Tampilkan postingan dengan label Gempar. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Gempar. Tampilkan semua postingan

Minggu, 22 Juli 2012

Tentera Bashar bertempur di Damsyik, Syria


AMMAN - Para pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar) dekat sebuah ibu pejabat agensi perisikan di bandar Aleppo, utara negara itu semalam.

Menurut saksi-saksi, beberapa buah helikopter membedil beberapa daerah di Damsyik dalam usaha untuk mengusir para pemberontak.

Pertempuran berlaku di beberapa bahagian lain di Aleppo yang merupakan hab perdagangan dan industri.

"Bunyi letupan kedengaran dari beberapa tempat yang berbeza sehingga menggegarkan bandar raya itu.

"Satu pertempuran melibatkan insiden berbalas tembakan berlaku dekat Ibu Pejabat Keselamatan Negara di daerah al-Mouhafaza sejak waktu pagi," kata seorang suri rumah kepada agensi berita Reuters menerusi telefon.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menyatakan Washington memberikan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM314.95 juta) kepada Jordan untuk membantu puluhan ribu penduduk Syria yang melarikan diri dari negara mereka.

Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang pemerintahan Bashar bermula pada tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya 19,106 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak Mac tahun lalu," kata seorang kakitangan kumpulan itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.

Jumlah itu melibatkan 13,296 orang awam, 4,861 askar Bashar dan 949 pembelot.

"Jumlah itu tidak termasuk ribuan orang yang hilang di dalam tahanan," katanya.

- Agensi
Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria pulang ke tanah air dengan segera memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Pemindahan ini diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Sehubungan itu, Kementerian Luar memohon kerjasama ibu bapa/penjaga untuk menasihati anak-anak mereka yang masih berada di Syria untuk pulang ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut dipanggil pulang buat sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan, kata Anifah dalam satu kenyataan di Putrajaya.

Sehingga kini, kesemua 138 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu berada dalam keadaan selamat.

Kementerian sekali lagi menggesa kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi keselamatan kembali pulih.

Kementerian telah membuka Bilik Operasi dan orang awam boleh menghubungi talian 03 - 8887 4570 untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini.

- BERNAMA

Senin, 09 Juli 2012

Lelaki mengamuk di depan Jabatan Perdana Menteri

Lelaki mengamuk di depan Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Seorang penganggur yang menggelarkan dirinya sebagai 'Imam Mahadi' mati ditembak polis ketika mengamuk bersama seorang wanita dengan melibaskan pedang samurai di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, suspek yang dikenali sebagai Khalil Afandi Hamid, 47, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari. Manakala suspek wanita, seorang bekas pelajar Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) berusia berusia 28 tahun, terkena tembakan di bahagian paha kanan dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata kedua-dua suspek cuba masuk ke pos pengawal tetapi dihalang oleh polis bantuan tetapi suspek lelaki itu mengacukan pedang ke leher anggota polis bantuan.

Oleh kerana takut, anggota polis bantuan membenarkan kedua-dua suspek masuk ke dalam perkarangan, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Abdul Razak berkata ketika berada di dalam perkarangan itu, kedua-dua suspek
telah melibaskan pedang dan merosakkan dua cermin kereta jenis Hyundai Accent
dan Perodua Kancil milik petugas JPM.

Katanya anggota polis cawangan pencegahan jenayah yang tiba di tempat kejadian turut diserang kedua-dua suspek dengan pedang samurai sehingga kereta mereka mengalami kerosakan dan cermin kereta pecah.

Menurutnya sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MVP) Putrajaya yang
tiba selepas itu dikatakan cuba memujuk suspek tetapi diserang pada jarak dekat
dengan menggunakan pedang samurai.

"Akibatnya seorang anggota MPV telah melepaskan tiga das tembakan yang terkena di tangan kanan dan bahagian ari-ari lelaki itu manakala suspek wanita terkena tembakan di paha kanan.

Abdul Razak berkata polis masih menyiasat motif kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek lelaki yang mempunyai seorang anak mengaku dirinya 'Imam Mahadi' manakala suspek wanita mempunyai dua orang anak.

Kedua-dua suspek yang menganggur itu dikatakan telah mengenali satu sama lain sejak seminggu lepas.

Mengenai dakwaan mereka adalah blogger, Abdul Razak berkata ia masih dalam siasatan.

- BERNAMA

Rabu, 06 Juni 2012

Ombak Kuat Melanda Pantai Sekitar Pulau Pinang



GEORGE TOWN: Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang Rabu.

Di Kampung Tsunami Tanjung Bungah, tidak kurang daripada 11 buah rumah dimasuki air laut kesan pukulan ombak itu.

Seorang penduduk, Tan Eng Kee, 67, berkata air memasuk rumahnya sehingga paras buku lali dan menyebabakan halaman rumahnya berbecak.

"Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku sejak 20 tahun lepas dan ia bencana kedua terburuk selepas kejadian Tsunami empat tahun lepas," katanya.

Katanya penduduk telah membina benteng pasir di sekeliling kediaman mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar Padang Kota Lama dan Persiaran Gurney yang berhampiran laut, mendapati air laut melimpah sehingga ke jalan raya di samping membasahi ruang pejalan kaki.

Namun bagi kaki pancing, Hamzah Sidik, 54, dia sedikit pun tidak bimbang dengan keadaan itu dan tetap meneruskan hobinya bersama isteri dan dua anaknya, biarpun keadaan ombak berkeadaan tidak seperti biasa.

"Waktu macam ini ikan banyak naik, tiada apa yang hendak dibimbangkan. Jika keadaan berbahaya sudah tentu amaran menjauhi pantai dikeluarkan," katanya.

Di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang pula keadaannya didapati agak lenggang apabila orang ramai menjauhi kawasan pantai sementara nelayan dikatakan tidak turun ke laut sejak Selasa.

Namun aktiviti perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meterologi, Muhammad Helmi Abdullah menyifatkan kejadian itu adalah fenomena biasa kesan pertukaran angin dari monsun timur laut kepada monsun barat daya bermula 4 Mei lepas.

Katanya keadaan ombak turut dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam yang diramal berterusan sehingga Jumaat ini.

"Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda," katanya.

- BERNAMA

Kamis, 24 Mei 2012

Ular sawa kuning jenis Anaconda lahir 30 anak


KUALA PILAH – Taman Ular Sawa Hutan Rekreasi Ulu Bendul dekat sini menerima ahli baharu apabila dua ekor ular sawa jenis Anaconda Kuning melahirkan sebanyak 30 ekor anak pada 3 dan 19 Mei lepas.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, ibu pertama ular itu melahirkan tiga ekor anak manakala ibu kedua pula sebanyak 27 ekor.

“Ular spesies ini tidak menetaskan telur tetapi melahirkan anak. Anak-anak ular itu berukuran 30 sentimeter dan berat antara 200 hingga 300 gram.

“Kami mengasingkan anak-anak ular ini daripada ibunya dan dikuarantin selama enam bulan. Selepas itu, kami akan lihat perkembangannya sebelum ia dipamerkan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

- KOSMO!

Kamis, 17 Mei 2012

Klip Video Kemalangan Ferrari Langgar Teksi Di Singapura



Klip video yang menunjukkan bagaimana sebuah kereta Ferrari dengan kelajuan melebihi 180km/j telah melanggar sebuah teksi di sini lalu mengorbankan pemandunya telah mencapai 1.4 juta hits dalam laman YouTube.

Bagaimanapun pemeriksaan mStar Online pada jam 7.30 malam Khamis mendapati, klip video berkenaan telah pun dikeluarkan dari laman tersebut.

Kemalangan itu telah mendapat perhatian ramai termasuklah Kerajaan Republik Rakyat China yang mana pemandu Ferrari tersebut adalah warganya malah Perdana Menteri Singapura tidak terlepas daripada turut memberi komen serta reaksi.

Kerajaan China menerusi kedutaannya di Singapura pada Rabu mengeluarkan kenyataan menyeru warganya agar menghormati undang-undang negara lain.

"Kami benar-benar berasa sedih dengan apa yang berlaku," kata Setiausaha Pertama Kedutaan, Wen Penghui.

"Dan kami juga berharap semua warga kami yang menetap dan bekerja di republik ini menghormati nyawa, nilai dan keselamatan orang lain, mematuhi undang-undang dan hidup dengan penuh tanggungjawab dan bersopan," kata setiausaha itu lagi.

Para pekerja asing dari China di Singapura telah menjadi subjek kritikan daripada warganegara itu ekoran kejadian menyayat hati yang berlaku di awal pagi Sabtu lalu.

Pemandu kereta Ferrari berkenaan adalah seorang warganegara China berusia 31 tahun bernama Ma Chi yang bekerja di Singapura telah memecut keretanya dalam kelajuan yang sangat tinggi lalu menghentam sebuah teksi yang membawa seorang penumpang warga Jepun.

Kesemua mereka terbunuh dalam kemalangan berkenaan.

Klip video yang merakamkan insiden itu telah diambil dari sebuah teksi lain yang sedang berhenti di simpang empat ketika lampu isyarat merah.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut memberi reaksi di dalam laman Facebooknya.

Beliau menyeru warga Singapura agar tidak menjadikan kejadian itu sebagai sebab untuk melepaskan kemarahan kepada warga asing yang bekerja di republik itu.

Akibat daripada kemalangan itu, Ma terbunuh serta merta di tempat kejadian manakala penumpang teksi berkenaan seorang wanita warga Jepun berusia 41 tahun meninggal dunia dua jam kemudian di hospital.

Pemandu teksi berusia 52 tahun itu pula meninggal dunia sehari kemudian.

- MSTAR
Kucing Hilang Ditemui, Digunakan Untuk Hasilkan Minyak Pengasih

Kucing Hilang Ditemui, Digunakan Untuk Hasilkan Minyak Pengasih

MELAKA: Seseorang aktivis haiwan yang menyiasat mengapa banyak kucing dilaporkan hilang sejak kebelakangan ini menemui pautan menarik berkiatan 'Pengasih' dan pakaian dalam yang telah digunakan sebagai tujuan menggoda.

Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA) sebelum ini menerima laporan banyak kucing di Melaka, telah hilang dari rumah pemiliknya sejak September.

Dalam kes baru-baru ini, seorang wanita berusia 45 tahun di Padang Temu mendapatkan bantuan SPCA selepas kucing Parsi miliknya hilang.

Pengerusi SPCA Melaka, Vincent Low, bersama beberapa orang ahli dan Pegawai publisiti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Tan Joek Kwang melawat pemilik, Christine, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Selama beberapa hari, beberapa petunjuk membawa Low ke sebuah rumah di pinggir bandar di mana beliau mendapati seorang wanita Indonesia yang hidup dengan puluhan ekor kucing.

"Hanya selepas itu, saya mengetahui bahawa bulu dan air liur kucing digunakan di dalam upacara membuat minyak Pengasih," katanya dalam satu temu bual.

Beliau berkata wanita itu mendakwa dia hanya memberi perlindungan kepada kucing dan tidak mencurinya.

Wanita itu bagaimanapun, kemudian mengakui bahawa dia merendam air liur dan bulu kucing bersama pakaian dalam yang telah digunakan untuk membuat ubat pengasih.

Low berkata wanita itu mendakwa minyak pengasih yang dihasilkannya membantu mengukuhkan ikatan di antara pasangan dan juga berfungsi sebagai anti-penuaan.

Hasil lawatan beliau, Low merampas empat ekor kucing.

Pada Selasa, beliau pergi ke sana sekali lagi untuk mengambil lapan ekor kucing lagi tetapi wanita itu telah hilang.

Low berkata terdapat kes-kes warga asing yang menangkap kucing jalanan untuk dimasak.

"Kali ini, SPCA terkejut apabila mendapati bahawa haiwan ini telah hilang dari rumah pemilik," katanya.

- MSTAR

Top