menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

Adiana Othman, 34, yang menempuh dugaan berikutan ketiga-tiga anaknya hidap penyakit kronik berkata, dia perlu sokongan dan bantuan. “Selain masalah kewangan, saya perlukan bantuan daripada mana-mana doktor pakar yang sudi bantu mengubati penyakit anak-anak saya ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Adiana dan suaminya, Zanery Adam, 43, tidak tertahan melihat anak-anak mereka menanggung kesakitan. Anak sulung mereka, Nurul Huda, 12, mengidap penyakit tiroid tahap keempat dan perlu dibedah secepat mungkin.

Disebabkan masalah kewangan, mereka terpaksa menumpukan pembedahan anak bongsunya, Nurul Fatihah, 8, yang menghidap kanser tulang tahap kritikal kerana terdapat ketumbuhan besar pada leher.

“Kos keseluruhan pembedahan Nurul Fatihah masih belum diketahui. Sebelum ini, pihak hospital anggarkan RM15,000. Bagaimanapun, saya yakin kosnya pasti meningkat memandang keadaannya makin teruk,” katanya.

Sementara itu, anak keduanya, Muhammad Amir, 11, menghidap dua penyakit dikenali saraf tunjang kongenital dan masalah saluran kencing yang hanya menggunakan tiub untuk membuang air kecil.

Sehubungan itu, pihak yang prihatin dan hasrat menyumbang boleh hubungi 013-293 4873 atau menerusi akaun Maybank 162508103642 milik Adiana

- SINAR HARIAN

Senin, 11 Juni 2012

Floria Putrajaya dari 30 Jun - 8 Julai 2012

Floria Putrajaya dari 30 Jun - 8 Julai 2012

Floria Putrajaya 2012, yang akan diadakan selama sembilan hari mulai 30 Jun sehingga 8 Julai 2012 di Tasik Promenade, di Presint 2 Putrajaya, dijangka menarik 800,00 pengunjung.

Menurut satu kenyataan oleh Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini, tema yang dipilih tahun ini iaitu bunga kertas atau Bougainvillea, di mana pertubuhan tempatan dan antarabangsa termasuk peserta dari International Orchid Society (IOS) akan menyertai pameran dalaman dan luaran manakala Arkitek Landskap mengambil tempat bagi membina taman pereka.

"Selain bunga-bungaan yang mempesona, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan pada majlis itu termasuk bengkel, demonstrasi memasak dan berkebun, hiburan secara langsung, pertandingan fotografi dan juga melukis.

"Satu lagi tarikan di festival itu ialah perarakan bunga oleh Kementerian Pelancongan yang akan diadakan utuk kali kedua.

Bertemakan “Magic of the Night”, perarakan itu adalah pertunjukan bunga yang disertai pelbagai negara dan pertubuhan yang diarak di atas bot di sepanjang Tasik Putrajaya dengan berlatar belakang landskap Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Sambutan tahun kelima itu menjadikan Floria Putrajaya sebagai acara utama Putrajaya yang sejak beberapa tahun menarik pengunjung dari seluruh dunia dan meningkatkan sektor pelancongan negara semasa meraikan kecantikan estetika susunan bunga-bungaan yang dipamerkan semasa pertunjukan itu.

Majlis pelancaran awal akan diterajui oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Khamis ini manakala pameran akan dibuka kepada orang ramai mulai 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.

— BERNAMA

Senin, 04 Juni 2012

Bijirin elak hidap kanser



PERTAMA, ilmu mengenainya ada tetapi kita tiada inisiatif untuk bertindak mengubah sikap ke arah pengambilan makanan yang lebih sihat.

Kedua, apabila usia mencecah 35 tahun ke atas, agak terlewat untuk mengubah keseluruhan diet yang menjadi kebiasaan kerana amalan itu sudah mengalir di dalam diri. Ia boleh dikawal, tetapi untuk berubah 100 peratus, mungkin sulit.

Ketiga, ramai hanya akan ‘tersentak’ dan berubah selepas menghidap penyakit berbahaya akibat amalan pemakanan yang selama ini kurang menyihatkan.

Bunyi ketiga-tiga kenyataan di atas agak keras, tetapi itulah realiti sebenar yang menjadi kebiasaan masyarakat kita. Sering bersikap sambil lewa, acuh tidak acuh, ‘lantaklah’ dan menangguhkan perkara baik sudah sebati di dalam diri.

Hal ini didedahkan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E Siong ketika berbicara mengenai kebaikan pengambilan makanan berasaskan bijian penuh sempena kerjasama pihaknya dengan bijirin sarapan Nestle (Nestle Breakfast Cereals) yang melancarkan buku panduan bertajuk Keajaiban Bijian Penuh (Wonders of Whole Grain).

Katanya, tidak mahu semua perkara demikian berterusan, keluarga terutama ibu bapa adalah individu penting yang perlu memperkenalkan dan memberi makanan penuh berkhasiat kepada anak-anak sejak usia mereka masih muda.

“Seawal usia dua tahun ke atas, ibu bapa sudah boleh memperkenalkan mereka kepada semua makanan sihat yang ada di dunia, tetapi mesti pastikan diri sendiri juga melakukan perkara sama.

“Ibu bapa harus memberi khasiat pemakanan mencukupi kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ini kerana peluang yang ada untuk berbuat demikian adalah singkat iaitu ketika mereka sedang membesar. Malah, keperluan ini sangat tinggi untuk perkembangan fizikal dan emosi mereka.

“Jangan tunggu sehingga anak-anak sudah membiasakan diri dengan tabiat pemakanan yang tidak sihat, baru ibu bapa ingin mengubahnya. Pada waktu itu, ia sudah terlambat,” katanya.

Dengan mengambil makanan mengandungi bijian penuh misalnya, ia bagus untuk kesihatan tubuh badan bagi menjamin kehidupan yang lebih produktif.

Bijian penuh mengekalkan semua bahagian bijirin asli iaitu bran, endosperm dan germ. Ia mengandungi pelbagai vitamin, mineral, fitokimia (bahan kimia tumbuhan) dan serat berbanding bijirin yang sudah diproses.

Antara contoh makanan yang mengandungi bijian penuh adalah jagung, oat, beras perang, barli, tepung, bijirin dan kekacang.

Bijian penuh juga mengekalkan semua tiga bahagian bijian serta sumber serat, karbohidrat, protein, vitamin B, zat besi, zink, kalsium, selenium dan magnesium yang baik.

Ia juga kaya dengan antioksidan dan bahan tumbuhan semula jadi yang membantu mengekalkan kesihatan baik selain bebas kolesterol, rendah lemak serta lemak tepu dan secara semula jadi tanpa lemak trans.

Beberapa kebaikannya termasuk membantu menangani berat badan dan mengawal kegemukan. Pengambilannya juga membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis jenis 2, melindungi daripada kanser kolon, strok dan penyakit jantung, mengekalkan pergerakan usus serta mengurangkan kolesterol dan tekanan darah.

Kajian penyelidikan yang dibentangkan pada Persidangan Pemakanan Eropah kali ke-11 di Madrid, juga menunjukkan individu yang makan lebih banyak bijian penuh pada umumnya lebih sihat termasuk memiliki indeks jisim tubuh (BMI) rendah, kurang lemak di bahagian abdomen dan pengurangan berat badan.

Memakan sekurang-kurangnya tiga hidangan bijian penuh (48 gram) setiap hari pula dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 20 hingga 40 peratus risiko dalam menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

“Pada peringkat permulaan memang ia sukar dilakukan kerana kita tidak biasa dengan rasanya yang kurang sedap. Jadi, lakukannya secara perlahan-lahan agar badan anda tidak ‘terperanjat’.

“Ibu hamil atau yang sedang menyusukan anak juga boleh mengambil makanan bijian penuh, malah ia lebih menyihatkan. Tiada sebarang bahan yang keluar daripada bijian penuh itu membahayakan bayi dalam kandungan ataupun diri ibu itu sendiri,” kata Dr Tee.

Terdapat banyak produk bijirin di pasaran kini yang mengandungi bijian penuh, tetapi apa yang perlu diketahui pengguna adalah bijirin diperbuat dengan bijian penuh tidak bererti hanya bijian penuh digunakan.

Ini kerana ia mungkin dicampur dengan tepung biasa, gula dan pelbagai lagi campuran bahan lain.

Bijian penuh kini menjadi tumpuan kerana ia memberikan kebaikan pemakanan yang tinggi berbanding bijian bertapis. Pengguna bukan saja harus sedar mengenai kebaikan bijian penuh, malah mereka juga perlu tahu jumlah sebenar kandungan bijian penuh dalam bijirin atau makanan mereka.

“Lazimnya, kebanyakan jenama yang terdapat di pasaran mengatakan ada bijian penuh dalam makanan mereka, tetapi hanya segelintir yang mempunyai kandungan bijian penuh yang tinggi untuk khasiat sepenuhnya.

“Sebab itulah pengguna perlu berhati-hati. Baca dan fahami label makanan atau dikenali juga sebagai Panel Maklumat Makanan (PMP) yang disediakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, pelancaran buku panduan ini satu langkah positif bagi memberi kesedaran dan menggalakkan orang ramai meningkatkan pengambilan bijian penuh.

Platform berkenaan dapat digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai jenis makanan yang mengandungi bijian penuh dan banyak memberi manfaat kepada kesihatan.

Harapannya, dengan membantu orang awam memahami diet seimbang dan selamat, kerjasama ini juga dapat menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.

Menerusi buku panduan berkenaan, orang ramai juga boleh mempelajari resipi baru yang boleh dipelbagaikan ketika menyediakan hidangan berasaskan bijian penuh sebagai bahan utama.

Antara menu yang boleh dicuba adalah beras perang bersama serai, mufin oatmeal, roti mil penuh berperisa pisang, biskut bijirin gandum dengan aprikot dan minuman smoothie pisang dengan mangga.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Pengurus Perniagaan Bijirin Sarapan Nestle, Nirmalah Thurai dan pakar nutrisi, Fatimah Salim.

Untuk memuat turun buku panduan dan mengetahui maklumat lanjut mengenainya, layari www.nutriweb.org.my atau www.nestle.com.my.

- HARIAN METRO
Kadar Bunuh Diri Semakin Meningkat Di Malaysia

Kadar Bunuh Diri Semakin Meningkat Di Malaysia

Kadar bunuh diri semakin meningkat di Malaysia apabila mencatatkan lebih 1,000 orang membunuh diri dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, nisbah semasa bagi bunuh diri dari tahun 2007 sehingga 2010 adalah 1.3 bagi setiap 100,000 orang, tetapi dipercayai kadar itu boleh menjadi lebih tinggi.

“Ia hanya perangkaan yang dikumpulkan kami daripada bedah siasat. Kami fikir kadar bunuh diri tidak banyak yang dilaporkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Isnin.

- MSTAR
Talian Bantuan Untuk Tangani Masalah Berat Badan

Talian Bantuan Untuk Tangani Masalah Berat Badan

Tidak kira sama ada seorang warga emas atau remaja apabila berhadapan dengan isu berat badan, semua akan menerima kesannya.

Ini ditunjukkan oleh maklum balas menerusi talian bantuan untuk pengurusan berat badan yang baru dilancarkan yang melihat pemanggil berusia di bawah 21 tahun sehingga mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menurut pusat panggilan bantuan itu, lebih separuh daripada pemanggil adalah di bawah 21 tahun dan sekurang-kurangnya 10 orang adalah berusia lebih 60 tahun.

Setakat Jumaat lalu, kira-kira 50 peratus daripada 140 panggilan ke pusat itu merupakan mereka yang mengalami obes manakala 30 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan dan selebihnya dalam berat badan yang normal.

Talian itu diwujudkan oleh Persatuan Farmaseutikal Malaysia bagi membantu menangani peningkatan yang membimbangkan di kalangan bilangan rakyat Malaysia yang obes.

“Kami memantau secara rapi setiap perkembangan program. Kami harap kami dapat melihat sebaik mungkin bagi memberikan perubahan terhadap kelaziman obesity di negara ini,” kata Presidennya, Datuk Nancy Ho.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan pada Disember tahun lalu, kira-kira 15 peratus rakyat Malaysia adalah obes, meningkat 1 peraus sejak 2006 dan hampir separuh daripada orang dewasa rakyat Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes.

Ho berkata, program itu memberi bantuan dan kaunseling kepada orang ramai yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes, dengan kombinasi diet, nutrisi, perubahan gaya hidup dan bantuan perubatan sekiranya perlu.

“Kami mempunyai kumpulan yang terdiri daripada ahli farmasi, ahli nutrisi dan pakar diet yang akan membimbing peserta melalui proses secara menyeluruh,” kata beliau, sambil menambah proses itu mengambil masa selama empat bulan.

Beliau berkata, talian itu merupakan pilihan kepada mereka yang mahu untuk tampil ke hadapan bagi mendapat bantuan berhubung isu berat badan.

Talian adalah bebas tol di 1-300-800-373 dan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang, dari Isnin sehingga Jumaat.

Solat Sunat Gerhana Bulan



Gerhana Bulan Separa akan berlaku pada malam ini 4 Jun 2012 (Isnin) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam.

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah (Solat berjemaah)
Niatnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)
Cara-cara
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

Pelaksanaan
Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara : Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; manakala gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan dikuatkan suara seperti mana-mana solat malam.

Cara Pertama: Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua: Disebut dengan “ ال أدنى ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.
Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga: Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktu
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Aturan
  1. Disunatkan mandi sebelum solat.
  2. Bilal menyeru   ”    الص ـل ة ج امـ ع ة   “
  3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
  4. Berniat mengerjakan solat gerhana
  5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
  6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
  7. Baca al-Fatihah dan Surah.
  8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
  9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
  10. Baca al-Fatihah dan Surah.
  11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
  12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
  13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
  14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).
Ingatan
  1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
  2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad binAbdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
  3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan (  سر ) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring  (جـهر)
 
 

Kamis, 31 Mei 2012

Gerhana Bulan Separa pada 4 Jun & Transit Planet Zuhrah Melintasi Matahari pada 6 Jun 2012


Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak minggu depan iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam, smeentara Transit planet Zuhrah melintasi matahari pada berlaku pada pagi Rabu (6 Jun 2012) bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengahari.

Yang Dipertua Persatuan Falak Syari Malaysia Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata gerhana bulan separa akan dapat dilihat di seluruh negara ketika waktu Maghrib.

"Fenomena transit planet Zuhrah pula amat menarik. Pada 6 Jun 2012, Zuhrah berada tepat di antara matahari dan bumi. Fenomena ini jarang berlaku. Transit seterusnya hanya akan berlaku 105 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan binokular atau teleskop yang dilapisi penapis suria, orang ramai boleh melihat satu titik hitam kecil bergerak melintasi permukaan matahari.Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

Syed Kamarulzaman berkata sentuhan pertama apabila planet Zuhrah menyentuh cakera matahari berlaku pada pukul 6.10 pagi, sentuhan kedua pada pukul 6.27 pagi apabila Zuhrah masuk sepenuhnya ke dalam cakera matahari, sentuhan ketiga pada pukul 12.31 tengah hari apabila planet itu mencecah pinggir cakera matahari sebelum keluar dan sentuhan ke empat pada pukul 12.49 tengah hari apabila Zuhrah meninggal sepenuhnya cakera matahari.

Peluang lihat planet Zuhrah

GEORGE TOWN - Orang ramai terutama peminat serta pengkaji astronomi berpeluang melihat planet Zuhrah yang akan muncul merentasi matahari buat kali terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti.

Fenomena astronomi itu bakal disaksikan ramai penduduk dunia termasuk Malaysia selepas matahari terbit pada pukul 7.12 pagi, Rabu depan.

Kurator Kanan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM), Zolkurnain Hassan berkata, fenomena yang dipanggil transit planet Zuhrah itu akan berlanjutan sehingga 1 petang.

Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Kelab Astronomi USM akan mengadakan program khas ini bertempat di tiga lokasi utama di kampus universiti itu dengan menyediakan teleskop untuk memudahkan orang ramai menyaksikan pergerakan planet Zuhrah.

"Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran transit planet Zuhrah, ceramah astronomi, pertandingan fotografi dan lawatan ke planetarium," ujarnya.

Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi yang mana planet ini bergerak antara matahari dan bumi.

Semasa transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.

- BERNAMA & KOSMO!

Senin, 28 Mei 2012

Semak Arah Kiblat jam 5.16 petang pada 28 Mei dan 5.28 petang pada 16 Julai Setiap Tahun


Istiwa utama (istiwa a'dzam) adalah satu keadaan di mana matahari akan berada tepat di titik zenith (ghayah) ketika istiwa.

Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa matahari (mel syams) bersamaan dengan nilai latitud tempatan. Fenomena ini berlaku bagi negeri-negeri yang nilai latitudnya kurang daripada nilai sudut istiwa maksimum matahari sebanyak 23.5°.

Berdasarkan keadaan ini, matahari akan mengalami istiwa utama dengan Kaabah dua kali dalam setahun. Fenomena ini boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain di muka bumi.

Fenomena istimewa matahari di atas KAABAH dan ini merupakan peluang bagi kita untuk menyemak arah kiblat yang betul.

Matahari akan berada betul betul di atas kaabah pada 2 tarikh tersebut

1) 28 hb Mei Jam 5.16 Petang
2) 16 hb Julai Jam 5.28 petang

Dalam setahun hanya 2 kali kedudukan matahari terletak di tengah-tengah Kaabah, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan kiblat umat Islam ketika bersolat.

Sumber :
1) http://www.youtube.com/watch?v=YlSyfX_jmIM&feature=player_embedded , uploaded by marlboro79
2) http://zikrihusaini.com/cara-untuk-mencari-arah-kiblat-sembahyang-tanpa-menggunakan-kompas-dan-ketika-darurat/
3) http://iidyll.blogspot.com/2011/05/istiwa-utama-matahari-di-kaabah-mari.html
4) www.falak-online.net

▲
Top